CALEB FOLAN (kanan) diasak pemain Kelantan pada aksi Liga Super
di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Kuala Terengganu petang semalam.
T-TEAM berjaya menewaskan juara trebel, Kelantan 1-0 pada aksi Liga Super di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Kuala Terengganu, Terengganu petang semalam.
Skuad The Titans yang mempamerkan semangat juang tinggi membuka tirai jaringan seawal minit ketujuh menerusi rembatan cantik, Md. Aizulridzwan Razali untuk membolosi kawalan penjaga gol Kelantan, Khairul Fahmi Che Mat.
Kemenangan yang dikecapi skuad kendalian Peter James Butler itu memastikan mereka mengutip tiga mata penuh di laman sendiri pada kempen musim baharu ini.
Butler berkata, anak-anak buahnya menunjukkan keinginan dan komitmen yang tinggi untuk meraih kemenangan pada perlawanan menentang Kelantan hari ini (semalam).
“Secara keseluruhan, T-Team bermain lebih baik dari aspek taktikal dan semangat juang berbanding Kelantan untuk meraih kemenangan pertama dalam saingan Liga Super.
“Kami merupakan sebuah pasukan yang lebih baik dan berhak mengutip tiga mata penuh. Bagaimanapun, kami masih menghormati Kelantan apabila turun ke padang,” ujarnya.
Butler berkata, T-Team tidak memerlukan nasib untuk menang kerana para pemain pasukan itu menunjukkan komitmen dan mengikut segala percaturan diberikan kepada mereka.
Berbanding di Perak, pasukannya tidak bernasib baik apabila melepaskan gol pada minit-minit akhir permainan, sekali gus terpaksa berputih mata pulang dengan tangan kosong.
Dalam pada itu pengendali Kelantan, Bojan Hodak memberitahu, beliau merasakan pasukan The Red Warriors tidak bermain dengan baik.
“Walaupun kami dapat mengawal secara taktik tetapi tidak menggunakan peluang terhidang sebaik mungkin untuk menjaringkan gol. T-Team pula berjaya menggunakan peluang yang ada untuk menjaringkan gol tunggal perlawanan.
“T-Team juga mempunyai kelebihan kerana hanya bermain dua perlawanan berbanding Kelantan yang mengharungi tiga perlawanan. Tidak ada siapa yang boleh dipersalahkan dalam kekalahan ini kecuali kami,” ujarnya.
No comments:
Post a Comment