Friday, 14 December 2012

Silap siapa?


Rajagobal sedng mennenangkan pemainnya selepas Malaysia tewas kpd Thailand dlm separuh akhir kedua di Stadium Supachalasasai, Bangkok malam kelmarin.


BANGKOK – Sembang-sembang kedai kopi di seluruh tanah air pastinya rancak membicarakan kegagalan Harimau Malaya mempertahankan Piala Suzuki AFF pada tahun ini.
Harapan jutaan rakyat Malaysia agar kejayaan dua tahun lalu berulang akhirnya ternoktah sebaik Harimau Malaya ditunjukkan jalan keluar oleh Thailand menerusi agregat 1-3 selepas berakhirnya aksi separuh akhir kedua di Stadium Supachalasai, Bangkok kelmarin.
Mungkin ada yang beranggapan percaturan jurulatih Datuk K. Rajagobal tidak segera membawa masuk pemain pertahanan baharu sebaik Mohamad Fadhli Shas dibuang padang malam kelmarin menjadi detik bermulanya malapetaka buat Harimau Malaya.
Aksi hambar Amar Rohidan yang mengisi kekosongan Mohamad Fadhli dilihat menjadi punca mengapa Harimau Malaya tewas malam itu.
Tidak kurang juga yang lantang mengecam pengadil perlawanan dari Korea Selatan, Lee Minhu yang dikatakan gagal melaksanakan tugasnya dengan baik dalam perlawanan itu.
Pada masa sama, kegagalan Harimau Malaya memanfaatkan kelebihan beraksi di laman sendiri pada separuh akhir pertama apabila sekadar diikat seri 1-1 oleh Gajah Perang di Stadium Nasional, Bukit Jalil Ahad lalu juga mengundang pertikaian ramai pihak.
Cuma pada masa sama, mungkin ramai yang terlepas pandang provokasi Thailand juga memberikan impak yang cukup besar bagi menafikan hasrat Malaysia mempertahankan kejuaraan.
Pada perlawanan malam kelmarin, kapten Gajah Perang, Panupong Wangsa dan Datsakorn Thanglao dilihat berkali-kali cuba berkonfrontasi dengan mana-mana pemain negara yang telah dilayangkan kad kuning seperti Mohamad Fadhli, Mahalli Jasuli dan juga Bunyamin Omar.
Taktik keji mereka akhirnya berjaya apabila Mohamad Fadhli dilayangkan kad merah.
Benar, matlamat tidak menghalalkan cara. Cuma, ia jelas memberikan kelebihan buat Thailand yang akhirnya mendominasi perlawanan itu sebelum menang.
Itu belum dikira sentimen di luar padang apabila skuad negara terpaksa menjalani latihan di padang awam sebaik menjejakkan kaki di Bangkok.
Nasi sudah menjadi bubur. Menangis air mata darah pun tiada gunanya kerana hakikatnya skuad negara gagal mempertahankan kejuaraan.
Mulai sekarang, Harimau Malaya tidak lagi perlu mencari alasan jika tewas.
Janji layak ke Piala Asia 2015 seperti mana yang dilaungkan Rajagobal yang akan meletak jawatan jika gagal wajar ditepati bagi memujuk semula hati segelintir rakyat Malaysia yang telah pun merajuk barangkali.
‘La Korn Khap’ (selamat tinggal) Bangkok, jumpa lagi!

No comments:

Post a Comment