MANCHESTER - Pertemuan jiran setempat antara Manchester United dan Manchester City malam tadi berakhir dengan Stadium Etihad tidak sekecoh biasa.
Ini kerana City yang digelar 'jiran bising', terkunci mulut mereka selepas menyaksikan United menang 3-2 dalam perlawanan dua pasukan teratas Liga Perdana England (EPL) itu.
Ketika ramai yang meramalkan pertemuan berlangsung berat sebelah, ia ternyata tidak menjadi kenyataan apabila United mudah merobek benteng pertahanan City untuk mudah mendahului 2-0 pada babak pertama.
Wayne Rooney, 27, mencetak kedua-dua gol awal itu pada minit ke-16 dan 29 untuk meletakkan dirinya sebagai penjaring termuda yang berjaya menjaringkan 150 gol dalam era EPL setakat ini.
City bagaimanapun cuba bangkit pada babak kedua dan berjaya merapatkan kedudukan menerusi jaringan Yaya Toure pada minit ke-60.
Skuad bimbingan Roberto Mancini terus memberi tekanan kepada United apabila menyamakan kedudukan menerusi Pablo Zabaleta minit ke-86.
Ketika perlawanan seakan berkesudahan seri, Robin van Persie melenyapkan sorakan penyokong City dengan gol ketiga dan kemenangan menerusi sepakan percuma yang cantik pada masa kecederaan.
Kemenangan United ini membolehkan mereka melebarkan jurang perbezaan mata kepada enam berbanding tiga sebelum ini. - Agensi
No comments:
Post a Comment