TIADA bukti menunjukkan penggunaan peralatan nyahkuman seperti kotak pembasmi kuman, terowong, partition, gate dan sebagainya berkesan dalam mengurangkan jangkitan Covid-19.
Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menerima beberapa permohonan bagi tujuan pengesahan penggunaan peralatan berkenaan.
Menurutnya, Cawangan Penilaian Teknologi Kesihatan KKM membuat penilaian memandangkan ia dilaporkan sudah digunakan sebagai peralatan nyahkuman di beberapa negara.
“Penilaian dilakukan terhadap beberapa model peralatan dari beberapa negara dan model yang sedia ada di Malaysia yang mana proses nyahkuman oleh peralatan dinilai membabitkan individu melalui peralatan itu untuk tempoh 20 hingga 30 saat. Individu akan disembur menggunakan bahan kimia bagi tujuan nyahkuman. Kesemua model yang dikaji menggunakan bahan kimia berlainan.
“Hasil daripada penilaian dilakukan mendapati bahawa tiada bukti untuk menunjukkan bahawa peralatan itu berkesan dalam mengurangkan jangkitan Covid-19. Jangka masa itu tidak memadai untuk proses nyahkuman berkesan.
“Prosesnya juga tidak boleh membunuh kuman di dalam badan manusia. Tambahan pula bahan kimia digunakan boleh membawa kemudaratan kepada selaput badan seperti di mata dan mulut,” katanya pada sidang media harian Covid-19 di Putrajaya, hari ini.
Berdasarkan penilaian itu, Dr Noor Hisham berkata, KKM tidak menyarankan penggunaan peralatan berkenaan sebagai langkah untuk mengurangkan jangkitan Covid-19 terhadap manusia.
Katanya, KKM akan terus memantau perkembangan wabak itu melalui segala maklumat diperolehi dan akan dimaklumkan kepada rakyat dari semasa ke semasa.
No comments:
Post a Comment