Friday, 27 July 2018

Demonstrasi Ramasamy kecoh

Kumpulan NGO diketuai Muhammad Yusuf Azmi (kiri) melakukan bantahan terhadap Ramasamy manakala gambar kanan adalah kumpulan yang menyokong Ramasamy.
GEORGE TOWN - Dua kumpulan yang mengadakan demonstrasi menyokong dan membantah Timbalan Ketua Menteri II, P. Ramasamy bertembung di perkarangan Komtar hari ini dan berlaku kekecohan apabila masing-masing melakukan provokasi.
Kumpulan pertama terdiri kira-kira 50 penyokong Ramasamy mengadakan demonstrasi di perkarangan Komtar pukul 12.30 tengah hari dan selepas itu mereka terus berada di situ sehingga kumpulan kedua iaitu lebih 300 orang dari 30 pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Islam yang berarak dari Masjid Jamek Simpang Enam selepas solat Jumaat tiba di Komtar.
Presiden NGO Tamilar Kular, David Marshel yang mengetui demonstrasi menyokong Ramasamy berkata kehadiran mereka adalah untuk menunjukkan solidariti untuk Ramasamy yang didakwa sebagai 'pengganas' oleh pihak tidak bertanggungjawab.
"Kami ada di sini untuk melawan sesiapa yang melabel Ramasamy seorang pengganas," katanya kepada pemberita.
Kedua-dua kumpulan itu mengejek dan melakukan provokasi antara satu sama lain, kumpulan NGO Islam menjerit "Tangkap Ramasamy" manakala di pihak satu lagi menjerit  "Kami menyokong Ramasamy", namun mereka berada di dua kawasan di perkarangan Komtar serta dikawal rapi oleh polis.
Polis juga berulang kali mengeluarkan arahan kepada mereka agar menghentikan provokasi dan memberi amaran akan menangkap sesiapa yang tidak mendengar arahan. 
Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Anuar Omar yang turut hadir mengawal keadaan di perkarangan Komtar berkata, seramai 70 pegawai dan anggota terlibat dalam kawalan hari ini dan kedua-dua kumpulan diarah meninggalkan Komtar secara berasingan bermula pukul 3.00 petang.
"Tiada kejadian yang tidak diingini berlaku dan tiada sesiapa yang ditahan walaupun berlaku kekecohan serta keadaan sedikit tegang ketika kedua-dua kumpulan berada di perkarangan Komtar tadi. Polis juga membenarkan NGO Islam berkenaan untuk menyerahkan memorandum bantahan terhadap Ramasamy kepada wakil Ketua Menteri Chow Kon Yeow," katanya.
Beliau berkata polis akan memanggil wakil kedua-dua kumpulan itu untuk direkodkan keterangan kerana mereka mengadakan demonstrasi itu tanpa permit dan pihaknya akan membuka kertas siasatan.
Sementara itu, Yusof Azmi, yang juga bekas Pengarah Unit Tindakan Khas Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), mengetuai bantahan NGO Islam hari ini berkata, pihaknya menerusi memorandum yang diserahkan meminta supaya Ramasamy meletak jawatan jika tidak dapat memberi penjelasan berhubung dakwaan beliau mempunyai kaitan dengan Harimau Pembebasan Tamil (LTTE).  
Yusof berkata mereka hari ini mengadakan demonstrasi bukan untuk bergaduh sebaliknya hanya mahu menyerahkan memorandum yang turut menyatakan bantahan terhadap Ramasamy yang mahu pendakwah Islam tersohor, Dr Zakir Naik diusir ke India.
"Kami berkumpul di sini bukan dasar anti mana-mana agama atau pengikutnya tapi kami hanya mahu membela kebenaran. Pada masa sama, kami juga minta pihak-pihak tertentu (yang berkepentingan) agar tidak mencampuri urusan Islam," katanya.
Gambar yang memaparkan Ramasamy dan ahli politik pro-LTTE V Gopalasamy yang dikatakan diambil dalam majlis perkahwinan baru-baru ini tular dalam media sosial dan menimbulkan dakwaan ahli politik DAP itu mempunyai hubungan dengan kumpulan di Sri Lanka yang dianggap sebagai pengganas oleh beberapa negara.
Susulan itu, pelbagai pihak tampil membuat lebih 50 laporan polis terhadap Ramasamy kerana dikatakan menyokong kumpulan pengganas LTTE. - Bernama

Saturday, 14 July 2018

Dengar dentuman nampak kereta diseret

TOYOTA Vellfire dirempuh treler sebelum diseret hingga melanggar bahagian belakang sebelah kanan bas yang dipandu Hazhar Hamzah.

RAWANG: "Saya terdengar dentuman kuat dan nampak melalui cermin sisi sebelah kanan, kereta Toyota Vellfire dirempuh treler sebelum diseret hingga melanggar bahagian belakang sebelah kanan bas yang saya pandu.
"Bas bergoyang namun saya dapat kawal sebelum meneruskan perjalanan.
"Sekembali ke lokasi kejadian selepas menurunkan penumpang di Kuala Lumpur, saya dapati kereta Perodua Alza remuk di lorong kecemasan dan terdapat empat mayat bertutup kain dan plastik hitam di atas jalan raya," kata pemandu bas ekspres, Hazhar Hamzah, 52, saksi kejadian kemalangan yang mengorbankan empat orang tengah hari tadi.
Dalam kejadian jam 12 tengah hari itu, tiga mangsa yang menaiki Perodua Alza dan pemandu Toyota Vellfire maut dalam nahas membabitkan enam kenderaan di Kilometer 445.9 Lebuh Raya Utara Selatan (PLUS) arah selatan dekat persimpangan Rawang Selatan di sini.
Kemalangan itu turut mencederakan empat yang lain termasuk seorang kanak-kanak.
Ketika kejadian, Hazhar membawa 41 penumpang dalam perjalanan dari Teluk Intan, Perak ke Kuala Lumpur.
Menurutnya, nahas berlaku sangat pantas namun dia bernasib baik kerana dapat mengelak daripada menjadi mangsa.
"Keadaan ketika itu memang cemas sedikit dan saya perlu kawal pemanduan agar tidak terbabas.
"Nasib baik bas berada di lorong dua kalau tidak kesannya lebih buruk dan berkemungkinan rempuhan akan berlaku dari arah depan bas.
"Hanya jarak satu lorong dapat mengelakkan kejadian itu," katanya ketika ditemui di tempat kejadian.
Hazhar berkata, dia terpaksa bergegas kembali ke lokasi untuk mendapatkan nombor pendaftaran lori yang melanggar bas untuk membuat laporan.
Kemalangan itu menyebabkan kesesakan lebih 10 kilometer di laluan menghala Selatan dan sesak lebih lima kilometer di laluan arah utara.

Monday, 2 July 2018

Kesal dikecam keterlaluan kerana nikahi kanak2 11 tahun

Che Abdul Karim Che Hamid menunjukkan gambar perkahwinan bersama isterinya Ayu di sebuah masjid di Selatan Thailand pada 4 Syawal yg lalu

GUA MUSANG - Peraih getah, Che Abdul Karim Che Hamid, 41, tidak teragak-agak mengambil tindakan undang-undang kepada pihak yang menyebarkan fitnah dan mengecam keluarganya secara keterlaluan.
Dia berkata, selepas membaca dan meneliti kisah itu di laman blog dan laporan atas talian, terdapat perkara yang bercanggah sehingga mengaibkan maruah keluarganya.
Katanya, walaupun terdapat desakan supaya melepaskan isteri ketiga yang baharu dinikahi dua minggu lalu, dia tidak akan sesekali melakukan perkara itu meskipun mendapat tentangan isteri pertama dan keduanya.

“Kerana sukakan Ayu, saya sepakat dengan keluarganya untuk kahwin gantung. Selagi tidak cukup umur, kami tidak dibenarkan tinggal bersama.


“Saya juga sudah membuat pertanyaan dengan ahli agama yang begitu arif di selatan Thailand. Kami bernikah di sana sebab dia warga Thailand. Jadi kami bernikah disaksikan imam, wali dan saksi seperti yang ada di dalam gambar itu,” katanya ketika ditemui di sini hari ini.

Che Abdul Karim berkata, dia tidak pernah mengabaikan keperluan dua isteri dan enam anaknya serta menyediakan keperluan seperti rumah, kereta dan wang yang mencukupi
“Jadi saya harap jangan bersangka buruk seperti yang dikecam dalam Facebook dan saya minta doa yang baik untuk kami,” katanya. - K! ONLINE