Friday, 7 August 2020

"Saya takut dia kena langgar"

"FIKIRAN saya ketika itu hanya mahu membantu lelaki itu kerana takut dia kena langgar walaupun mengetahui ia satu tindakan berisiko tinggi.

"Saya juga tidak mahu serpihan kaca rosakkan kenderaan pengguna jalan raya lain," kata pengguna jalan raya, Nor Ain Shazwani Juahir.

Nor Ain, 27, berkata, dia kebetulan berada di lorong tengah dan melihat seorang lelaki memberhentikan motornya untuk mengalihkan serpihan kaca yang jatuh di atas jalan.

Tanpa berfikir panjang Nor Ain segera memberhentikan keretanya sebelum membantu pemuda terbabit mengutip serpihan kaca yang bertaburan di Lebuhraya Persekutuan.

"Saya nyalakan lampu kecemasan sebelum turun dari kereta bagi mengurangkan risiko kemalangan dan sebagai pemberitahuan kepada pengguna jalan raya lain.

"Tidak lama selepas itu, ramai penunggang motosikal turut turun membantu mempercepat kerja mengalihkan serpihan kaca itu.

"Ada juga pemandu kereta yang turut menghulurkan kain bagi mempermudahkan kami mengalihkan kaca itu ke tempat yang lebih selamat," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Detik cemas itu dikongsikan Nor Ain di Facebook hasil rakaman 'dashcam' kereta dipandunya itu.

Katanya, kejadian serpihan kaca bertaburan di jalan raya itu dipercayai berlaku disebabkan cermin dinding panjang yang jatuh dari lori.

"Ada dalam empat penunggang motosikal turut sama membantu membersihkan jalan itu dan kami dapat selesaikan dalam masa 15 minit sahaja," katanya.

Dia yang berasal dari Melaka Baru, Melaka itu tidak menyangka tindakan spontannya itu mendapat reaksi positif warganet.

"Saya bersyukur dan berterima kasih kepada mereka yang mendoakan kesejahteraan selain terinspirasi dengan tindakan kami itu.

"Kejadian itu membawa makna besar dalam hidup saya kerana kebetulan hari jadi saya keesokannya," katanya.

Tambahnya, dia turut teruja apabila Ustaz Ahmad Dusuki Abd Rani memuat naik status di Facebook memuji tindakan dia dan beberapa anak muda lain yang ada dalam video berkenaan.

"Teringat saya kepada suatu hadis Nabi SAW yang memperihalkan kisah seorang hamba Allah yang dianugerahkan syurga dek kerana amalnya iaitu membuang dahan pokok di jalanan.

"Semoga kebajikan yang dibuat itu, mempunyai nilai di sisi Allah, bahkan menjadi suatu inspirasi buat umat Islam di Malaysia untuk sama-sama melakukan kebaikan, tanpa memikirkan kepentingan peribadi semata-mata," katanya.

No comments:

Post a Comment