Saturday, 11 March 2017

Chong Wei selangkah rangkul All England

CHONG WEI menepati ramalan sebagai pilhan utama apabila mara ke pentas akhir Kejohanan All England di Birmingham, England semalam.
PERTARUHAN yang dibuat jaguh perseorangan negara, Datuk Lee Chong Wei berbaloi apabila melangkah satu lagi tapak untuk menghampiri gelaran keempat Kejohanan Badminton Seluruh England (All England) apabila berjaya mara ke pentas final di Birmingham, England semalam.
Pada perlawanan separuh akhir menentang Tien Chen Chou dari Taiwan, pemain No. 1 dunia itu kelihatan agak bergelut pada set pertama ekoran kecederaan MCL (medial collateral ligament) yang dialami apabila tewas 10- 21.
Bagaimanapun, pemain berusia 35 tahun itu enggan cepat berputus asa apabila nekad untuk bangkit menyelamatkan permainan sekali gus memenangi set kedua dengan keputusan 21- 14.
Memasuki set ketiga, kedua-dua pemain saling mengejar mata dan ia agak mencemaskan Chong Wei, namun pemenang pingat perak Sukan Olimpik sebanyak tiga kali itu terus berusaha menjarakkan mata sebelum berjaya menamatkan permainan dengan kemenangan 21-9.
Kejayaan itu melebarkan lagi rekod kemenangan Chong Wei kepada empat berbanding dua ke atas lawan yang kali terakhir pertemuan mereka berdua adalah pada pentas suku akhir Sukan Olimpik di Rio, tahun lalu.
Menerusi kemenangan itu, Chong Wei dijangka bertemu sama ada pemain China, Yuqi Shi atau musuh tradisi, Lin Dan yang dijadual berentap pada lewat malam semalam bagi merebut gelaran juara hari ini.
Sebagai rekod, Chong Wei pernah merangkul gelaran All -England sebanyak tiga kali iaitu pada tahun 2010, 2011 dan 2014.

No comments:

Post a Comment