Friday, 14 December 2012

Kamera teman rapat Mahfooz



KETIKA ditugaskan National Geographic melakukan dokumentasi kehidupan pekerja-pekerja di Segi Tiga Emas, sebuah kawasan antara sempadan Thailand, Myanmar dan Laos sekitar tahun 80-an, Mahfooz NR, 53, begitu berwaspada.
Wilayah yang menjadikan pokok bunga popi sebagai tanaman utama tersebut merupakan kawasan yang tidak mempunyai undang-undang.
Tatkala kakinya menjejak tanah Segi Tiga Emas, jurugambar itu memperkenalkan diri sebagai pengembara yang mahu melihat-lihat keindahan alam selain mempelajari budaya tempatan.
Selama tiga bulan Mahfooz mengisi masa dengan membina ikatan persahabatan dengan penduduk di situ yang diupah menanam bunga popi terutamanya ketua mereka.
"Sepanjang tempoh tersebut, saya meninjau keadaan sekeliling, berbaik-baik dengan masyarakat kerana mereka sentiasa berada dalam keadaan curiga terutamanya kepada orang luar. Mereka berasa takut jika dirompak.
"Selepas dirasakan sesuai, saya keluarkan kamera dan menunjukkannya kepada ketua kampung tersebut dengan harapan dapat merakam gambar mereka, " ceritanya kepada Kosmo!.
Bagaimanapun, hatinya kecewa apabila jawapan yang diterima merupakan arahan supaya menyimpan kamera tersebut dengan ayat yang ringkas dan mudah: 'No camera today'.

KELAB Nikon menganjurkan banyak aktiviti kumpulan yang membolehkan pesertanya mempelajari ilmu teknikal kamera.

Rupa-rupanya, ketua kawasan tersebut mahu melakukan persiapan untuk bergambar apabila muncul berpakaian kemas dan cantik keesokan harinya.
Tidak mensia-siakan peluang itu, Mahfooz pun merakam gambar penduduk kampung tersebut. Mahfooz percaya, keterbukaan yang pertama itu bakal memudahkan kerjanya.
Gambar-gambar yang diambil adalah dalam bentuk kandid dan bergaya serta dicetak sendiri oleh ketua kumpulan tersebut.
Sepanjang berada di Segi Tiga Emas itu selama tiga tahun setengah, Mahfooz dapat mendalami rutian kehidupan mereka.
"Mereka sentiasa berada dalam keadaan berjaga-jaga dengan senapang yang sentiasa dipegang kemas. Mereka perlu berwaspada terhadap ancaman penjahat yang mahu merompak para pekerja. Namun, mereka sebenarnya amat baik," kata lelaki kelahiran Uttar Pradesh, India itu.
Setiap kali penghantaran hasil tuaian dibuat, pasti lori pengangkut itu diiringi beberapa kenderaan yang lengkap bersenjata di hadapan dan belakang.
Mahfooz sangat puas menjalankan tugasnya sebagai satu-satunya jurugambar yang dibenarkan untuk merakam kegiatan di zon kontroversi tersebut.
Sekembalinya ke ibu pejabat National Geographic di New York, dia telah menceritakan segala-galanya kepada penulis artikel terbabit selain menyerahkan gulungan filem hasil rakamannya.
Latihan berterusan
Mahfooz yang merupakan Pengurus Kanan Jabatan Pemasaran Produk Pengguna Nikon mempunyai satu cita-cita. Dia mahukan agar setiap orang yang mempunyai minat dalam bidang fotografi mudah mempelajarinya.
Usaha penubuhan Kelab Nikon bagi jurufoto amatur dan Nikon Professional Services (NPS) bagi golongan profesional merupakan idea yang lahir daripadanya.

GAYA Mahfooz ketika zaman awal menjinak-jinakkan diri dalam dunia fotografi.

Melalui Kelab Nikon, dia memperkenalkan pelbagai aktiviti yang pastinya amat diperlukan jurugambar yang baru berjinak-jinak dalam dunia fotografi.
Dia percaya latihan berterusan dan ilmu yang betul serta mendapat tunjuk ajar daripada pakar merupakan intipati dalam penghasilan gambar berseni tinggi.
Di sebalik menjalani rutin harian di ibu pejabat Nikon di Petaling Jaya dan melawat Kedai Nikon yang terletak di pusat beli-belah Berjaya Times Square, Kuala Lumpur, Mahfooz masih punya masa untuk berkongsi serta memantapkan ilmu fotografinya.
Pada hujung minggu, dia pasti ke kelas-kelas teknikal berkaitan fotografi bersama-sama ahli Kelab Nikon atau pun menghadiri kursus berkaitan kamera.
Biarpun sudah bertahun-tahun memegang kamera, dia masih lagi mahu duduk dan belajar kerana baginya ilmu tidak akan habis diterokai.
Langkah mula
Mahfooz yang berasal dari Kedah itu sering terkenang saat bersusah payah mencari bahan rujukan mengenai fotografi ketika masih di bangku sekolah.
Sekitar tahun 1970-an, Mahfooz yang menetap di Bukit Selambau, Sungai Petani sanggup turun ke Alor Setar dan Pulau Pinang setiap bulan semata-mata mahu mendapatkan majalah fotografi kegemarannya.
Ayah Mahfooz yang bekerja sebagai askar Gurkha juga menyebabkan dia dan keluarga terpaksa berpindah-randah tetapi minatnya terhadap fotografi tidak pernah luntur.
Edisi khas majalah Reader's Digest yang diterbitkan setiap bulan Disember merupakan majalah yang wajib dibeli saban tahun kerana koleksi terbitan gambar yang ada.
"Selain majalah, kotak-kotak kamera pun menjadi alat pembelajaran saya ketika itu. Kemudian, saya bereksperimen dengan menggunakan kamera sendiri.
"Pada masa itu, memang sukar untuk belajar fotografi. Majalah yang mempunyai artikel mengenainya tidak banyak seperti sekarang," ujar Mahfooz.
Pada waktu itu hanya terdapat dua sumber penulisan mengenai bidang fotografi iaitu kolum Redzuan Ahmad (Pak Wan) dalam akhbar Utusan Melayu dan Eric Peris daripada News Straits Times yang kerap mengadakan bengkel penggambaran luar secara berkumpulan.
Menurut Mahfooz, kamera pertama yang dibelinya sewaktu menuntut di sekolah rendah ialah kamera terpakai yang berharga RM5. Ceritanya, penjual kamera pada waktu itu hanya tahu memfokus dan merakam gambar.
Jadi, dia terpaksa meminta bungkusan kamera tersebut untuk mempelajari dan mempraktikkan sendiri aspek teknikalnya.
"Daripada pembacaan, saya tidak pernah menaruh kepercayaan 100 peratus, sebaliknya saya mencuba terlebih dahulu," ujar Mahfooz yang sempat berpesan kepada generasi semasa agar tidak menerima bulat-bulat sesuatu yang diperoleh daripada sumber internet tanpa membuat penyelidikan.

PUSAT NIKON banyak membimbing minat para jurugambar sama ada dengan skil amatur, pertengahan mahupun profesionai.

Pengalaman istimewa
Mahfooz banyak mengumpul pengalaman kerja di luar negara. Selain pernah membuat liputan ketika Perang Soviet meletus di Afghanistan, dia juga pernah ke India untuk merakam tabiat dan kelakuan kelawar.
Tugasan mendekati mamalia terbang itu bukan sahaja mencabarnya dari aspek persiapan teknikal, malah dia perlu memahami kelakuan haiwan itu terlebih dahulu.
Sepanjang bekerja dengan syarikat National Geographic lebih kurang sembilan tahun, dia akhirnya mengambil keputusan untuk pulang ke Kuala Lumpur walaupun diberi tawaran menjadi pekerja tetap.
"Anak-anak saya susah untuk bersekolah, malah ada ketikanya tidak bersekolah langsung. Sebab itulah saya ambil keputusan tersebut," katanya yang mementingkan masa depan anak-anaknya.
Bekerja dengan National Geographic, bagaimanapun, telah banyak mengasah kemampuan diri Mahfooz. Katanya, syarikat itu memberikan kebebasan sepenuhnya kepada jurugambar untuk menghasilkan karya foto terbaik, malah cara untuk ke tempat tugasan juga bergantung kepada kreativiti petugas.
"Kami boleh ambil berapa banyak gulungan filem tetapi mesti dihabiskan kesemuanya dan perlu diserahkan ke ibu pejabat sebaik tugasan tamat tanpa dicuci," terang Mahfooz.
Kongsi ilmu
Ketika bekerja di National Geographic, dia turut menyumbang rencana mengenai kamera dalam majalah Photo Asia di Singapura.
Mempunyai ruangan kolum sendiri mengenai kamera, dia menyumbang artikel setiap bulan berdasarkan pengalamannya menggunakan peranti tersebut.
Artikel yang paling besar pernah dikarangnya adalah mengenai lensa daripada awal pembuatan, sejarah sehinggalah jenis-jenis yang perlu digunakan bagi mendapatkan hasil foto berlainan. Rencana yang dibuat secara bersiri itu diterbitkan sehingga lapan edisi.
Pada Disember 2009, selepas menyertai Nikon, dia mengambil inisiatif menubuhkan NPS bagi menarik golongan jurugambar profesional terhadap penggunaan kamera jenama itu.
Sebagai pelengkap yang memupuk golongan muda dan amatur untuk mendekati jenama tersebut, Kelab Nikon dan Pusat Nikon diwujudkan bagi keperluan golongan amatur dan pertengahan untuk aktif serta serius dalam bidang fotografi.

Silap siapa?


Rajagobal sedng mennenangkan pemainnya selepas Malaysia tewas kpd Thailand dlm separuh akhir kedua di Stadium Supachalasasai, Bangkok malam kelmarin.


BANGKOK – Sembang-sembang kedai kopi di seluruh tanah air pastinya rancak membicarakan kegagalan Harimau Malaya mempertahankan Piala Suzuki AFF pada tahun ini.
Harapan jutaan rakyat Malaysia agar kejayaan dua tahun lalu berulang akhirnya ternoktah sebaik Harimau Malaya ditunjukkan jalan keluar oleh Thailand menerusi agregat 1-3 selepas berakhirnya aksi separuh akhir kedua di Stadium Supachalasai, Bangkok kelmarin.
Mungkin ada yang beranggapan percaturan jurulatih Datuk K. Rajagobal tidak segera membawa masuk pemain pertahanan baharu sebaik Mohamad Fadhli Shas dibuang padang malam kelmarin menjadi detik bermulanya malapetaka buat Harimau Malaya.
Aksi hambar Amar Rohidan yang mengisi kekosongan Mohamad Fadhli dilihat menjadi punca mengapa Harimau Malaya tewas malam itu.
Tidak kurang juga yang lantang mengecam pengadil perlawanan dari Korea Selatan, Lee Minhu yang dikatakan gagal melaksanakan tugasnya dengan baik dalam perlawanan itu.
Pada masa sama, kegagalan Harimau Malaya memanfaatkan kelebihan beraksi di laman sendiri pada separuh akhir pertama apabila sekadar diikat seri 1-1 oleh Gajah Perang di Stadium Nasional, Bukit Jalil Ahad lalu juga mengundang pertikaian ramai pihak.
Cuma pada masa sama, mungkin ramai yang terlepas pandang provokasi Thailand juga memberikan impak yang cukup besar bagi menafikan hasrat Malaysia mempertahankan kejuaraan.
Pada perlawanan malam kelmarin, kapten Gajah Perang, Panupong Wangsa dan Datsakorn Thanglao dilihat berkali-kali cuba berkonfrontasi dengan mana-mana pemain negara yang telah dilayangkan kad kuning seperti Mohamad Fadhli, Mahalli Jasuli dan juga Bunyamin Omar.
Taktik keji mereka akhirnya berjaya apabila Mohamad Fadhli dilayangkan kad merah.
Benar, matlamat tidak menghalalkan cara. Cuma, ia jelas memberikan kelebihan buat Thailand yang akhirnya mendominasi perlawanan itu sebelum menang.
Itu belum dikira sentimen di luar padang apabila skuad negara terpaksa menjalani latihan di padang awam sebaik menjejakkan kaki di Bangkok.
Nasi sudah menjadi bubur. Menangis air mata darah pun tiada gunanya kerana hakikatnya skuad negara gagal mempertahankan kejuaraan.
Mulai sekarang, Harimau Malaya tidak lagi perlu mencari alasan jika tewas.
Janji layak ke Piala Asia 2015 seperti mana yang dilaungkan Rajagobal yang akan meletak jawatan jika gagal wajar ditepati bagi memujuk semula hati segelintir rakyat Malaysia yang telah pun merajuk barangkali.
‘La Korn Khap’ (selamat tinggal) Bangkok, jumpa lagi!

Sunday, 9 December 2012

United senyapkan mulut murai 'jiran yang bising'



WAYNE Rooney (kanan) meledakkan sepakan di celah-celah kaki pemain pertahanan City untuk 
menjaringkan gol kedua United pada babak pertama permainan semalam.

MANCHESTER - Pertemuan jiran setempat antara Manchester United dan Manchester City malam tadi berakhir dengan Stadium Etihad tidak sekecoh biasa.
Ini kerana City yang digelar 'jiran bising', terkunci mulut mereka selepas menyaksikan United menang 3-2 dalam perlawanan dua pasukan teratas Liga Perdana England (EPL) itu.
Ketika ramai yang meramalkan pertemuan berlangsung berat sebelah, ia ternyata tidak menjadi kenyataan apabila United mudah merobek benteng pertahanan City untuk mudah mendahului 2-0 pada babak pertama.
Wayne Rooney, 27, mencetak kedua-dua gol awal itu pada minit ke-16 dan 29 untuk meletakkan dirinya sebagai penjaring termuda yang berjaya menjaringkan 150 gol dalam era EPL setakat ini.
City bagaimanapun cuba bangkit pada babak kedua dan berjaya merapatkan kedudukan menerusi jaringan Yaya Toure pada minit ke-60.
Skuad bimbingan Roberto Mancini terus memberi tekanan kepada United apabila menyamakan kedudukan menerusi Pablo Zabaleta minit ke-86.
Ketika perlawanan seakan berkesudahan seri, Robin van Persie melenyapkan sorakan penyokong City dengan gol ketiga dan kemenangan menerusi sepakan percuma yang cantik pada masa kecederaan.
Kemenangan United ini membolehkan mereka melebarkan jurang perbezaan mata kepada enam berbanding tiga sebelum ini. - Agensi
#RVP jugak hero-nya....

Jumpa Dayah tapi bapa musykil

 RAJA ROSLAN (kanan) dan Zarina gembira selepas Dayah (tengah) ditemui dalam keadaan selamat kelmarin.

KUALA LUMPUR - Sepasang suami isteri lega apabila anak dara mereka yang dikatakan hilang dilarikan pelesit rempit sejak 1 Disember lalu ditemui di sebuah bilik hotel di Jalan Tun Razak di sini namun pada masa sama terdapat persoalan yang belum dijawab berhubung penemuan tersebut.
Ketika Raja Nor Hidayah Raja Roslan, 16, atau Dayah diam seribu bahasa ekoran masih trauma dengan kejadian tersebut, bapanya, Raja Roslan Raja Ahmad Hadzrawi, 39, pula tertanya-tanya mengenai penemuan anaknya itu.
Selain Raja Nor Hidayah, turut ditemui di situ ialah dua lagi remaja perempuan berusia 15 dan 16 tahun serta tiga remaja lelaki berumur antara 16 hingga 19 tahun.
Polis menahan tiga remaja lelaki itu bagi membantu siasatan kes berkaitan gangguan seksual manakala dua remaja perempuan itu dihantar pulang.
Mengimbau semula hari yang paling mengembirakan buat dia dan isterinya, Zarina Zubir, 37, Raja Roslan memberitahu, dia mengetahui mengenai penemuan itu selepas dimaklumkan oleh polis supaya hadir ke Balai Polis Dang Wangi di sini untuk mengambil anaknya pada pukul 6.30 pagi semalam.

Wednesday, 5 December 2012

Safee Sali milik Johor



PERSATUAN Bola Sepak Negeri Johor (PBNJ) terus berbelanja besar dalam persiapan menghadapi saingan Liga Malaysia (Liga M) musim depan.

Semalam, Setiausaha PBNJ, Suhairi Hashim mengesahkan telah mendapat surat pelepasan daripada kelab Liga Super Indonesia (ISL), Arema Indonesia bagi mendapatkan khidmat penyerang sensasi Harimau Malaya, Mohd. Safee Sali secara pinjaman musim depan.
Suhairi berkata, surat yang ditandatangani oleh Pengarah Arema, Ruddy Widodo menyatakan, Safee akan menyarung jersi Johor selama setahun bermula dari 1 Disember 2012 hingga 30 November 2013.
“Safee sepatutnya hadir malam ini (semalam) untuk menandatangani kontrak tetapi tidak dapat berbuat demikian disebabkan terikat dengan peraturan FAM (Persatuan Bola Sepak Malaysia) yang tidak membenarkan pemain kebangsaan keluar daripada kem latihan mereka sepanjang kempen Piala Suzuki AFF 2012.
“Namun, kami (PBNJ) telah mendapat pelepasan daripada Arema yang membenarkan Safee beraksi bersama Johor. Saya ada bukti dan saya boleh tunjuk kepada umum.
“Jika segalanya berjalan seperti yang dirancang, Safee akan beraksi bersama Johor. Kami memang bersungguh-sungguh untuk membawa masuk Safee dan mahu menyelesaikan perkara ini dalam tempoh dua hari sebab tarikh tutup pendaftaran pemain akan tutup pada 6 Disember (esok),” kata Suhairi ketika ditemui pemberita di Hotel Prince Kuala Lumpur malam tadi.
Terdahulu, sidang akhbar yang dirancang PBNJ untuk majlis menandatangani kontrak Safee tidak dapat diteruskan kerana pemain berusia 28 tahun itu tidak dapat hadir kerana terikat dengan peraturan FAM.
Situasi itu menyaksikan Suhairi bersama Presiden PBNJ, Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim bergegas ke Wisma FAM, Kelana Jaya malam tadi bagi mendapatkan tandatangan Safee.
Mengulas mengenai yuran pinjaman dan gaji Safee, Suhairi berkata: “Berhubung perkara itu, kami tidak boleh dedahkan dan ia adalah rahsia,” ujarnya.
Bagaimanapun, beliau memberi gambaran bahawa Safee akan mendapat gaji yang lebih baik daripada apa yang diterimanya bersama Arema.
Kosmo! difahamkan Safee ketika ini menerima gaji sebanyak RM90,000 sebulan daripada Arema dan ia memberi bayangan bahawa dia akan menerima gaji sekurang-kurangnya RM100,000 sebulan bersama Johor.
Pada 1 Februari lalu, Safee telah menandatangani kontrak lanjutan selama dua tahun bersama kelab Indonesia itu dengan nilai keseluruhan berjumlah RM2 juta. Kontrak dua tahun itu termasuk pelbagai kemudahan seperti bonus tetap perlawanan, rumah, kenderaan, pemandu peribadi, cukai yang dibayar oleh kelab, tiket pergi balik ke Kuala Lumpur yang disediakan oleh kelab dan penghormatan sebagai kapten pasukan.
Kontrak Safee bersama Arema akan tamat pada 2014.
Sebelum ini, lima pemain kebangsaan iaitu Safiq Rahim, Norshahrul Idlan Talaha, Aidil Zafuan Radzak, Zaquan Adha Radzak dan Azmi Muslim serta bekas pertahanan Terengganu dan Harimau Muda A, Muslim Ahmad telah menandatangani kontrak untuk beraksi bersama Johor musim depan.



Safee menyerahkan dokumen kontrak kpd presiden PBNJ Tunku Ismail Sultan Ismail selepas menandatanganinya di Wisma FAM Kelana Jaya malam tadi

Saturday, 1 December 2012

Harimau Malaya makin garang


PENJAGA gol Malaysia, Farizal Marlias berjaya menangkap kemas bola percubaan pemain Indonesia pada aksi Kumpulan B Piala Suzuki AFF 2012 di Stadium Nasional, Bukit Jalil.

MASALAH komunikasi dilihat masih menghantui skuad Harimau Malaya sebaik melangkah ke separuh akhir Piala Suzuki AFF 2012 apabila membenam Indonesia 2-0 dalam aksi terakhir Kumpulan B di Stadium Nasional, Bukit Jalil malam tadi.
Andai ia tidak diatasi segera, tidak mustahil anak-anak buah Datuk K. Rajagobal berdepan tugas getir ketika melayan kunjungan juara Kumpulan A, Thailand dalam aksi separuh akhir pertama pada 9 Disember ini.
Kesukaran benteng pertahanan Harimau Malaya mengekang larian deras Andik Vermansyah, Elie Aiboy dan Oktovianus Maniani malam tadi juga seolah-olah memberikan petunjuk jelas buat Thailand nanti.
Namun pada masa sama, kejayaan menewaskan Sang Garuda malam tadi sememangnya detik yang paling istimewa buat seluruh rakyat Malaysia, sekali gus mengulangi kecemerlangan final edisi dua tahun lalu yang menyaksikan Malaysia muncul juara buat julung kalinya.
Ternyata, skrip yang lebih kurang sama seperti mana edisi dua tahun lalu masih menjadi pilihan Rajagobal kali ini apabila kembali bangkit melakar dua kemenangan bergaya setelah dikejutkan Singapura 0-3 dalam aksi pembuka tirai kumpulan, Ahad lalu.
Sebaik membelasah Laos 4-1 dalam perlawanan kedua, Harimau Malaya tidak lagi menoleh ke belakang apabila menjadikan Sang Garuda sebagai medan melepaskan geram malam tadi sebaik dikritik hebat penyokong fanatik negara pada permulaan kempen kali ini.
Lebih manis, kekalahan Indonesia itu juga bermakna Sang Garuda ditunjukkan jalan keluar lebih awal dalam kempen kali ini setelah Singapura berjaya menewaskan Laos 4-3 dalam satu lagi aksi dramatik kumpulan yang berlangsung serentak di Stadium Shah Alam malam tadi.
Dengan keputusan itu, Singapura muncul juara kumpulan biarpun berkongsi enam mata dengan Harimau Malaya, namun kedua-dua pasukan dibezakan dengan jaringan gol.
Dalam perlawanan malam tadi, Harimau Malaya nyaris 'lemas' dengan asakan bertali-arus Sang Garuda yang dilihat beberapa kali berjaya memerangkap benteng pertahanan negara yang diterajui Aidil Zaquan Abdul Razak dan Mohd. Fadhli Shas.
Masalah komunikasi antara jentera tengah dan benteng pertahanan negara juga nyaris mengundang padah pada awal babak pertama, mujurlah kecekapan penjaga gol negara, Farizal Marlias melegakan lebih 60,000 penyokong tuan rumah.
Namun, keghairahan skuad kendalian Nil Maizar memburu gol awal akhirnya dihukum pasukan negara apabila Azammuddin Mohd. Akil tenang memecah kebuntuan pada minit ke-26.
Pemain pertahanan, Mahalli Jasuli menambah derita Indonesia apabila menggandakan kelebihan tiga minit kemudian hasil hantaran kemas Wan Zack Haikal Wan Nor sekali gus mengatasi jangkauan penjaga gol lawan, Wahyu Tri Nughoro.
Indonesia yang terdesak memburu gol penyamaan dilihat semakin garang lantas mengundang aksi kasar beberapa pemain negara selepas itu sehingga memaksa pengadil dari Uzbekistan, Kovalenko Valentin melayangkan kad kuning kepada Aidil dan Shakir Shaari.
Mujur kebijaksanaan Fadhli dan Zubir Azmi merantai pergerakan Andik dan M. Syafiq sepanjang babak kedua juga menyebabkan Indonesia berputih mata bagi menyamakan kedudukan.
Begitupun, kecederaan beberapa pemain seperti Safee Sali dan Norshahrul Idlan Talaha yang dilihat terhincut-hincut pada penghujung babak kedua dilihat meresahkan menjelang pertemuan menentang Thailand nanti.

Reds sedia lepas Reina ke Gunners




LONDON - Arsenal mahu menyambar penjaga gol Liverpool, Pepe Reina pada Januari depan, dan pengurus Reds, Brendan Rodgers sedia untuk melepaskannya.

Reina naik berang selepas Liverpool menolak tawaran 20 juta pound (RM98 juta) yang dikemukakan Gunners pada 2010, namun kali ini pemain Sepanyol itu nampaknya sedia untuk dilepaskan.

Usaha untuk mendapatkan Reina sudah dilakukan oleh Arsenal, perpindahan yang membolehkan dia bergandingan dengan dua rakan senegaranya, Mikel Arteta dan Santi Cazorla di Emirates.

Gajinya yang dikatakan melebihi 100,000 pound (RM490,000) seminggu merupakan penghalang terbesar buat Arsenal, namun kelab London itu bersedia untuk berbelanja besar, selain mengeluarkan yuran perpindahan 10 juta pound (RM49 juta).

Rodgers bersedia untuk mendengar tawaran yang dikemukakan terhadap penjaga gol itu dengan syarat dia boleh mendapatkan penggantinya.

Pengurus Liverpool itu memang diketahui, peminat kepada penjaga gol Birmingham, Jack Butland, tetapi dia juga mengintai sentuhan penjaga gol Hannover, Ron-Robert Zieler dan penjaga gol Stoke City, Asmir Begovic.
Reina sebelum ini pernah merungut dalam buku autobiografi tentang tindakan Liverpool menghalangnya daripada berpindah ke Arsenal.

"Arsenal menawarkan 20 juta pound, satu jumlah yang luar biasa untuk seorang penjaga gol.
"Sebahagian daripada diri saya merasakan, ia adalah hak saya untuk menentukan masa depan saya.

"Apabila Liverpool menerima tawaran tersebut, mereka terus menolaknya. Saya diberitahu bahawa kehadiran saya bersama kelab adalah penting dalam urusan jual beli kelab ketika itu. Saya adalah sebahagian daripada proses tawar menawar yang dilakukan oleh kelab,'' tulis Reina dalam buku tersebut. Agensi


© Utusan Melayu (M) Bhd 

Garuda Rebah


MAHALI Jazuli puas selepas menjaringkan gol kedua Malaysia untuk membantu Harimau Malaya menumbangkan Indonesia pada perlawanan terakhir Kumpulan B, malam tadi.

KUALA LUMPUR - Garuda akhirnya tumbang dibaham Harimau Malaya yang mencatat kemenangan 2-0 untuk merintis laluan ke separuh akhir Piala Suzuki AFF selaku naib juara Kumpulan B di Stadium Nasional, Bukit Jalil semalam.

Laluan Malaysia untuk mempertahankan kejuaraan bagaimanapun penuh dengan ranjau apabila bakal berdepan pasukan pilihan, Thailand yang muncul juara Kumpulan A selepas Singapura menjuarai Kumpulan B dengan menang 4-3 ke atas Laos dalam satu lagi pertembungan, semalam.
Dua jaringan sumbangan Azamuddin Akil pada minit ke-26 dan Mahali Jasuli, tiga minit kemudian memastikan Indonesia terus kempunan merangkul kejuaraan sulung Piala Suzuki AFF.

Sebaliknya Malaysia kini berpeluang mempertahankan gelaran yang dimiliki pada 2010.
Skrip yang terjadi dua tahun lalu nampaknya seakan-akan berulang selepas bermula dengan kekalahan tetapi bangun pada baki dua perlawanan kumpulan, sebagaimana karakternya seekor Harimau, Malaysia kini dilihat semakin rakus mencakar mangsa-mangsanya.

Pemain negara berjuang bermati-matian menangkis serangan-serangan berbisa lawan, terutama melalui Andik Vermansyah dan pujian harus diberikan kepada barisan pertahanan negara yang menyerap segala tekanan skuad Garuda.

Malah, Rajagobal terpaksa melakukan tiga pertukaran awal ketika permainan masih berbaki 20 minit ekoran masalah kecederaan yang dialami oleh pemain.
Safee Sali terpaksa meneruskan permainan biarpun cedera dan semangat pahlawan Harimau Malaya memang wajar dipuji.

Jika Garuda berbangga dengan Andik, Wan Zack Haikal Wan Nor sebenarnya nampak lebih hebat daripada pemain itu dengan banyak kali berjaya membocori kawalan pertahanan Indonesia.
Mahali juga dianggap pemain terbaik perlawanan dengan menjaringkan satu gol, selain melakukan hantaran kepada Azamuddin bagi jaringan sulung perlawanan.
Seperti dijangka, S. Kunanlan yang diberitakan mengalami kecederaan pangkal paha tidak diturunkan bersama Khyril Muhymeen. Datuk K. Rajagobal menurunkan Azamuddin mengisi posisi sayap di sebelah kiri.

Pada 20 minit terawal permainan, Harimau Malaya bermula dengan gugup selepas barisan pertahanan banyak melakukan kesilapan dan membuka ruang kepada Samsul Arif Munip dan Irfan Bachdim melancarkan beberapa serangan berbahaya ke pintu gol yang dikawal Mohd. Farizal Marlias.
Aksi di bahagian tengah juga kurang menjadi dengan Safiq Rahim yang digandingkan bersama Shakir Shaari sering kali melepaskan kawalan bola kepada Garuda.

Namun, percaturan taktikal Rajagobal menukar Azamuddin ke bahagian kiri dan Wan Zack pula ke kanan memberikan pulangan lumayan apabila dua gol dapat dicetak dalam tempoh lima minit.

Melalui gerakan satu dua bersama Wan Zack, Mahali melakukan hantaran silang cantik ke dalam kotak penalti Indonesia yang sempat disentuh sedikit oleh Safee dan dilunaskan penuh bergaya oleh Azamuddin, pemain yang mendapat panggilan semula setelah kecederaan Zaquan Adha Abdul Razak.
Gol itu ternyata menggamatkan 85,000 penonton yang membanjiri Stadium Nasional Bukit Jalil, di mana 70,000 daripadanya adalah penyokong Malaysia.

Tidak sampai tiga minit kemudian, kegembiraan penyokong Harimau Malaya berterusan.
Berpunca daripada kawalan Wan Zack, dia bijak menduga gerakan Mahali dan melorongkan bola kepada bek kanan negara itu sebelum melepaskan percubaan daripada sudut sukar bagi meletakkan Harimau Malaya selesa di hadapan.

Tersentak dengan jaringan itu, Nil Mahzar tiada pilihan kecuali memasukkan bintang muda mereka, Andik tetapi kubu pertahanan Malaysia yang dikendalikan Aidil Zafuan dan Mohd. Fadhli Shas berjaya memenuhi janji mereka bagi memastikan gawang Harimau Malaya tidak bocor lagi.
Bagaimanapun kemenangan Malaysia terpaksa dibayar dengan harga yang mahal kerana dua penyerang utama, Norshahrul dan Safee berdepan kecederaan dan belum pasti dapat pulih dalam tempoh seminggu ini.

Separuh akhir pertama akan berlangsung di Bukit Jalil pada 9 Disember dan Harimau Malaya akan berkunjung ke Bangkok pada 13 Disember.
© Utusan Melayu (M) Bhd