Monday, 4 February 2019

PBB didesak siasat isu etnik Uighur di Xinjiang

Kumpulan hak asasi manusia mendesak PBB menyiasat penahanan etnik Uighur di Xinjiang, China. Foto Agens

GENEVA: Beberapa kumpulan hak asasi mendesak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) menghantar penyiasat ke wilayah Xinjiang di barat laut China, bagi menyiasat penahanan besar-besaran etnik Uighur dan kaum minoriti Islam lain.
“Penganiayaan yang berlaku di Xinjiang sudah menjadi semakin serius yang memerlukan perhatian masyarakat dunia,” kata ketua Human Rights Watch (HRW), Kenneth Roth kepada wartawan, di sini.
Selain HRW, beberapa pertubuhan masyarakat sivil dan hak asasi manusia, termasuk Amnesty International dan Kongres Uighur Sedunia, turut mengemukakan rayuan kepada badan hak asasi manusia PBB untuk menghantar pasukan penyiasat ke wilayah itu.
PBB yang memetik maklumat yang diperoleh sekumpulan pakar berkata, ketika ini, lebih satu juta etnik Uighur dan kumpulan minoriti lain, kebanyakannya beragama Islam ditahan di kem tahanan di Xinjiang.
Sementara itu, aktivis yang juga presiden Kongres Uighur Sedunia, Dolkun Isa, berkata kepada pemberita menerusi sidang video dari Oslo, bahawa kumpulannya percaya jumlah mereka yang ditahan di Xijiang mungkin mencecah tiga juta orang.
Sebelum ini, Beijing mendakwa ‘pusat pendidikan vokasional’ yang diwujudkan bertujuan menangani kegiatan pengganas dan membantu mereka menyesuaikan diri dalam masyarakat.
Namun, pengkritik menganggap China sedang berusaha mengasingkan penduduk minoriti di Xinjiang, dengan menindas amalan agama dan budaya yang bertentangan dengan ideologi Komunis serta budaya masyarakat Han. - AFP

No comments:

Post a Comment