------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------
NEW DELHI - Secara purata hampir dua ekor harimau dibunuh dalam tempoh seminggu di negara-negara Asia disebabkan permintaan tinggi, lapor Tabung Hidupan Liar Sedunia (WWF).
Senario itu menjadi ancaman terbesar bagi harimau disebabkan kekurangan maklumat tepat mengenai spesies berkenaan di beberapa negara, lapor agensi media, Press Trust of India (PTI).
Statistik yang dibuat oleh pihak pengurusan hidupan liar menunjukkan hampir 1,590 ekor harimau telah dibunuh antara Januari tahun 2000 dan April 2014, namun jumlah tersebut dikatakan akan meningkat dari semasa ke semasa.
"Kami bimbang sekiranya negara berkenaan tidak menyimpan data mengenai haiwan ini, mereka akan lebih terdedah kepada pencerobohan tanpa mereka sedari," kata wakil WWF.
Negara seperti India, Nepal dan Rusia menjadi antara negara yang mengemas kini maklumat mengenai populasi haiwan liar tersebut.
Bagaimanapun, rekod populasi harimau di Malaysia, Indonesia, Thailand, Myanmar, Laos, Kemboja dan Vietnam tidak dikemas kini dengan betul, ujar wakil WWF.
Secara keseluruhan, jumlah populasi harimau di seluruh dunia dianggarkan cuma 3,200 ekor pada tahun 2010.
"Sekitar tahun 2010, banyak negara tidak membuat kaji selidik harimau secara sistematik.
"Kini kami cuba sedaya upaya untuk mendapatkan maklumat sehingga kami berjaya mengenal pasti jumlah sebenar haiwan liar ini termasuk habitat selain berusaha untuk memberi pelindungan kepada mereka," kata Ketua WWF Inisiatif Mengekalkan Harimau Liar, Michael Baltzer. - Bernama
No comments:
Post a Comment