RAWANG: "Saya terdengar dentuman kuat dan nampak melalui cermin sisi sebelah kanan, kereta Toyota Vellfire dirempuh treler sebelum diseret hingga melanggar bahagian belakang sebelah kanan bas yang saya pandu.
"Bas bergoyang namun saya dapat kawal sebelum meneruskan perjalanan.
"Sekembali ke lokasi kejadian selepas menurunkan penumpang di Kuala Lumpur, saya dapati kereta Perodua Alza remuk di lorong kecemasan dan terdapat empat mayat bertutup kain dan plastik hitam di atas jalan raya," kata pemandu bas ekspres, Hazhar Hamzah, 52, saksi kejadian kemalangan yang mengorbankan empat orang tengah hari tadi.
Dalam kejadian jam 12 tengah hari itu, tiga mangsa yang menaiki Perodua Alza dan pemandu Toyota Vellfire maut dalam nahas membabitkan enam kenderaan di Kilometer 445.9 Lebuh Raya Utara Selatan (PLUS) arah selatan dekat persimpangan Rawang Selatan di sini.
Kemalangan itu turut mencederakan empat yang lain termasuk seorang kanak-kanak.
Ketika kejadian, Hazhar membawa 41 penumpang dalam perjalanan dari Teluk Intan, Perak ke Kuala Lumpur.
Menurutnya, nahas berlaku sangat pantas namun dia bernasib baik kerana dapat mengelak daripada menjadi mangsa.
"Keadaan ketika itu memang cemas sedikit dan saya perlu kawal pemanduan agar tidak terbabas.
"Nasib baik bas berada di lorong dua kalau tidak kesannya lebih buruk dan berkemungkinan rempuhan akan berlaku dari arah depan bas.
"Hanya jarak satu lorong dapat mengelakkan kejadian itu," katanya ketika ditemui di tempat kejadian.
Hazhar berkata, dia terpaksa bergegas kembali ke lokasi untuk mendapatkan nombor pendaftaran lori yang melanggar bas untuk membuat laporan.
Kemalangan itu menyebabkan kesesakan lebih 10 kilometer di laluan menghala Selatan dan sesak lebih lima kilometer di laluan arah utara.
No comments:
Post a Comment