Wednesday, 31 January 2018

8 tips utama mencuci motosikal [sinar harian]

KATA orang menunggang lebih mudah dari mencuci. Itu memang lumrah, akan tetapi setelah berminggu-minggu seronok menunggang tidak salah jika kita meluangkan sedikit masa untuk mencuci motosikal sendiri pada hujung minggu.

Banyak kelebihan jika mencuci sendiri dengan cara yang betul tetapi sering dilepas pandang serta diambil mudah oleh pengguna.

Minggu ini ruangan Tips Pengguna akan berkongsi berkenaan panduan dan tips-tips utama mencuci motosikal.

*Tekanan air yang tinggi membantu menghilangkan kotoran dan lumpur.

1. Persediaan adalah kunci utama.
Perkara penting ketika bersiap sedia untuk mencuci motosikal adalah menanggalkan aksesori penting yang berisiko jika terkena air. Contohnya seperti bag tank, GPS, dan juga sebarang peranti digital yang bukan kalis air. Seterusnya sediakan peralatan asas mencuci seperti baldi, sabun pencuci berus dan juga kain.

2. Kenal pasti tempat dan masa mencuci.
Elakkan menggunakan perkhidmatan mencuci motosikal di kedai. Basuh sendiri jauh lebih baik dan jangan mencuci di tepi jalan raya besar atau di jalan utama yang boleh mendatangkan bahaya. Jangan terus mencuci selepas menunggang atau ketika enjin motosikal masih panas. Menyembur air ke enjin yang masih panas berisiko merosakkan permukaan enjin. Elakkan dari mencuci di bawah terik matahari kerana cuaca yang panas akan menyebabkan sabun kering pada permukaan motosikal sebelum sempat dibilas.

3. Kerap membasuh tetapi jangan terlalu kasar.
Kekerapan membasuh dapat memberi kelebihan kepada anda untuk mengetahui sebarang kebocoran atau kerosakan pada motosikal. Namun, membasuh terlalu kerap pula akan menyebabkan risiko kebocoran dari kabel yang terdedah.

4. Basuh dengan air bersih dan gunakan cecair pencuci yang sesuai.
Jangan guna air dengan terlalu banyak. Berjimat cermat adalah amalan yang mulia. Guna bahan pencuci yang sesuai. Buat kajian bahan manakah yang sesuai dengan cat motosikal anda. Detergen yang digunakan sepatutnya mempunyai bacaan pH diantara 6 dan 8 yang mana ia tidak terlalu berasid atau terlalu alkali sehingga boleh menyebabkan kerosakan pada permukaan cat motosikal. Gunakan sarung tangan sekiranya anda menggunakan bahan pencuci yang mengkakis.

*Bahagian enjin juga perlu diperinci ketika mencuci

5. Hos air bertekanan tinggi.
Hos air bertekanan tinggi memang efektif untuk menghilangkan kotoran dan lumpur pada permukaan motosikal, tetapi ianya juga berisiko menyebabkan air meresap masuk ke kawasan yang sempit dan tersembunyi yang mana akan menyebabkan air bertakung dan seterusnya mengakibatkan karat. Sekiranya menggunakan hos air bertekanan tinggi, elakkan dari menyembur ke kawasan yang sensitif seperti bahagian elektronik, rantai, brek dan juga tempat duduk.

Bahagian rantai perlu dielakkan kerana walaupun efektif dalam membersihkan kotoran, bahagian tersebut akan terpaksa digris semula kerana hos air bertekanan tinggi secara tindak langsung akan membuang semua gris yang sedia ada.

6. Pastikan anda menggunakan span, kain dan berus yang sesuai.
Gunakan kain atau pengelap berbeza bagi setiap kawasan permukaan motosikal anda. Jangan gunakan kain yang digunakan untuk mengelap bahagian rantai pada bahagian tempat duduk contohnya kerana ianya akan meninggalkan kesan gris pada tempat duduk tersebut.

Terdapat pelbagai jenis kain pengelap dan juga span yang diperbuat daripada material berkualiti tinggi seperti mikro fiber yang boleh digunakan secara efektif semasa mencuci. Sekiranya permukaan yang dicuci sukar dicapai, gunakan berus gigi yang mempunyai pemegang yang panjang untuk mencapai kawasan tersebut. Bagi permukaan kasar seperti ekzos pula, anda boleh gunakan berus dawai untuk menghilangkan sebarang kotoran di bahagian tersebut.

7. Beri perhatian
Apabila anda selesai mencuci motosikal anda, luangkan masa dengan mengelap sekali lagi permukan motosikal anda dengan kain mikro fiber. Perhalusi setiap kali mengelap dan pastikan semua tempat yang sukar seperti bahagian kabel dan bahagian belakang casing motosikal anda tidak terlepas.

Penjagaan tetap perlu bagi memastikan kepuasan.

8. Keringkan
Gunakan kain pengelap yang telah diperah atau span pada permukaan motosikal. Selepas selesai mengeringkan motosikal, tunggang dengan perlahan sekitar kawasan berdekatan dan tekan brek dengan kerap untuk mengeluarkan lebihan air dari tangki pam brek.

Ini adalah penting untuk membuang air yang bertakung yang boleh menyebabkan bahagian berkarat. Ataupun jika anda mempunyai blower, lebih senang menggunakan angin yang kuat untuk membuang lebih-lebihan air pada motosikal.

No comments:

Post a Comment