Saturday, 11 March 2017

AS cari strategi baharu tangani Korea Utara

WASHINGTON – Amerika Syarikat (AS) bergegas membangunkan strategi baharu bagi menangani program senjata nuklear dan peluru berpandu Korea Utara, namun sekatan lebih ketat berisi–ko mencetuskan konfrontasi dengan China.
Krisis di Semenanjung Korea men–cetuskan cabaran keselamatan serius pertama kepada Presiden AS, Donald Trump. Sebelum ini, Pentagon telah membangkitkan kemarahan China dengan menempatkan sistem pertahanan antipeluru berpandu AS di Korea Selatan.
Washington dijangka bertindak lebih jauh dengan merancang untuk menghukum bank-bank China yang bekerjasama de–ngan Korea Utara.
Jurucakap Jabatan Negara, Mark Toner berkata, ancaman Korea Utara akan menjadi agenda utama pertemuan Setiausaha Negara AS, Rex Til–lerson dengan rakan sejawatnya dari China dan Korea Selatan pada minggu hadapan.
“Beliau akan berunding tentang pilihan AS dan cara baharu untuk menyelesaikan situasi di Semenanjung Korea,” kata Toner.
Namun, terdapat isyarat daripada China bahawa Beijing keberatan mengenakan lebih tekanan terhadap jirannya itu.
GAMBAR fail tidak bertarikh menunjukkan sistem peluru berpandu THAAD dilancarkan di sebuah lokasi rahsia.- REUTERS
Pada Rabu lepas, Menteri Kewa–ngan China, Wang Yi membayangkan bahawa AS dan Korea Utara bertanggungjawab melakukan provokasi yang memburukkan lagi situasi di Semenanjung Korea.
Beliau sebaliknya menggesa AS menghentikan latihan tentera besar-besaran bersama Korea Selatan sebagai timbal balas untuk Korea Utara menggantung program nuklear dan misilnya tetapi ditolak oleh Washington.
“Tanggungjawab untuk bertindak ke arah pembasmian senjata nuklear dan menamatkan provokasi kini terletak pada bahu Korea Utara,” kata Toner.
China pada masa lalu menyokong langkah-langkah terhadap program nuklear Korea Utara tetapi enam sekatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu sejak ujian nuklear pertama Pyongyang pada 2006 gagal membendung program senjata pemusnah itu.
Korea Utara kini membina dan me–nguji peluru berpandu balistik antara benua (ICBM) menggunakan bahan api pepejal yang boleh dibawa oleh konvoi kecil dan mudah disembunyikan.
Kemajuan persenjataan itu menjadikan tentera Korea Selatan dan AS sukar mengesan ICBM berkenaan sekali gus menjadikan bandar-bandar AS dan pangkalannya di Jepun berada dalam jarak serangan nuklear.
Peluru berpandu itu bagaimanapun tidak dilihat sebagai isu keselamatan oleh China walaupun ia menentang program nuklear Korea Utara.
“China tidak serius tentang ancaman ini,” kata bekas pegawai Jabatan Negara AS, Anthony Ruggiero.
Katanya, cara utama supaya Beijing mengambil berat perkembangan tersebut adalah dengan menghukum atau mendenda bank-bank China yang memberi akses kewangan antarabangsa kepada Korea Utara.
“Bank-bank ini melakukan urus niaga menggunakan mata wang China, euro dan dolar AS,” katanya. – AFP

Giliran cendol abang kacak pula jadi viral

PENJUAL cendol ini bukan sahaja kacak, malah cendol yang dijual juga enak.
SELEPAS Nasi Lemak Anak Dara, kini giliran cendol abang kacak pula mencuri tumpuan netizen apabila ia heboh diperkatakan sepanjang minggu lalu.
Seorang pengguna Twitter yang hanya dikenali sebagai Farah Liyana telah memuat naik beberapa keping foto penjual cendol di sebuah gerai yang terletak di Ipoh, Perak.
Menerusi gambar-gambar tersebut, Farah Liyana menulis kapsyen: “Bukan senang nak cari cendol yang sedap and tukang buat dia handsome! Only in Ipoh! So sesiapa yang pergi Ipoh you should try this cendol.”
Penjual tersebut, M. Kelvinraj, 18, sememangnya cukup kacak selain menjual cendol yang enak di bandar Ipoh.
Rata-rata netizen tertarik untuk pergi ke gerai cendol tersebut kerana mahu mencuba sendiri keenakan cendol yang dimaksudkan Farah Liyana dan berharap agar perniagaannya akan terus berkembang maju.

Jong-nam disemadikan di Malaysia

BALIK PULAU – Mayat pemimpin buangan Korea Utara, Kim Jong-nam yang dibunuh di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (KLIA2) pada 13 Februari lalu boleh di­semadikan di negara ini.
Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Hilmi Yahaya berkata, berdasarkan undang-undang di negara ini jika terdapat sebarang kematian, mayat harus diserahkan kepada waris si mati.
Bagaimanapun menurutnya, mayat warga Korea Utara itu boleh dikebumikan di negara ini jika tidak dituntut oleh waris atau keluarga si mati.
Katanya, pihak kementerian tidak akan terburu-buru membuat sebarang keputusan terhadap mayat Jong-nam, 46, yang me­rupakan abang tiri pe­mimpin tertinggi Korea Utara, Kim Jong-un kerana ia merupakan kes berprofil tinggi.
“Polis sudah menyerahkan mayat Jong-nam kepada Kementerian Kesihatan. Justeru, kita akan buat keputusan (berhubung mayat Jong-nam),” katanya kepada pemberita selepas merasmikan program Jamboree Balik Pulau 2017 di Politeknik Balik Pulau di sini semalam.
MAYAT Jong-nam kini disimpan di Institut Perubatan Forensik Negara, Hospital Kuala Lumpur.

Chong Wei selangkah rangkul All England

CHONG WEI menepati ramalan sebagai pilhan utama apabila mara ke pentas akhir Kejohanan All England di Birmingham, England semalam.
PERTARUHAN yang dibuat jaguh perseorangan negara, Datuk Lee Chong Wei berbaloi apabila melangkah satu lagi tapak untuk menghampiri gelaran keempat Kejohanan Badminton Seluruh England (All England) apabila berjaya mara ke pentas final di Birmingham, England semalam.
Pada perlawanan separuh akhir menentang Tien Chen Chou dari Taiwan, pemain No. 1 dunia itu kelihatan agak bergelut pada set pertama ekoran kecederaan MCL (medial collateral ligament) yang dialami apabila tewas 10- 21.
Bagaimanapun, pemain berusia 35 tahun itu enggan cepat berputus asa apabila nekad untuk bangkit menyelamatkan permainan sekali gus memenangi set kedua dengan keputusan 21- 14.
Memasuki set ketiga, kedua-dua pemain saling mengejar mata dan ia agak mencemaskan Chong Wei, namun pemenang pingat perak Sukan Olimpik sebanyak tiga kali itu terus berusaha menjarakkan mata sebelum berjaya menamatkan permainan dengan kemenangan 21-9.
Kejayaan itu melebarkan lagi rekod kemenangan Chong Wei kepada empat berbanding dua ke atas lawan yang kali terakhir pertemuan mereka berdua adalah pada pentas suku akhir Sukan Olimpik di Rio, tahun lalu.
Menerusi kemenangan itu, Chong Wei dijangka bertemu sama ada pemain China, Yuqi Shi atau musuh tradisi, Lin Dan yang dijadual berentap pada lewat malam semalam bagi merebut gelaran juara hari ini.
Sebagai rekod, Chong Wei pernah merangkul gelaran All -England sebanyak tiga kali iaitu pada tahun 2010, 2011 dan 2014.

Sunday, 5 March 2017

Duta Besar Korea Utara diusir keluar

SEKUMPULAN wartawan mengerumuni sebuah kenderaan yang keluar dari Kedutaan Besar Korea Utara di Damansara Heights, Kuala Lumpur semalam.
KUALA LUMPUR – Malaysia semalam mengambil tindakan tegas dengan mengisytiharkan Duta Besar Korea Utara, Kang Chol sebagai persona non grata (orang yang tidak dihargai) dan mengarahkan pegawai berkenaan meninggalkan negara ini dalam tempoh 48 jam.
Keputusan itu dibuat melalui satu Nota Diplomatik yang dihantar kepada Kedutaan Besar Korea Utara selepas Kang Chol dan pegawai kanan dari kedutaan itu tidak hadir untuk bertemu Timbalan Ketua Setiausaha Hubu­ngan Dua Hala Kementerian Luar, Raja Nushir­wan Zainal Abidin di Wisma Putra, Putrajaya dekat sini.
Menteri Luar, Datuk Seri Anifah Aman berkata, Kang Chol dikehendaki meninggalkan Malaysia selewat-lewatnya dalam tempoh 48 jam bermula pukul 6 petang semalam.
Menurutnya, pada 28 Februari lalu, kerajaan Malaysia telah menuntut supaya kerajaan Korea Utara mengemukakan permohonan maaf secara bertulis bagi dakwaan-dakwaan yang te­lah dilontarkan oleh duta negara itu terhadap Malaysia.

Thursday, 19 January 2017

Saya lelaki dewasa – Aedy Ashraf [kosmo]

Memulakan kerjaya sebagai pelakon pada usia lapan tahun, peminat drama dan filem tempatan pastinya masih boleh mengecam lakonan Aedy Ashraf menerusi karakter Asmawi dalam filem Tentang Bulan pada 2006.
Filem tersebut menjadi naskhah layar perak pertama bagi Aedy atau nama sebenarnya Mohammed Addy Ashraf Rosmadi membawakan watak utama.
Meskipun 10 tahun telah berlalu, segelintir peminat dan penggiat industri beranggapan bahawa Aedy masih dalam lingkungan usia kanak-kanak dan jarang mendapat tawaran watak utama.
Sedar skeptikal yang seperti melekat pada dirinya, jejaka berkumis nipis itu tidak mahu menuding jari menyalahkan mana-mana pihak. Dia sebaliknya berusaha mengubah penampilan agar kelihatan seperti lelaki dewasa, seiring usianya yang kini mencecah 24 tahun.

Aedy turut mengulas penglibatannya menerusi filem terbaharu bertajuk Dorm Melati arahan Eyra Rahman yang telah pun memulakan tayangannya pada 12 Januari lalu.
Selain Aedy filem tersebut turut dibintangi Julia Marin, Nadia Aqilah, Aizat Hassan, Syaa Nasir, Ardell Aryana, dan Sabrina Ali.
KOSMO!: Selepas muncul dalam filem Tentang Bulan sekitar 10 tahun lalu, Aedy seperti mengambil masa terlalu lama untuk tampil menerusi filem, kenapa?
AEDY:Filem Dorm Melati bukanlah karya kemunculan semula, sebaliknya ia merupakan naskhah layar perak yang kedua memperlihatkan saya sebagai teraju utama. Selepas Tentang Bulan, tidak dinafikan ramai beranggapan kerjaya seni saya kurang menyerlah.
Sejujurnya saya masih aktif namun disebabkan sering mendapat watak sama iaitu sebagai pelajar sekolah saya terpaksa tolak. Tidak pernah terdetik di hati saya untuk meninggalkan dunia hiburan apatah lagi menerusi kerjaya ini, saya membantu meringankan beban kewangan keluarga.
Adakah disebabkan wajah keanak-anakan dan tidak memiliki bentuk badan sasa membuatkan anda sering menerima watak remaja atau pelajar sekolah?
Secara peribadinya, saya tidak menafikan faktor itu ada mempengaruhi tahap peningkatan karier lakonan saya, malah ada yang beranggapan saya masih kanak-kanak.
Apakah usaha atau langkah yang dilakukan bagi menangkis skeptikal tersebut dan mempertahankan bahawa anda kini sudah bersedia menggalas watak lelaki dewasa?
Demi memperlihatkan karakter sebagai seorang lelaki dewasa, saya mengambil langkah menyimpan rambut yang agak panjang dan bermisai agar kelihatan lebih matang.
Diharapkan cara ini membuatkan peminat dan penggiat seni melihat saya sebagai seorang lelaki dewasa yang telah berusia 24 tahun.
Melihat tempoh penglibatan dalam lapangan seni, adakah anda telah menemui kematangan, khususnya tentang karakter yang dibawa?
Sekiranya melibatkan soal lakonan, sukar untuk saya jelaskan atau beri pandangan kerana penonton yang seharusnya membuat penilaian tentang perkara tersebut. Secara peribadi, saya turut menonton semula karya lakonan saya bagi membetulkan kesilapan. Selepas menonton filem terdahulu, saya terfikir betapa cepatnya masa berlalu. Bermula sebagai pelakon kanak-kanak kini saya telah menjadi lelaki dewasa.
Baru-baru ini, anda juga terlibat dalam drama rantaian popular, Lara Aishah. Selepas ini, apa lagi drama anda yang akan menemui penonton?
Saya bersyukur dan berterima kasih kepada peminat yang menyokong drama tersebut. Selepas ini, peminat boleh menyaksikan lakonan saya menerusi drama rantaian Suami Paling Sweet. Buat masa ini, saya sedang sibuk menjalani penggambaran naskhah rantaian bertajuk Syurgaku Tak Sempurna.
Memandangkan filem Dorm Melati merupakan filem kedua yang menyaksikan lakonan anda membawa watak hero, boleh kongsikan pengalaman menjayakan naskhah tersebut?
Ia sebuah filem seram yang menjalani penggambaran selama 15 hari di sebuah banglo lama di Bukit Larut, Taiping, Perak.
Ketika menjalani sesi penggambaran, tidak dinafikan cuaca yang agak sejuk terutama pada waktu malam dan kami semua harus melalui jalan sempit untuk ke lokasi penggambaran. Ia sungguh mencabar.
Saya membawa watak sebagai Adam yang amat tertarik dengan kisah seram mengenai kematian seorang wanita bernama Melati Putih. Perkara itu secara tidak langsung membuatkan Adam bersama empat rakannya iaitu Zafirah lakonan Nadia Aqilah, Eddy (Aizat Hassan), Carol (Syaa Nasir) dan Raihana (Ardell Aryana) memasuki sebuah bangunan yang dinamakan Dorm Melati.
Membintangi filem bercorak seram, adakah anda ada mengalami sebarang kejadian pelik atau gangguan mistik sewaktu berada di lokasi penggambaran?
Semasa penggambaran tiada sebarang kejadian aneh atau mistik berlaku tetapi perasan takut itu ada kerana penggambaran dijalankan di sebuah banglo lama yang pastinya pelbagai perkara misteri bermain di fikiran (ketawa).
Setelah hampir 15 tahun terlibat sebagai pelakon, karakter bagaimanakah yang anda ingin lakonkan?
Saya mengharapkan peluang membawakan watak seperti Jocker dalam filem Batman atau seorang psiko yang mempunyai banyak karakter dan personaliti dalam satu masa.


Monday, 21 November 2016

Pelajar 6A meninggal dunia (kosmo)

PASIR MAS – Murid cemerlang yang memperoleh keputusan 6A dalam Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) minggu lalu meninggal dunia semalam selepas bertarung nyawa melawan penyakit kanser kelenjar darah atau limfoma sejak September lalu.


Wan Mazlan (tengah) menurunkan jenazah Wan Adibah Farhani ke liang lahad di Tanah Perkuburan Islam Kampung Lemal semalam.

Bapa kanak-kanak pe­rempuan itu, Wan Mazlan Wan Hassan, 50, berkata,­ Wan Adibah Farhani menghembuskan nafas terakhirnya kira-kira pukul 4 pagi di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Universiti Sains Malaysia di Kubang Kerian, Kota Bharu.


“Arwah dilihat cukup gembira pada Khamis lalu selepas dia diberitahu memperoleh keputusan 6A dalam UPSR. Itu me­rupakan detik dia paling gembira sepanjang mendapat rawatan di hospital.

“Bagaimanapun, pada sebelah petang hari yang sama, tahap kesihatan Wan Adibah Farhani semakin menurun sehinggalah dia menghembuskan nafas awal pagi tadi (semalam),” katanya ketika ditemui di sini semalam.