ALOR SETAR 19 Feb. - Lebih 1, 100 pengguna termasuk kakitangan SkyCab di Gunung Mat Chincang, Langkawi yang terkandas lebih enam jam berjaya diselamatkan selepas kerosakan sistem pengendalian berjaya dibaiki sepenuhnya.
Difahamkan terdapat 88 penumpang terperangkap dalam gondola manakala 210 penumpang serta 36 kakitangan terkandas di stesen tengah.
Dianggarkan seramai 750 penumpang dan 42 orang kakitangan terkandas di stesen puncak.
Pegawai Perhubungan Awam Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) negeri, Penguasa Bomba Mohamad Mustakim Mukhtar berkata, semua mangsa berjaya dipindahkan dari stesen pucak pada 11 malam tadi
"Operasi pemindahan mangsa ke bawah menjadi lebih cepat selepas masalah sistem berjaya dibaik pulih sebentar tadi.
"Setakat ini, tiada mangsa yang mengalami kecederaan cuma terdapat beberapa orang yang terperangkap dalam kereta kabel tersebut mengalami pitam selepas diselamatkan," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Tambahnya, seramai 46 anggota terlibat dalam operasi tersebut yang mana 27 daripadanya Balai Bomba dan Penyelamat Persiaran Putra dan Langkawi.
Sementara itu, Panorama Langkawi Sdn. Bhd. dalam satu kenyataan berkata, seramai 88 orang penumpang yang terkandas dalam 16 gondola berjaya diselamatkan pada pukul 9.50 malam tadi.
"Operasi Kereta Kabel Langkawi tergendala ekoran gangguan dalam sistem pengendalian yang berlaku pada pukul 5.48 petang. Seramai 88 orang penumpang yang terkandas dalam 16 gondola berjaya diselamatkan oleh Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia pada pukul 9.50 malam.
"Sebagai pengendali operasi, kami berjaya menjalankan kerja-kerja pembaikan sistem pengendalian kereta kabel. Semua penumpang dan kakitangan yang terkandas telah berjaya dibawa turun mulai pukul 11 malam," ujarnya.
Tambah kenyataan itu, operasi Kereta Kabel Langkawi hari ini (Isnin) akan bermula mulai pukul 12 tengah hari untuk kerja-kerja penyelenggaraan. - UTUSAN ONLINE
No comments:
Post a Comment