Saturday, 26 January 2013

Muzium 3D pertama negara


PERTAMA kali berkunjung ke Muzium Seni Helah atau Trick Art Museum yang terletak di bandar digital i-City, Shah Alam, penulis cuba mencari kelainan yang cuba ditonjolkan.
Namun, apa yang ada hanyalah pameran lukisan catan pelbagai motif menghiasi hampir keseluruhan dinding dan lantai muzium setinggi dua tingkat itu.
Begitupun, kehadiran sepasang remaja berhampiran penulis menampakkan mereka benar-benar teruja dan mula melakonkan pelbagai ekspresi wajah serta tubuh seakan-akan berinteraksi dengan lukisan tersebut.
Selepas aksi mereka dirakam, ternyata hasil bidikan kamera sama sekali berbeza dengan apa yang dilihat dengan mata kasar.
Apa tidaknya, daripada satu lukisan lantai biasa, namun dengan aplikasi teknik tiga dimensi (3D), lukisan itu kelihatan hidup dalam gambar.
"Dalam foto ini, saya kelihatan seperti sedang berjalan di atas titi kayu yang kecil dan sempit untuk menyeberangi lubang hitam di dalam gua.
"Hakikatnya, saya hanya berdiri di lantai yang dilukis dengan teknik 3D.
"Begitu juga dengan imej sotong gurita ini. Dengan bayangan yang dilukis di sekitarnya, ia kelihatan benar-benar hidup," ujar seorang pengunjung, Ahmad Akmar Ibrahim, 23.
Dia yang juga penuntut di Universiti Teknologi Mara (UiTM) Shah Alam mengetahui tentang kewujudan muzium ini selepas melihat gambar-gambar yang dimuat turun dalam blog milik rakannya.
"Walaupun lukisan yang disediakan di sini tidak segah lukisan 3D jalanan yang popular di Barat, namun ia masih memberi peluang kepada rakyat di negara ini untuk merasai pengalaman berinteraksi dengan lukisan.
"Ia pastinya sesuatu yang menarik untuk dikongsi apatah lagi ia merupakan muzium yang pertama seumpamanya ditubuhkan di Malaysia.
"Bayaran masuk yang dikenakan juga berpatutan," ujarnya yang merupakan penuntut di Fakulti Seni Lukis Seni Reka.
Menawarkan lima motif lukisan iaitu lukisan termasyhur, pengembaraan Makam Mesir, alam haiwan, kehidupan marin dan lukisan adiwira klasik, muzium yang memiliki keluasan 743 meter persegi ini muncul sebagai muzium 3D pertama di negara ini.

MONICA optimis Muzium Seni Helah yang baru diperkenalkan ini mampu menarik ramai pengunjung ke i-City.


100 posisi
Mula dibuka pada kunjungan umum sejak 15 November tahun lalu, sambutan yang diterima daripada pengunjung sangat memberangsangkan.
Dengan bayaran masuk RM5 seorang, pengunjung boleh meluangkan seberapa banyak masa yang dimahukan untuk berekspresi dengan lukisan-lukisan yang ada di situ.
"Sebelum ini apabila menjelangnya cuti umum atau cuti sekolah, kami menerima sekitar 90,000 pengunjung seminggu.
"Angka tersebut dijangka meningkat 30 peratus selepas pembukaan rasmi taman tema air baru-baru ini.
"Daripada jumlah tersebut, dianggarkan lebih separuh daripada pengunjung mengambil kesempatan bertandang ke Muzium Seni Helah.
"Lantaran kunjungan pengunjung yang tidak pernah surut, pihak muzium sudah beberapa kali menyelenggara semula lukisan terutamanya kemasan cat memandangkan ia bebas disentuh oleh pengunjung," ujar Pengarah i-Berhad, Monica Ong, 49.
Selain berpeluang melihat pameran lukisan 3D yang pertama diadakan di negara ini, pengunjung juga boleh meneroka lebih 100 gaya dan posisi sebagai satu bentuk ekspresi terhadap lukisan tersebut.
Tambah beliau, setiap lukisan dihasilkan sepenuhnya menggunakan teknik lukisan bebas tangan oleh tiga kumpulan pelukis 3D profesional dari luar negara.
"Kami mendapatkan khidmat pelukis 3D dari Iran, China dan Korea.

AKSI kreatif pengunjung meniru gaya lukisan menjadikan karya ini nampak hidup.


Pelukis tiga negara
"Pelukis dari China misalnya, mereka akan terus melukis di dinding selepas melihat gambar yang diberikan tanpa perlu mengukur terlebih dulu.
"Berlainan pula dengan pelukis Korea. Mereka akan membesarkan skala lukisan sehingga mendapat saiz yang dikehendaki sebelum diunjur pada dinding.
"Walaupun teknik dan gaya melukis yang digunakan berbeza, saya cukup berpuas hati kerana hasilnya mampu memberikan impak 3D yang sama.
"Malah, saya sendiri tidak dapat mencari perbezaannya," ujar beliau.
Mengambil masa dua bulan untuk disiapkan, sebelum itu Monica dan kumpulannya perlu melihat ratusan gambar 3D untuk dipilih agar sesuai dengan tema kekeluargaan yang mahu ditonjolkan.
"Dari aspek lukisan, saya perlu memastikan ia kelihatan berbeza jika dilihat dari sudut berlainan memandangkan kesan seni helahnya kelihatan lebih menonjol di bawah lensa kamera.
"Dari aspek nilai tambah yang cuba diterapkan di Muzium Seni Helah ini pula, kami mahukan pengunjung tidak melihat lukisan ini hanya sebagai lukisan, sebaliknya memberikan mereka peluang untuk menjadi lebih bebas dan kreatif ketika berekspresi terhadap lukisan.
"Biasanya pengunjung akan masuk ke muzium ini bersama keluarga ataupun rakan-rakan.
"Apa yang menarik, masing-masing akan cuba mencari gaya dan posisi berbeza.
"Ini secara tidak langsung memberi ruang kepada pengunjung untuk bebas mencurahkan kreativiti mereka, terutamanya dalam kalangan kanak-kanak.
"Ada juga yang bertindak sebagai pengarah fotografi. Melihat gelagat pengunjung muzium, ia memang menghiburkan," ujar Monica.

DUA pengunjung Muzium Seni Helah di i-City Shah Alam tidak melepaskan peluang untuk mempamerkan gaya masing-masing.


Hanya di i-City
Garapan idea dan inovasi Monica serta kumpulannya dalam memberi kelainan beriadah dengan menubuhkan muzium 3D memang layak dipuji.
Muzium ini bukan sahaja berjaya menjadi tarikan utama di i-City, malah ia turut diberi pengiktirafan oleh Malaysia Book of Records sebagai Muzium Seni Helah Pertama di Malaysia pada 22 November lalu.
"Idea untuk menubuhkan Muzium Seni Helah timbul selepas kami melihat pameran lukisan 3D di Korea Selatan.
"Selari dengan konsep Kota Digital i-City yang mahu tampil dengan tarikan unik, kami sentiasa mencari idea baharu yang dapat menawarkan tarikan riadah eksklusif kepada orang ramai yang mana ia hanya boleh didapati di sini," ujarnya.
Enggan menyajikan lukisan yang sama kepada pengunjung, Monica bertekad untuk menukar dan menambah baik pameran sedia ada setiap sembilan bulan.
"Bagi memastikan ia sentiasa berwajah baharu, kami akan menukar setiap lukisan secara berperingkat. Dengan cara ini, pengunjung yang datang buat kali kedua dalam masa setahun tidak akan melihat lukisan yang sama," katanya.
Berpeluang meneliti setiap lukisan yang dipamerkan, teknik 3D ditonjolkan menerusi bayangan yang dilukis pada sudut tertentu.
Selain itu, tona warna juga memainkan peranan penting untuk memberi kesan hidup pada lukisan.
Aras bawah muzium ini menyajikan pengunjung dengan karya lukisan termasyhur seperti Monalisa dan Van Gogh.
Terdapat juga lukisan pengembaraan Makam Mesir yang diadaptasi daripada zaman kegemilangan Firaun dan piramid.
Turut memberi variasi, lukisan Adiwira Klasik turut ditempatkan di aras sama.
Meninjau ke tingkat atas bangunan, konsep lukisan yang persembahkan terdiri daripada alam haiwan dan kehidupan marin.
"Kami mengharapkan muzium ini bukan sahaja menghiburkan tetapi mampu menonjolkan sisi kreatif pengunjung.
"Walaupun apa yang ditampilkan di sini berbeza dengan karya 3D jalanan yang popular di Barat, ia masih menjanjikan pengalaman baru kepada pengunjung.
"Kami akan berusaha untuk meningkatkan persembahan lukisan dari semasa ke semasa," azam Monica yang sentiasa mahu mencari pembaharuan untuk menarik lebih ramai pengunjung ke i-City.

Saturday, 12 January 2013

#KL112: Tahniah semua!

Logo Himpunan Kebangkitan Rakyat

 #KL112: Tahniah semua!

KUALA LUMPUR - Tahniah! Tiada perkataan lain yang nampak sesuai dan tepat untuk diberikan kepada semua.

Tahniah bukan sahaja kepada penganjur Himpunan Kebangkitan Rakyat (#KL112), tahniah juga kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM), Kementerian Dalam Negeri, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur dan pengurusan Stadium Merdeka.
Sekali lagi rakyat dan pihak berkuasa telah berjaya membuktikan bahawa satu perhimpunan - tidak kira saiz dan bilangan peserta - boleh diadakan dengan aman dan berjaya jika setiap individu yang terbabit, sama ada yang memegang kuasa atau sebaliknya, bekerjasama, menghormati satu sama lain, memahami tugas dan tanggungjawab masing-masing dan pihak lain, dan menghormati peraturan dan undang-undang.
Selepas insiden pahit Perhimpunan Bersih 2.0 dan Bersih 3.0, semua menunjukkan bahawa rakyat Malaysia masyarakat matang. Perhimpunan Bersih 2.0 disusuli dengan penggubalan Akta Perhimpunan Aman. Undang-undang itu disusuli dengan Perhimpunan Bersih 3.0.
Hari ini, di tempat tertutup Himpunan Kebangkitan Rakyat.
Bertolak daripada persekitaran himpunan hari ini, yang dipercayai disertai sekitar 100,000 orang,  nampaknya kita boleh menghadapi Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13), yang akan diadakan sebelum akhir Jun ini, dengan tenang dan aman.

T-Team calar ego Kelantan


CALEB FOLAN (kanan) diasak pemain Kelantan pada aksi Liga Super 
di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Kuala Terengganu petang semalam.



T-TEAM berjaya menewaskan juara trebel, Kelantan 1-0 pada aksi Liga Super di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Kuala Terengganu, Terengganu petang semalam.
Skuad The Titans yang mempamerkan semangat juang tinggi membuka tirai jaringan seawal minit ketujuh menerusi rembatan cantik, Md. Aizulridzwan Razali untuk membolosi kawalan penjaga gol Kelantan, Khairul Fahmi Che Mat.
Kemenangan yang dikecapi skuad kendalian Peter James Butler itu memastikan mereka mengutip tiga mata penuh di laman sendiri pada kempen musim baharu ini.
Butler berkata, anak-anak buahnya menunjukkan keinginan dan komitmen yang tinggi untuk meraih kemenangan pada perlawanan menentang Kelantan hari ini (semalam).
“Secara keseluruhan, T-Team bermain lebih baik dari aspek taktikal dan semangat juang berbanding Kelantan untuk meraih kemenangan pertama dalam saingan Liga Super.
“Kami merupakan sebuah pasukan yang lebih baik dan berhak mengutip tiga mata penuh. Bagaimanapun, kami masih menghormati Kelantan apabila turun ke padang,” ujarnya.
Butler berkata, T-Team tidak memerlukan nasib untuk menang kerana para pemain pasukan itu menunjukkan komitmen dan mengikut segala percaturan diberikan kepada mereka.
Berbanding di Perak, pasukannya tidak bernasib baik apabila melepaskan gol pada minit-minit akhir permainan, sekali gus terpaksa berputih mata pulang dengan tangan kosong.
Dalam pada itu pengendali Kelantan, Bojan Hodak memberitahu, beliau merasakan pasukan The Red Warriors tidak bermain dengan baik.
“Walaupun kami dapat mengawal secara taktik tetapi tidak menggunakan peluang terhidang sebaik mungkin untuk menjaringkan gol. T-Team pula berjaya menggunakan peluang yang ada untuk menjaringkan gol tunggal perlawanan.
“T-Team juga mempunyai kelebihan kerana hanya bermain dua perlawanan berbanding Kelantan yang mengharungi tiga perlawanan. Tidak ada siapa yang boleh dipersalahkan dalam kekalahan ini kecuali kami,” ujarnya.
Artikel Penuh: Belila KOSMO

Hatrik Marlon bantu ATM belasah PKNS


MARLON (dua dari kanan) menanduk bola ketika membantu ATM menewaskan PKNS 3-1 di Stadium Shah Alam semalam.

ANGKATAN Tentera Malaysia (ATM) mencatat kemenangan pertama selepas menewaskan Selangor PKNS 3-1 pada aksi Liga Super di Stadium Shah Alam malam semalam.
Selepas tewas 0-1 kepada Lions XII pada aksi pembukaan pada Rabu lalu, skuad bimbingan B. Sathianathan tidak berdepan masalah untuk menundukkan PKNS yang beraksi tanpa penyerang import, Patrick Wleh Ronaldinho selepas dia dilayangkan kad merah pada minit ke-60.
Lebih menarik, penyerang import veteran skuad The Gladiators, Marlon Alex James mempamerkan aksi sebenar selepas meledak hatrik termasuk satu sepakan penalti pada minit kelapan, 64 dan 71.
Gol sagu hati PKNS dijaringkan oleh Mohd. Fazli Baharuddin pada minit ke-27, sekali gus menyaksikan skuad kendalian Abdul Rahman Ibrahim mencatat kekalahan kedua selepas tewas 1-2 kepada Kelantan pada aksi pembukaan.
Sementera itu, di Stadium Jalan Besar Singapura, hasrat Selangor untuk meneruskan kecemerlangan dalam kempen Liga Super tidak kesampaian selepas tunduk 0-1 kepada Lions XII .
Biarpun masih segar dengan kejayaan menewaskan Negeri Sembilan 1-0 di Stadium Shah Alam pada Selasa lalu, skuad kendalian Irfan Bakti Abu Salim itu gagal membawa pulang sebarang mata.
Pasukan dari Singapura itu tidak mengambil masa yang lama untuk membuka jaringan hasil tandukan penyerangnya, Fazrul Nawas pada minit ke-23.
Kejayaan itu hadir apabila Fazrul bijak menyambung tandukan Baihakki Khaizan hasil sepakan penjuru Muhammad Hafiz Abu Sujad.