MARLON (dua dari kanan) menanduk bola ketika membantu ATM menewaskan PKNS 3-1 di Stadium Shah Alam semalam.
ANGKATAN Tentera Malaysia (ATM) mencatat kemenangan pertama selepas menewaskan Selangor PKNS 3-1 pada aksi Liga Super di Stadium Shah Alam malam semalam.
Selepas tewas 0-1 kepada Lions XII pada aksi pembukaan pada Rabu lalu, skuad bimbingan B. Sathianathan tidak berdepan masalah untuk menundukkan PKNS yang beraksi tanpa penyerang import, Patrick Wleh Ronaldinho selepas dia dilayangkan kad merah pada minit ke-60.
Lebih menarik, penyerang import veteran skuad The Gladiators, Marlon Alex James mempamerkan aksi sebenar selepas meledak hatrik termasuk satu sepakan penalti pada minit kelapan, 64 dan 71.
Gol sagu hati PKNS dijaringkan oleh Mohd. Fazli Baharuddin pada minit ke-27, sekali gus menyaksikan skuad kendalian Abdul Rahman Ibrahim mencatat kekalahan kedua selepas tewas 1-2 kepada Kelantan pada aksi pembukaan.
Sementera itu, di Stadium Jalan Besar Singapura, hasrat Selangor untuk meneruskan kecemerlangan dalam kempen Liga Super tidak kesampaian selepas tunduk 0-1 kepada Lions XII .
Biarpun masih segar dengan kejayaan menewaskan Negeri Sembilan 1-0 di Stadium Shah Alam pada Selasa lalu, skuad kendalian Irfan Bakti Abu Salim itu gagal membawa pulang sebarang mata.
Pasukan dari Singapura itu tidak mengambil masa yang lama untuk membuka jaringan hasil tandukan penyerangnya, Fazrul Nawas pada minit ke-23.
Kejayaan itu hadir apabila Fazrul bijak menyambung tandukan Baihakki Khaizan hasil sepakan penjuru Muhammad Hafiz Abu Sujad.
No comments:
Post a Comment