LELAKI menghayunkan topi keledar ke arah polis yang cuba menahannya selepas dia disyaki terbabit dalam kejadian pecah kedai di Taman Setia, Sitiawan, semalam.
Dalam kejadian pada 8.45 malam itu, suspek berusia 28 tahun itu cuba melarikan diri daripada ditahan polis dengan memecut motosikal ditunggangnya sebelum terbabas.
Ketua Polis Daerah Manjung, Asisten Komisioner Nor Omar Sappi berkata, suspek turut bertindak agresif apabila cuba memukul dengan menghayunkan topi keledar ke arah polis yang mahu menahannya.
Menurutnya, berlaku pergelutan selama 15 minit antara suspek dan dua anggota polis terbabit sebelum lelaki itu berjaya ditahan.
"Suspek dan dua anggota mengalami kecederaan dalam pergelutan itu. Seorang anggota patah jari telunjuk kanan manakala seorang lagi mengalami lebam di kepala dan kaki akibat terkena pukulan topi keledar oleh suspek.
"Bagaimanapun, suspek tidak mengalami kecederaan serius. Dia serta kedua-dua anggota terbabit sudah mendapatkan rawatan di Hospital Seri Manjung," katanya dalam kenyataan, hari ini.
Nor Omar berkata, suspek dipercayai terbabit dalam kejadian pecah kedai di kawasan Manjung dan pihaknya turut merampas motosikal, sebilah parang panjang dan telefon bimbit dalam kejadian itu.
Katanya, selain itu, turut dirampas beberapa paket plastik yang disyaki dadah dan peralatan dipercayai digunakan untuk menghisap dadah pada suspek.
"Ujian saringan air kencing juga mendapati suspek positif dadah manakala semakan pada motosikal yang dirampas tidak dilapor hilang," katanya.
Menurutnya, suspek direman selama tujuh hari bermula hari ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan dan Seksyen 39(A)(2) Akta Dadah Berbahaya 1952.
"Selain itu, suspek turut disiasat mengikut Peraturan 11(1) Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit kerana melanggar arahan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP)," katanya.
No comments:
Post a Comment