Friday, 15 January 2016

‘Lori hantu’ dilarikan pencuri – Polis (Utusan)

KUALA LUMPUR 15 Jan. - Dua ‘teori’ itu kini menjadi tanda tanya dalam siasatan polis selepas lori ‘hantu’ yang sarat dengan barangan pembinaan itu menghentam 39 kenderaan sehingga menyebabkan dua pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Bandar Damai Perdana dekat Kajang yang sedang menunggu maut di situ, semalam. 

Dalam kejadian tragis pada pukul 12.50 petang itu, terdapat saksi mendakwa lori berkenaan bergerak sendiri dari kawasan pembinaan yang terletak kira-kira 500 meter dari sekolah, lalu hilang kawalan semasa menuruni kawasan berbukit di situ.
Saksi juga mendakwa terlihat seorang warga asing telah melarikan diri dalam kejadian itu.

Bagaimanapun, hari ini ‘teori’ berkenaan bertukar 360 darjah apabila polis memberitahu kejadian itu berpunca akibat lori itu dicuri oleh seorang yang tidak dikenali ketika pemandunya singgah di sebuah kedai makan berhampiran.

Lori itu dibawa lari sekurang-kurangnya satu kilometer sebelum kenderaan berkenaan gagal dikawal oleh pencuri lalu merempuh puluhan kenderaan lain yang kebanyakannya adalah motosikal.

Perkara itu disahkan oleh Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Willey Richard yang memberitahu, pihaknya kini sedang menyiasat punca sebenar kejadian termasuklah dakwaan berlakunya kecurian lori.

Menurutnya, siasatan polis setakat ini mendapati bahawa kemalangan itu berpunca apabila sebuah lori hantu telah hilang kawalan semasa menuruni bukit dan bergerak melanggar deretan kenderaan yang diletakkan berdekatan dengan sekolah.
“Lori tersebut gagal dikawal oleh pencuri itu lalu merempuh 39 buah kenderaan termasuklah dua buah sebuah motokar jenis Proton Wira dan Toyota Avanza, sebuah van jenis Toyota Hiace serta 36 buah motosikal.

“Kemalangan itu telah mengakibatkan dua gadis Cina yang juga merupakan pelajar tingkatan Dua Sekolah Menengah Damai Perdana itu maut. Mereka ketika itu sedang menunggu untuk sesi petang persekolahan,” katanya dalam satu kenyataan akhbar di Facebook Polis Selangor, di sini hari ini.

Tambah beliau lagi, sejurus selepas kemalangan itu berlaku, pelajar serta ibu bapa yang berada di lokasi dan melihat kejadian cuba untuk menangkap pemandu yang ingin mencuri lori tersebut, namun tindakan mereka gagal apabila suspek berjaya memboloskan diri.

“Sungguhpun begitu, pihak polis telah menahan pemandu lori asal itu, seorang warganegara Indonesia yang berusia 39 tahun dan kes disiasat di bawah Seksyen 304 A Kanun Keseksaan kerana melakukan perbuatan atau tindakan yang menyebabkan kematian atas kecuaian.

“Pemandu itu ditahan reman selama tujuh hari bermula hari ini dan pihak polis kini masih meneruskan siasatan dan sedang giat melakukan siasatan rapi termasuk memburu suspek yang didakwa mencuri lori terbabit,” katanya.

Dalam kejadian semalam, dua pelajar iaitu Lau Zi Xin dan Wong Siow Xuen maut selain mencederakan seorang pemandu wanita dan seorang lagi wanita yang juga peniaga ayam.

No comments:

Post a Comment