Sunday, 25 February 2018

Pelumba Cub Prix maut dalam kemalangan lebuh raya


NILAI - Pelumba Cub Prix negara, Zaidy Mohamad Zaifaizal Mahendran, maut dalam kemalangan yang melibatkan dua motosikal di Kilometer 22.9 arah Utara Lebuhraya Kajang-Seremban (Lekas), awal pagi tadi.
Ketua Polis Daerah Nilai, Superintendan Zaldino Zaludin berkata, dalam kejadian 3.20 pagi itu, seorang lagi penunggang Dzul Fikar Idris, 27, mengalami kecederaan di badan, tangan dan kaki.
"Kemalangan dipercayai berlaku apabila mangsa yang berada di lorong paling kiri, yang sedang menghala ke Kuala Lumpur, cuba mengelak sesuatu objek di atas jalan raya.
Mangsa seterusnya telah terbabas ke lorong paling kanan manakala motosikal Dzul Fikar yang berada di lorong tengah terbabas lalu jatuh kerana cuba mengelak daripada melanggar motosikal mangsa," katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.
Zaldino berkata mayat Zaidy dihantar ke Hospital Tuanku Ja'afar Seremban bagi tujuan bedah siasat manakala Dzul Fikar dihantar ke Hospital Kajang untuk menerima rawatan.
"Kedua-dua kenderaan akan dihantar ke Jabatan Kimia Malaysia untuk ujian Kimia Kriminalistik," katanya.
Zaidy merupakan pelumba Cub Prix bagi pasukan Motul Yamaha YY Pang bagi kategori CP115. - Bernama

Friday, 23 February 2018

Hafizh, maafkan ayah | Pelumba Negara | MotoGP


KUALA LUMPUR 23 Feb. - Tiada kata-kata lain yang mampu diucapkan oleh Abdullah Harun melainkan ungkapan permohonan maaf terhadap anaknya Hafizh Syahrin kerana merampas zaman kanak-kanak pelumba itu hanya semata-mata mahu merealisasikan impian melihat pewarisnya itu bergelar pelumba handalan dunia pada satu hari kelak.
Walaupun hatinya merintih melihat kesusahan hidup yang terpaksa dilalui Hafizh Syahrin seawal usia sembilan tahun yang dibawa menyertai perlumbaan pocketbike ke serata Malaysia, tetapi dia tidak kesal kerana kini menyaksikan kejayaan dicapai puteranya itu pada hari ini.
Lelaki berusia 50 tahun itu kini sudah boleh tersenyum apabila Hafizh Syahrin disahkan oleh Litar Antarabangsa Sepang (SIC) bakal muncul anak Malaysia pertama berlumba dalam kelas utama MotoGP bersama pasukan Monster Yamaha Tech 3.
“Saya berkata kepada Hafizh, ini saja yang ayah mampu bantu. Hafizh berusaha sebaik mungkin untuk jadi pelumba. Saya minta maaf kepada Hafizh sebab merampas usia kanak-kanaknya. Saya berasa usaha saya berbaloi pada hari ini, terima kasih,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini, hari ini.

Mengimbas kembali zaman pelumba kelahiran Selangor itu mula berjinak-jinak dalam sukan pemotoran, Abdullah berkata, jika dikenang pengalaman lalu, memang memeritkan kerana kekangan kewangan menyebabkan dia tidak mampu menaburkan kemewahan kepada anaknya itu.
Impian menggunung tinggi, tetapi menurut Abdullah, untuk memberikan keselesaan sepanjang Hafizh menyertai perlumbaan pocketbike di merata negeri di Malaysia, dia memang tidak mampu.
“Saya hanya berbekalkan modal saya sendiri hasil pendapatan saya bekerja di bengkel motosikal yang saya usahakan. Bermula dari umur 10 tahun Hafizh mula tunjuk taring sebagai seorang pelumba.
“Sejak itu, boleh dikatakan di setiap negeri saya bawa Hafizh berlumba, sehingga dia menjadi juara pocketbike aircol dan watercol. Saya pusing satu Malaysia dengan kereta bersama Hafizh. Selama empat tahun Hafizh dalam perlumbaan pocketbike,” ujarnya.
Abdullah memberitahu, pelbagai pengalaman pahit dan manis telah dia harungi bersama Hafizh Syahrin, termasuklah terpaksa tidur di dalam kereta kerana tidak mampu untuk menginap di hotel.
“Pengalaman suka dan duka telah saya lalui dengan anak saya itu. Dengan bajet yang memang tidak cukup, kereta saya pernah menjadi hotel untuk kami berdua,” jelasnya menceritakan perjalanan awal karier Hafizh.

Melihat pencapaian anaknya, yang turut meraih perhatian Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak yang mengucapkan tahniah atas kejayaannya menjadi penunggang MotoGP bagi musim 2018, Abdullah kini sudah boleh mengukir senyuman dan menarik nafas lega setelah usaha dan susah payahnya sebelum ini berbaloi dan sudah pun dianggapnya sebagai satu lonjakkan besar dalam karier Hafizh.

Born: 5 May 1994 (age 23/2018), Selangor
Noor Suzana Abdul Manaf pelengkap hidup Hafizh Syahrin

Thursday, 22 February 2018

Gaya tersendiri Honda Wave 125i

BOON Siew Honda, pengedar rasmi jenama motosikal Honda di Malaysia mengumumkan ketibaan model Honda Wave 125i ke pasaran tempatan.


Menurut pihak Boon Siew Honda, model kapcai tersebut tampil dengan rekaan badan lebih premium, jimat bahan api dan memberi keselesaan kepada penunggang untuk kegunaan seharian.

Menggunakan tagline “A Class of Your Own” mendefiniskan Wave 125i sebagai model superior berbanding motosikal lain dalam segmennya. Penampilan premium Wave 125i tampil unik.



Sebagai tambahan, panel meter premium diletakkan pada posisi mudah dilihat di bawah sinaran matahari dan pada keadaan gelap. Sebagai ciri keselamatan, Boon Siew Honda menawarkan lampu belakang moden agar mudah dilihat oleh pengguna jalan raya lain.

Selain itu, Wave 125i serba baharu didatangkan dengan lencana 3D yang menyerlahkan identiti unik motosikal.


Soal mekanikal, motosikal kapcai tersebut dijana oleh enjin 124.9cc empat lejang penyejukan udara. Enjin yang dipadankan dengan sistem pancitan bahan api terancang (PGM-Fi) itu mampu menghasilkan kuasa 6.76kW pada 7, 500rpm dan tork 10.08Nm pada 5, 500rpm. Penghantaran kuasa ke roda belakang ditugaskan kepada transmisi 4-kelajuan.

Kelebihan Wave 125i ialah saiz tangkinya yang lebih besar iaitu 5.4 liter. Difahamkan, di atas kertas dengan tangki penuh motosikal itu mampu melakukan jarak perjalanan sehingga 300 kilometer.

Selain itu, model berkenaan turut dilengkapi ruang U-Box bersaiz 18 liter yang boleh memuatkan helmet muka penuh. Pelana yang besar memberikan keselesaan maksimum buat penunggang.

Honda Wave 125i didatangkan dengan tiga pilihan warna iaitu merah, biru dan perak. Di pasaran tempatan tersedia dua varian iaitu brek cakera tunggal dan brek dwi cakera.

Harga jualan Wave 125i (brek cakera tunggal) ialah RM 6,263.54 seunit. Manakala mereka yang memilih brek dwi cakera perlu melaburkan wang sejumlah RM 6,549.74.

Untuk ketenangan minda pemilik, Boon Siew Honda menawarkan waranti kilang dua tahun atau 20,000 kilometer (km) bersama waranti lanjutan setahun atau 10, 000km bagi enjin (yang mana tiba terdahulu).

***artikel diambil dlm SinarHarian bertarikh 29 APRIL 2017

Monday, 19 February 2018

Semua mangsa terkandas berjaya diselamatkan



ALOR SETAR 19 Feb. - Lebih 1, 100 pengguna termasuk kakitangan SkyCab di Gunung Mat Chincang, Langkawi yang terkandas lebih enam jam berjaya diselamatkan selepas kerosakan sistem pengendalian berjaya dibaiki sepenuhnya.
Difahamkan terdapat 88 penumpang terperangkap dalam gondola manakala 210 penumpang serta 36 kakitangan terkandas di stesen tengah.

Dianggarkan seramai 750 penumpang dan 42 orang kakitangan terkandas di stesen puncak.
Pegawai Perhubungan Awam Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) negeri, Penguasa Bomba Mohamad Mustakim Mukhtar berkata, semua mangsa berjaya dipindahkan dari stesen pucak pada 11 malam tadi
"Operasi pemindahan mangsa ke bawah menjadi lebih cepat selepas masalah sistem berjaya dibaik pulih sebentar tadi.



"Setakat ini, tiada mangsa yang mengalami kecederaan cuma terdapat beberapa orang yang terperangkap dalam kereta kabel tersebut mengalami pitam selepas diselamatkan," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Tambahnya, seramai 46 anggota terlibat dalam operasi tersebut yang mana 27 daripadanya Balai Bomba dan Penyelamat Persiaran Putra dan Langkawi.
Sementara itu, Panorama Langkawi Sdn. Bhd. dalam satu kenyataan berkata, seramai 88 orang penumpang yang terkandas dalam 16 gondola berjaya diselamatkan pada pukul 9.50 malam tadi.
"Operasi Kereta Kabel Langkawi tergendala ekoran gangguan dalam sistem pengendalian yang berlaku pada pukul 5.48 petang. Seramai 88 orang penumpang yang terkandas dalam 16 gondola berjaya diselamatkan oleh Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia pada pukul 9.50 malam. 
"Sebagai pengendali operasi, kami berjaya menjalankan kerja-kerja pembaikan sistem pengendalian kereta kabel. Semua penumpang dan kakitangan yang terkandas telah berjaya dibawa turun mulai pukul 11 malam," ujarnya.
Tambah kenyataan itu, operasi Kereta Kabel Langkawi hari ini (Isnin) akan bermula mulai pukul 12 tengah hari untuk kerja-kerja penyelenggaraan. - UTUSAN ONLINE

Sunday, 18 February 2018

Untungnya tetamu dapat sekampit beras 5kg [metro]

Azmi (3 dr kanan) menyerahkan sekampit beras kepada tetamu yg hadir ke majlis perkahwinan anaknya

MAJLIS perkahwinan Mohd Nasruddin Azmi dan pasangannya, Nor Suhaida Mohamad di Taman Sri Lichong, Gaal, di Pasir Puteh hari ini ‘diserbu’ orang ramai apabila semua tetamu yang hadir diberi sekampit beras lima kilogram (kg) sebagai cenderahati oleh bapa pengantin lelaki.
Majlis kesyukuran yang mencipta kelainan itu menyebabkan jalan untuk ke rumah pengantin sesak sejauh dua kilometer.
Bapa kepada pengantin lelaki, Azmi Mohd Noor berkata, sebanyak 7,000 kampit beras disediakan sebelum diagihkan kepada semua tetamu yang hadir sebagai buah tangan. Malah katanya, majlis meraikan anak sulung daripada tiga beradik itu menyediakan 17 gulai kawah membabitkan lima ekor lembu, tujuh ekor kambing bakar dan 500 ekor ayam yang semuanya dimasak secara bergotong-royong oleh penduduk kampung seawal jam 6 pagi.
“Alhamdulillah majlis menyambut menantu berjalan lancar dan kediaman kami dipenuhi dengan tetamu yang hadir. Idea untuk memberi beras kepada semua tetamu bagi menghargai mereka yang datang sambil beramal,” katanya ketika ditemui di Pasir Puteh.
Azmi yang juga Pengerusi Yayasan Fatimah Azzahra berkata, pada majlis meraikan anak sulungnya berusia 25 tahun itu, dia menjemput seramai 7,000 tetamu termasuk kenalan rapat.
“Memandangkan bukan selalu saya mengadakan kenduri, kali ini saya membuat majlis besar-besaran bagi meraikan semua yang hadir. Apa yang saya lakukan ini bukan untuk meraih populariti, sebaliknya hanya mahu meraikan tetamu.
“Saya bersyukur kerana majlis kali pertama dirancang berjalan lancar tanpa masalah. Malah saya lihat semua mereka yang menerima beras tersenyum gembira,” katanya.

Friday, 16 February 2018

Pelakon Azmil Mustapha dalam kenangan, meninggal dunia pada usia 65 tahun

1953 - 2018



Pelakon popular era 80-an, Azmil Mustapha meninggal dunia kira-kira pukul 12.40 tengah hari pada 14 Februari 2018 di kediamannya di Seksyen 9, Shah Alam, Selangor.

‘Nak makan apa, adik nak beli…?’ – Detik akhir kematian Azmil Mustapha (Terengganu Times)

ANAK kepada Azmil Mustapha sempat bertanya apa makanan mahu dimakan bapanya sebelum pelakon terkenal era 1980-an terbabit disedari meninggal dunia, tengah hari hari ini.
Nur Syamira, 33, yang juga anak sulung berkata, bapanya meninggal dunia ketika dalam tidur, namun lima beradik itu tidak dapat mengesahkan waktu sebenar bapa mereka menghembuskan nafas terakhir.
“Sebelum meninggal, adik ada bertanya kepada bapa mahu makan apa kerana dia nak pergi beli makanan. Bagaimanapun, selepas mandi, adik pergi kejutkan bapa tetapi bapa sudah tiada,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Shah Alam.
Katanya, sebelum itu bapanya berada dalam keadaan sihat dan boleh melakukan rutin harian seperti biasa. Sementara itu, adik Azmil iaitu Ros Anita berkata, abangnya mempunyai masalah jantung.
Katanya, ketika hayatnya, Azmil banyak melakukan ibadah di rumah selain menjalankan aktiviti dakwah.
“Dia tidak meninggalkan apa-apa pesan,” katanya.
Ketika hayatnya, Azmil pernah dua kali mendirikan rumah tangga.
Azmil meninggalkan lima anak berusia 16 hingga 33 tahun iaitu Nur Syamira, Nurazalea Arifah, Nor Amalia Batrisya, Mohd Bazli Zhafri dan Nur Alia.
Anak Allahyarham Azmil tidak dapat menahan kesedihan.
Sejak dua tahun lalu, keadaan kesihatan Azmil yang membintangi filem ‘box office’ era 1980-an seperti Ali Setan merosot dan pernah dilaporkan kritikal.
Jenazah dibawa ke Masjid Sultan Salahudin Abdul Aziz Shah untuk dimandikan dan solat jenazah sebelum dijangka dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Seksyen 21, Shah Alam selepas solat Asar.

Wednesday, 14 February 2018

Percikan api punca kebakaran

Dinding bangunan KWSP Petaling Jaya guna penebat polyfoam mudah terbakar


PETALING JAYA – Asap tebal menyelubungi ruang udara bandar raya Petaling Jaya semalam selepas bangunan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) yang berusia 58 tahun di Jalan Gasing di sisni terbakar.
Kebakaran bangunan yang menempatkan kira-kira 700 pekerja itu turut menyebabkan kesesakan lalu lintas di Lebuh Raya Persekutuan ekoran ramai pemandu memberhentikan kenderaan bagi merakam gambar api yang sedang marak menjulang di bangunan setinggi enam tingkat itu.
Bahagian luar bangunan itu terjejas akibat menggunakan dinding bahan mudah terbakar, namun tiada kemalangan jiwa dilaporkan dalam kejadian pukul 11.30 pagi itu.


Timbalan Ketua Pengarah (Operasi), Jabatan Perkhidmatan Bomba dan Penyelamat Malaysia, Datuk Soiman Jahid berkata, kebakaran itu berpunca daripada percikan api ketika kerja-kerja penyenggaraan dilakukan di tingkat satu bangunan terbabit.
Katanya, bangunan berkenaan didapati menggunakan bahan penebat haba jenis polyfoam yang mudah terbakar dan tidak diluluskan untuk membuat bangunan.

“Punca kebakaran adalah percikan api akibat kerja penyelenggaraan serta cuaca panas dan angin kuat. Cladding yang digunakan juga adalah bahan mudah terbakar seperti yang digunakan di Grenfell Tower di London.

Bahan cladding ialah polyethylene (polyfoam), bahan yang mudah terbakar. Ia tidak sepatutnya digunakan di mana-mana bangunan, terutamanya di bangunan agensi kerajaan,”tegasnya.




Cladding maybe introduce by architect for purpose of sound insulation due to EPF too close to heavy traffic highway. Malaysia had no law control motorists noises. Ever night our highway is like sepang race posting nuisance to residents unable to sleep. New condos are suffering this kind of nuisance.

Friday, 9 February 2018

Wira Hilux terhangat dicuri [metro]

Kuala Lumpur : Proton Wira dan Toyota Hilux terus menjadi model kenderaan yang paling hangat dicuri oleh pencuri kenderaan dalam tempoh 12 bulan pada tahun lalu berdasarkan tuntutan bagi kes kecurian oleh Persatuan Insurans Am Malaysia (PIAM).
Mengikut statistik yang dikeluarkan PIAM, berdasarkan rekod tuntutan insurans kenderaan yang membabitkan kereta persendirian, motosikal dan kenderaan komersial mencatatkan penurunan 23 peratus secara keseluruhannya.
 Mark (kiri) sedg memberi taklimat kepada media di Wisma PIAM

Ketua Pegawai Eksekutif PIAM, Mark Lim berkata, pada tahun lalu, 654 unit Proton Wira dan 537 unit Toyota Hilux direkodkan tuntutan kecurian menjadikan dua model itu adalah antara tertinggi dalam industri yang membuat tuntutan insurans ketika ini.

Beliau berkata, syarikat insurans membayar RM14.7 juta setiap hari bagi kes membabitkan tuntutan insurans kenderaan tahun lalu dengan jumlah keseluruhan RM5.38 bilion.
“Jumlah ini mencatatkan peningkatan tujuh peratus berbanding jumlah keseluruhan yang dibayar sepanjang 12 bulan tahun sebelumnya iaitu RM5.02 bilion, membabitkan kes membabitkan kemalangan, kerosakan dan kecurian.
“Angka itu dilihat membimbangkan kerana syarikat insurans perlu membayar jumlah tinggi pada tahun lalu dan ia memerlukan lebih banyak inisiatif bagi memastikan kejadian seperti kecurian dapat dielakkan,” katanya pada taklimat media mengenai prestasi sektor insurans am Malaysia di Wisma PIAM, semalam.
Selain Proton Wira dan Toyota Hilux, Perodua Kancil berada di kedudukan ketiga dengan 378 unit, Proton Iswara (340 unit), Perodua Myvi (290 unit), Proton Waja (231 unit), Proton Saga (214 unit), Honda Civic (133 unit), Honda City (119 unit) dan Toyota Vios (117 unit).
Lim berkata, menurut statistik sama, jumlah kenderaan persendirian yang membuat tuntutan kecurian pada tahun lalu 5,625 unit, namun jumlahnya berkurangan dari 7,610 unit pada tahun sebelumnya.
“Selain itu, bagi motosikal, jumlah yang membuat tuntutan kecurian pada tahun lalu ialah 8,874 unit (2016: 11,009 unit) dan kenderaan komersial, jumlah tuntutan kecurian tempoh sama 824 unit (2016: 1,386 unit),” katanya.
Langkah liberalisasi insurans motor yang diperkenalkan sejak 1 Julai tahun lalu membolehkan pemilik kenderaan mendapatkan polisi terbaik bagi memastikan mereka mendapat perlindungan sewajar bagi kenderaan masing-masing.
Sementara itu, jumlah tuntutan kecurian kenderaan berdasarkan kekerapan pula menunjukkan Toyota Vellfire (112 unit) dan Mitsubishi Pajero (77 unit) antara model yang kerap dicuri pada 2017 iaitu pada kadar 0.26 peratus.
Antara model lain yang kerap dicuri termasuklah Toyota Hilux, Peugeot 308, Peugeot 508, Nissan Vanette, Lexus RX350, BMW 7, Proton Perdana dan Ford Courier.

Saturday, 3 February 2018

Sembunyi lembu dalam Proton Wira

Penguat kuasa JPJ tumpaskan sindiket curi haiwan guna suntikan ubat pelali di Batu Kawan


BATU KAWAN – Suntik lembu guna ubat pelali sebelum sembunyikan haiwan itu dalam Proton Wira.
Itu modus operandi dilakukan sekumpulan empat lelaki yang aktif mencuri lembu sebelum kegiatan itu dikesan di Sungai Bakap di sini kelmarin.
Kejadian itu terbongkar selepas seorang pemancing ikan memaklumkan kepada penguat kuasa Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) yang sedang membuat operasi berhubung tindakan empat lelaki mencuri lembu.
Dalam kejadian kira-kira pukul 5 petang itu, lelaki yang sedang memancing ikan di bawah jambatan di kawasan berkenaan ternampak suspek mencuri lembu sebelum mereka melarikan haiwan tersebut menggunakan sebuah kereta jenis Proton Wira

KPM zahir takziah, simpati

KUALA NERANG - Kementerian Pendidikan (KPM) menzahirkan simpati, sedih dan takziah kepada keluarga mendiang pelajar perempuan Tingkatan Dua Sekolah Menengah Kebangsaan Methodist, Nibong Tebal, Pulau Pinang yang meninggal dunia selepas cuba membunuh diri kerana dituduh mencuri telefon bimbit gurunya, baru-baru ini. 

Menteri berkenaan Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata kejadian itu tidak sepatutnya berlaku dan KPM menyerahkan sepenuhnya kepada polis untuk menjalankan siasatan sebelum tindakan susulan dibuat.

"Kita melahirkan rasa simpati dan takziah kepada keluarga mendiang, dan saya fikir biarlah siasatan penuh dibuat antara pihak sekolah, guru dan polis sebelum tindakan kita buat selepas ini," katanya kepada pemberita pada Program 'Estate Run 2018' di Homestay D'Belimbing di sini, hari ini.

M.Vasanthapiriya meninggal dunia kelmarin selepas tujuh hari dalam keadaan koma. - Foto media sosial


Dalam pada itu, Mahdzir berkata guru terbabit telah dipindahkan ke Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) sementara menunggu siasatan lengkap dijalankan oleh polis dan Jabatan Pendidikan Negeri (JPN).
Beliau juga berkata perlunya ada penambahbaikan serta penyesuaian ilmu psikologi dari semasa ke semasa bagi memantapkan lagi ilmu itu dalam kalangan guru.
"Ilmu psikologi memang sedia ada dan diterapkan di peringkat universiti atau di Institut Pendidikan Perguruan Malaysia (IPGM), cuma kita boleh lihat dari aspek pembaharuan dan penambahbaikan agar guru-guru ini lebih memahami cara berdepan dengan pelajar dalam keadaan situsi demikian," katanya.
Pada 1 Feb lepas, M.Vasanthapiriya meninggal dunia selepas tujuh hari dalam keadaan koma selepas menggantung diri di bilik rumahnya akibat dituduh mencuri telefon bimbit gurunya dalam kejadian 24 Jan lepas. - Bernama