Friday, 9 April 2021

Cef Wan tak tahu Serina dah nikah

 

Kuala Lumpur: Cef selebriti terkenal, Cef Wan kecewa apabila hanya mendapat tahu mengenai pengumuman pernikahan anaknya, Serina daripada kakaknya, hari ini.

Cef Wan atau nama sebenarnya Redzuawan Ismail, 63, dalam satu hantaran di Instagram berkata, Serina memang ada beritahu mahu melangsungkan pernikahan sebelum Ramadan, namun rupa-rupanya dia sudah bernikah di Thailand.

Cef Wan berkata, dia mendapat gambar itu daripada kakaknya yang bertanya sama ada dia tahu atau tidak Serina sudah berkahwin.

"Dia umumkan dalam IG (Instagram). Saya sangat terkejut. Dua minggu lalu, dia (Serina) berkeras nak menikah juga sebelum puasa. Dia juga kata sudah bernikah di Thailand. Hati saya ibarat dipanah petir ketika itu.

Menurut Cef Wan, dia tidak terkejut pun diketepikan sebegitu oleh Serina. Namun, sebagai bapa, dia semestinya sangat terkilan dengan tindakan anaknya itu.

"Saya tak melarang pun dia nak menikah. Pergi nikah di Siam (Thailand) sudah lama itu baru bagi tahu bapanya, awak fikir bagus budi bahasa anak jenis begini?

"Rina, suka hati kamulah. Kamu pun sudah tua masing-masing tahu dan bertanggungjawab dengan apa yang kamu lakukan ini semua terutama tanpa pengetahuan saya," katanya.

Walaupun rasa terluka, Cef Wan tetap mendoakan kebahagiaan perkahwinan anaknya itu.

"Pada tahap ini, saya pasti mana-mana ibu bapa akan berkongsi perasaan sebagaimana apa yang saya alami sekarang. Kita doakan terbaik untuk pernikahan mereka ini sudahlah," katanya.

Difahamkan Serina sudah bernikah dengan seorang pegawai polis di Padang Besar, Thailand di antara Disember tahun lalu dan Januari lalu.

Sementara itu, usaha Harian Metro menghubungi Serina bagi mendapatkan reaksinya tidak berjaya apabila dia tidak membalas mesej dan menjawab panggilan telefon.

Terdahulu, Serina mengumumkan sudah melangsungkan pernikahan dengan jejaka pilihannya dikenali sebagai Aidid, hari ini.

Majlis pernikahannya itu dibuat secara tertutup dan bersyukur akhirnya dipertemukan dengan jodoh yang terbaik buatnya.

Friday, 7 August 2020

"Saya takut dia kena langgar"

"FIKIRAN saya ketika itu hanya mahu membantu lelaki itu kerana takut dia kena langgar walaupun mengetahui ia satu tindakan berisiko tinggi.

"Saya juga tidak mahu serpihan kaca rosakkan kenderaan pengguna jalan raya lain," kata pengguna jalan raya, Nor Ain Shazwani Juahir.

Nor Ain, 27, berkata, dia kebetulan berada di lorong tengah dan melihat seorang lelaki memberhentikan motornya untuk mengalihkan serpihan kaca yang jatuh di atas jalan.

Tanpa berfikir panjang Nor Ain segera memberhentikan keretanya sebelum membantu pemuda terbabit mengutip serpihan kaca yang bertaburan di Lebuhraya Persekutuan.

"Saya nyalakan lampu kecemasan sebelum turun dari kereta bagi mengurangkan risiko kemalangan dan sebagai pemberitahuan kepada pengguna jalan raya lain.

"Tidak lama selepas itu, ramai penunggang motosikal turut turun membantu mempercepat kerja mengalihkan serpihan kaca itu.

"Ada juga pemandu kereta yang turut menghulurkan kain bagi mempermudahkan kami mengalihkan kaca itu ke tempat yang lebih selamat," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Detik cemas itu dikongsikan Nor Ain di Facebook hasil rakaman 'dashcam' kereta dipandunya itu.

Katanya, kejadian serpihan kaca bertaburan di jalan raya itu dipercayai berlaku disebabkan cermin dinding panjang yang jatuh dari lori.

"Ada dalam empat penunggang motosikal turut sama membantu membersihkan jalan itu dan kami dapat selesaikan dalam masa 15 minit sahaja," katanya.

Dia yang berasal dari Melaka Baru, Melaka itu tidak menyangka tindakan spontannya itu mendapat reaksi positif warganet.

"Saya bersyukur dan berterima kasih kepada mereka yang mendoakan kesejahteraan selain terinspirasi dengan tindakan kami itu.

"Kejadian itu membawa makna besar dalam hidup saya kerana kebetulan hari jadi saya keesokannya," katanya.

Tambahnya, dia turut teruja apabila Ustaz Ahmad Dusuki Abd Rani memuat naik status di Facebook memuji tindakan dia dan beberapa anak muda lain yang ada dalam video berkenaan.

"Teringat saya kepada suatu hadis Nabi SAW yang memperihalkan kisah seorang hamba Allah yang dianugerahkan syurga dek kerana amalnya iaitu membuang dahan pokok di jalanan.

"Semoga kebajikan yang dibuat itu, mempunyai nilai di sisi Allah, bahkan menjadi suatu inspirasi buat umat Islam di Malaysia untuk sama-sama melakukan kebaikan, tanpa memikirkan kepentingan peribadi semata-mata," katanya.

Saturday, 11 July 2020

Derita Khalid selepas bersara

"SAYA tengok muka kamu pun dah macam orang utan" itu antara pendedahan Zarina Zainal, isteri bekas pemain kebangsaan Khalid Jamlus yang akhirnya membuka mulut menjelaskan segalanya berkaitan suami.
Zarina mendakwa Khalid melakukan pelbagai kerja demi menyara keluarga selepas bersara dalam arena bola sepak.
Tampil menerusi akaun Facebooknya, Zarina menjelaskan Khalid sebenarnya bukan pemalas atau memilih pekerjaan seperti yang didakwa sesetengah pihak malah melakukan pelbagai kerja berat tanpa memikirkan statusnya yang pernah bergelar sebagai bintang bola sepak negara.
Beliau berkata, suaminya pernah mengusahakan perniagaan penghantaran barang selepas bersara namun terpaksa menutupnya berikutan ditipu akibat terlampau percaya kepada orang lain.
"Sebenarnya ramai yang tidak tahu macam-macam kamu (Khalid) kerja sudah buat dan cuba selepas bersara daripada arena bola sepak.
"Selain sebagai jurulatih, kamu sudah buat perniagaan kargo samapi ikut pemandu lori hantar barang, paling jauh sampai Kuantan dan terpaksa tutup perniagaan kerana kena tipu (tak ada pengetahuan perniagaan dan cepat percaya orang sebab itu senang kena tipu.. padan muka," katanya.
"Apa Lagi? Kerja dengan hantu, buat jalan… jalan tar tu!, dah macam orang minyak berkilat muka dan bila senyum nampak gigi saja," katanya.
Selain itu, Zarina juga mendedahkan Khalid mengambil keputusan menjual barang kesayangannya merangkumi pingat, jersi dan trofi kasut emas kerana tidak tahan apabila mengetahui isterinya diejek individu lain.

"Saya tahu banyak faktor yang mendesak kamu buat macam ini… sebagai anak, suami dan ayah juga, segalanya bermula bila tiada pekerjaan, orang ejek isteri kamu.. kasihan laki tak kerja.
"Ibu dan ayah sakit, nak kena bayar rumah yang kamu beli untuk ayah dan ibu waktu mula main bola selain anak nak membesar dan untuk isteri juga.
"Saya hormati apa jua keputusan kamu kerana mengenali kamu daripada bujang sudah mula pikul tanggungjawab kepada ibu bapa dan adik beradik sehingga kahwin," katanya.
Terdahulu, tindakan Khalid menjual jersi dan medal kemenangan, termasuk trofi kasut emas yang dimenanginya cukup mengejutkan ramai pihak sekali gus membongkar kehidupan sukar pemain berkenaan yang tidak mempunyai pekerjaan tetap sejak tiga tahun lalu.
Khalid berkata, beliau mengharungi kehidupan yang perit dengan hartanya seperti rumah dan kereta hampir ditarik kerana tidak mampu membayar ansuran bulanan.
Meskipun memiliki lesen kejurulatihan kelas B, dia mengakui agar sukar untuk mendapatkan pasukan termasuk pernah meminta bantuan daripada pihak tertentu seperti Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) dan pasukan Liga Malaysia namun semuanya hampa.

Wednesday, 24 June 2020

Bukit Broga ditutup

BUKIT Broga di Semenyih, Selangor ditutup selama dua minggu daripada sebarang aktiviti pendakian susulan pelanggaran prosedur operasi standard (SOP) mulai 27 Jun ini.
Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah Hulu Langat Yusri Zakariah berkata, mesyuarat Jawatankuasa Kerja Keselamatan Selangor hari ini bersetuju menutup kawasan rekreasi berkenaan.
"Pengarah Jabatan Kesihatan Selangor akan mengeluarkan arahan penutupan Bukit Broga mengikut Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah di dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) (No 7)2020.

"Agensi-agensi berkaitan juga diminta membuat hebahan dan pemantauan terhadap pematuhan SOP yang ditetapkan," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Pada 22 Jun lalu, kawasan rekreasi berkenaan dilaporkan 'sesak' pada hujung minggu lalu selepas dikunjungi individu yang ingin berekreasi di kawasan berkenaan.
Bukit Broga yang berada di bawah seliaan MPKJ itu tidak menempatkan pegawai secara khusus di kawasan berkenaan memandangkan kawalan ke laluan masuk dilakukan pemilik tanah serta pengendali parkir.

Saturday, 13 June 2020

Cinta PKP Syamimi & Zainari


"KAMI berkenalan dan bercinta ketika bertugas di Pusat Kuarantin di Kuala Kedah sewaktu Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan mengambil keputusan bertunang hari ini," kata Nur Syamimi Ramli, 32.
Nur Syamimi, anggota Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Padang Terap mengikat tali pertunangan dengan anggota APM Yan, Sarjan Zainari Ahmad, 33.
Menurutnya, mereka sebelum ini tidak pernah mengenali antara satu sama lain walaupun dalam satu jabatan sama di negeri ini.
"PKP menyatukan kami berdua dan Insya-Allah akan bernikah pada 31 Ogos depan," katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Jeneri, Begia, Sik, hari ini.
Nur Syamimi berkata, perkenalan mereka berlaku pada 9 April lalu ketika dia dan pasangannya bertugas di pusat kuarantin itu dan tunangnya ketika itu bersama pasukan APM Yan.
Katanya, ketika sedang bergurau, secara tidak sengaja, Zainari terpegang tangannya menyebabkan mereka sama-sama malu kerana tidak pernah bertegur sapa.
"Namun selepas habis bertugas petang itu, saya ada menghubunginya selepas meminta nombor telefon melalui rakan.
"Mulanya dia ingat saya nak marah dia sebab terpegang tangan saya tetapi saya cuba untuk mengenalinya dan dari situ kami sering berhubung," katanya yang juga ibu tunggal yang mempunyai seorang anak lelaki berusia 10 tahun.
Nur Syamimi berkata, Zainari kemudian mengajak bertemu keluarganya di Yan dan mereka berbincang untuk bertunang.
Sementara itu, Zainari berkata, dia tidak menyangka akan bertemu jodoh dengan Nur Syamimi dan mengambil masa dua bulan untuk mengenali hati budi masing-masing.
Katanya, Nur Syamimi pandai menjaga hatinya dan selalu mengambil berat menyebabkan dia jatuh cinta.
"Saya menerimanya dengan hati yang terbuka dan berharap semoga jodoh kami berpanjangan," katanya.

Saturday, 2 May 2020

Covid-19: Cegah 'kluster shopping raya'

PEMBUKAAN sektor ekonomi menerusi pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) bermula Isnin ini perlu dilaksanakan secara beransur-ansur, bukan dilakukan secara mendadak.
Pakar Perubatan Kesihatan Awam dan Pakar Epidemiologi, Jabatan Perubatan Kemasyarakatan dan Pencegahan, Fakulti Perubatan Universiti Malaya, Prof Dr Noran Naqiah Hairi berkata, ia selaras saranan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).
Menurutnya, apa dimaksudkan secara berperingkat-peringkat itu termasuk sektor demi sektor serta melihat kepada zon hijau, kuning dan merah berkaitan penularan Covid-19.
Beliau berkata, keputusan memberikan kelonggaran hampir 100 peratus kepada sektor ekonomi dan membenarkan orang bersukan contohnya berjoging atau bermain badminton serta keluar makan di restoran secara serentak dalam satu masa amat membimbangkan sekali.
"WHO menekankan berkali-kali kepentingan exit-strategy secara beransur-ansur atau apa yang sering diperkatakan Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah sebagai soft-landing.
"Mengapa? Virus SARS-Cov- 2 yang menyebabkan penyakit Covid 19 ini amat bijak sekali. Dalam tempoh beberapa bulan ini, kita pelajari terdapat asymptomatic transmission/infection dan pre-symptomatic transmission yang boleh berlaku.
"Disebabkan ini seseorang dijangkiti akan berasa sihat, tidak menunjukkan apa-apa gejala penyakit. Padahal pada masa ini dia boleh menjangkiti orang lain," katanya ketika dihubungi Harian Metro, hari ini.
Beliau berkata, ada juga kes dilaporkan bahawa seseorang yang dijangkiti Covid-19 boleh menjangkiti orang lain dua hingga tiga hari sebelum simptom kepada dirinya bermula.
Tidak mustahil, katanya, apabila ramai orang keluar serentak termasuk pekerja atau orang yang keluar bersukan itu adalah dalam kalangan individu positif Covid-19 namun asymptomaticdan pre-symptomatic.
"Bayangkan sekiranya ini berlaku di tempat yang mempunyai ketumpatan populasi yang tinggi contohnya Selangor dan Kuala Lumpur.
"Ia amat membimbangkan sekali. Penularan wabak Covid-19 ini boleh menjadi tidak terkawal.
"Memandangkan PKPB sudah diumumkan, semua individu seluruh negara perlu mengamalkan disiplin yang tinggi," katanya.
Sebagaimana sejak awal Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) diperkenalkan 18 Mac lalu, beliau menasihatkan jangan keluar rumah sekiranya tiada tujuan penting.
Menurutnya, setiap individu berperanan memerangi penularan Covid-19 termasuk mencegah 'kluster shopping raya'.
"Janganlah bersesak-sesak lagi pasar raya. Tidak perlu makan beramai-ramai di luar, beli bungkus dan makan di rumah.
"Amalkan PKP sendiri. Tidak perlulah galak membeli-belah seperti sebelum berlakunya pandemik ini.
"Senaman masih boleh dibuat di dalam rumah. Beli-belah boleh di atas talian. Bagi yang keluar bekerja, amalan disiplin tinggi amat penting sekali," katanya sambil berpesan teruskan amalan normal baharu seperti penjarakan sosial dan kerap mencuci tangan.

Hayun topi keledar pada polis

LELAKI menghayunkan topi keledar ke arah polis yang cuba menahannya selepas dia disyaki terbabit dalam kejadian pecah kedai di Taman Setia, Sitiawan, semalam.

Dalam kejadian pada 8.45 malam itu, suspek berusia 28 tahun itu cuba melarikan diri daripada ditahan polis dengan memecut motosikal ditunggangnya sebelum terbabas.
Ketua Polis Daerah Manjung, Asisten Komisioner Nor Omar Sappi berkata, suspek turut bertindak agresif apabila cuba memukul dengan menghayunkan topi keledar ke arah polis yang mahu menahannya.
Menurutnya, berlaku pergelutan selama 15 minit antara suspek dan dua anggota polis terbabit sebelum lelaki itu berjaya ditahan.
"Suspek dan dua anggota mengalami kecederaan dalam pergelutan itu. Seorang anggota patah jari telunjuk kanan manakala seorang lagi mengalami lebam di kepala dan kaki akibat terkena pukulan topi keledar oleh suspek.
"Bagaimanapun, suspek tidak mengalami kecederaan serius. Dia serta kedua-dua anggota terbabit sudah mendapatkan rawatan di Hospital Seri Manjung," katanya dalam kenyataan, hari ini.
Nor Omar berkata, suspek dipercayai terbabit dalam kejadian pecah kedai di kawasan Manjung dan pihaknya turut merampas motosikal, sebilah parang panjang dan telefon bimbit dalam kejadian itu.
Katanya, selain itu, turut dirampas beberapa paket plastik yang disyaki dadah dan peralatan dipercayai digunakan untuk menghisap dadah pada suspek.
"Ujian saringan air kencing juga mendapati suspek positif dadah manakala semakan pada motosikal yang dirampas tidak dilapor hilang," katanya.
Menurutnya, suspek direman selama tujuh hari bermula hari ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan dan Seksyen 39(A)(2) Akta Dadah Berbahaya 1952.
"Selain itu, suspek turut disiasat mengikut Peraturan 11(1) Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit kerana melanggar arahan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP)," katanya.