Sunday, 23 June 2013

1,817 sekolah ditutup angkara jerebu kritikal


KEADAAN berjerebu menyelubungi ibu negara semalam.


KUALA LUMPUR – Pembelajaran seramai 1,459,306 pelajar daripada 1,817 buah sekolah di lima buah negeri terjejas apabila semua sekolah terbabit diarah tutup ekoran krisis jerebu yang semakin kritikal melanda negara ini sejak beberapa hari lalu.
Lima negeri yang dilanda jerebu sehingga memaksa sekolah-sekolah itu ditutup ialah Johor, Selangor, Kuala Lumpur, Negeri Sembilan dan Melaka.
Sebanyak 1,230 buah sekolah di Kuala Lumpur, Putrajaya dan Selangor diarah tutup hari ini ekoran jerebu semakin teruk melanda negeri tersebut sejak semalam.
Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar, Datuk Seri G. Palanivel berkata, perkara itu telah dimaklumkan kepada Menteri Pendidikan II, Datuk Seri Idris Jusoh yang mengambil tindakan susulan.
“Keadaan jerebu yang semakin buruk pukul 5 petang ini (semalam) memaksa penutupan sekolah kerana kualiti udara yang teruk dibimbangi boleh memudaratkan kesihatan pelajar,” kata beliau dalam kenyataan akhbar di laman sosial Facebook miliknya semalam.
Sementara itu, semua 211 buah sekolah di daerah Muar dan Ledang telah diarah tutup mulai hari ini sehingga diberitahu kelak ekoran pengisytiharan darurat kerana keadaan jerebu berada pada tahap kritikal.

Perniagaan terjejas akibat jerebu


ORANG ramai memakai penutup mulut dan hidung ketika keluar membeli barangan keperluan di pasar tani di Muar semalam.


MUAR - Keadaan jerebu yang melanda seluruh daerah Muar dan Ledang di Johor bukan sahaja menjejaskan kehidupan seharian penduduknya, malah golongan peniaga makanan dan perhotelan di daerah itu turut merasai impaknya.
Daerah Muar yang sememangnya terkenal dengan pelbagai keenakan makanan seperti mi rebus, mi bandung, asam pedas, nasi beriani gam, sate dan nasi ayam sering menjadi destinasi pilihan pelancong untuk singgah makan di daerah tersebut.
Namun, sejak cuaca jerebu bertambah buruk Jumaat lepas, rata-rata peniaga gerai makanan mengeluh kerana bilangan pelanggan yang menjamu selera di warung atau restoran mereka berkurangan secara drastik.
"Kami kehilangan separuh daripada pelanggan yang biasanya berkunjung ke restoran kami pada hari Sabtu dan Ahad setiap minggu," kata Abu Bakar Hasan, seorang pengusaha mi bandung terkenal di Jalan Abdullah ketika ditemui di sini semalam.
Menurut beliau, biasanya jumlah pelanggan yang datang menjamu selera di restorannya mula bertambah setiap kali hujung minggu termasuk dari Singapura dan Kuala Lumpur.
Bagi Hishamudin Jais, seorang peniaga nasi ayam di bangunan Mara di Jalan Maharani berkata, kebanyakan pelanggannya lebih gemar membungkus makanan daripada makan di gerainya.
Menurut beliau, cuaca buruk seumpama itu merupakan yang pertama dihadapinya sejak memulakan perniagaan di situ lebih 10 tahun lalu.

Saturday, 22 June 2013

Singapura buru firma bertanggungjawab sebabkan jerebu

PELANCONG merakam gambar berhampiran tugu Merlion di Marina Bay, Singapura selepas keadaan jerebu di republik itu dilihat semakin pulih semalam.


SINGAPURA - Singapura semalam menyatakan akan menjejaki firma-firma dari negara itu yang dipercayai terlibat dalam kebakaran hutan di negara jiran, Indonesia. Tindakan itu dibuat selepas kumpulan alam sekitar, Greenpeace mendakwa kebakaran di ladang kelapa sawit di Indonesia dimiliki oleh beberapa syarikat dari Indonesia, Malaysia dan Singapura.
Menteri Luar Singapura, K. Shanmugam berkata, pihaknya akan meneliti tindakan undang-undang yang boleh diambil terhadap firma tempatan yang bertanggungjawab ke atas kebakaran itu.
"Saya sudah meminta peguam negara untuk mempertimbangkan tindakan yang boleh dilakukan di Singapura jika syarikat-syarikat itu terbukti menyumbang kepada kebakaran," katanya dalam satu sidang akhbar.
Greenpeace dalam satu kenyataan semalam berkata, data titik panas Pentadbiran Aeronautik dan Angkasa Lepas Kebangsaan (NASA) di Pulau Sumatera, Indonesia dari 11 Jun hingga kelmarin mendedahkan beratus-ratus kebakaran di ladang kelapa sawit dimiliki oleh firma dari Indonesia, Malaysia dan Singapura.
Bagaimanapun, bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) di republik yang memiliki 5.3 juta penduduk itu dilapor menurun kepada 73 pada petang semalam berbanding lebih 300 pada pagi hari yang sama. Singapura memberi amaran bahawa jerebu yang boleh mengakibatkan masalah kesihatan serius ini mungkin berterusan selama beberapa minggu. - AFP

Thursday, 20 June 2013

Antena menara tercabut, 9 cedera

Antena menara tercabut, 9 cedera
Antena menara tercabut, 9 cedera
Antena menara tercabut, 9 cedera
Antena menara tercabut, 9 cedera
Antena menara tercabut, 9 cedera
GEORGETOWN -[Dikemaskini] Sembilan orang cedera, seorang daripadanya parah dalam kejadian angin kencang yang melanda 21 kawasan di Pulau Pinang pada pukul 6.45 petang tadi.

Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Abdul Rahim Hanafi berkata, kejadian itu mengakibatkan sebuah pemancar telekomunikasi di atas Menara Umno di Jalan Macalister di sini jatuh dan menghempap beberapa kenderaan yang diparkir di tepi jalan.

Katanya, tujuh kenderaan termasuk sebuah lori pikap rosak teruk akibat dihempap pemancar telekomunikasi sepanjang kira-kira 20 meter itu dan pemandu lori berkenaan cedera parah.
“Di daerah Timur Laut terdapat lapan tempat yang terlibat di mana ada yang pokok tumbang dan yang serius sekali di Jalan Macalister di mana antena (pemancar telekomunikasi) atas bangunan Menara Umno telah jatuh dan mengakibatkan seorang (pemandu lori pikap) cedera parah.

“Bagi daerah Seberang Perai Tengah ada dua tempat yang terlibat dan daerah Seberang Perai Utara ada 10 kawasan terlibat manakala di daerah Barat Daya melibatkan satu kawasan," katanya kepada pemberita di tempat kejadian di Jalan Macalister, hari ini.

Abdul Rahim berkata, kejadian itu juga mengakibatkan paip bawah tanah di jalan berkenaan pecah.

Beliau berkata, agensi kerajaan akan memberi bantuan segera bagi memulihkan keadaan dan beliau menyeru orang ramai agar memberi kerjasama kepada pihak berkuasa.

“Masyarakat jangan marah kepada keadaan lalu lintas yang sesak dan saya akan pastikan jalan laluan berjalan dengan lancar dalam masa yang singkat,” katanya.

Misteri kehilangan Chin Aik

Misteri kehilangan Chin Aik
Kerja memperbaiki jalan giat dijalankan.
GEORGETOWN - Tiada mayat manusia ditemui setakat ini di kawasan lubang yang terbentuk akibat runtuhan rod penebat kilat di Menara Umno, Jalan Macalister, di sini, Khamis lalu.

Turut jadi persoalan tiada kesan darah atau tisu badan manusia ditemui pasukan forensik dan kakitangan Jabatan Kimia di lokasi di mana peniaga nasi, Lim Chin Aik, 44, dikhuatiri tertimbus.

Ini meninggalkan tanda tanya, ke mana hilangnya lelaki itu setelah polis mendapati nombor casis kereta yang terbenam di lokasi sama adalah sepadan dengan Honda City miliknya yang dilaporkan hilang.

Chin Aik pada masa kejadian dikatakan keluar untuk menjemput anaknya dari sekolah dan melalui kawasan itu.

Bagaimanapun, Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Gan Kong Meng pada sidang media semalam menyatakan, pihaknya sudah pun melengkapkan siasatan mengenai kehilangan lelaki malang itu.

"Hasil siasatan diserahkan kepada Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi bagi proses penyediaan sijil kematian mangsa," katanya.
Selain itu, katanya, satu salinan laporan lengkap juga diserahkan kepada pejabat Timbalan Pendakwa Raya (TPR) untuk tindakan lanjut.
“Polis bertindak berpandukan semua sumber yang diperoleh antaranya rakaman kamera sistem litar tertutup (CCTV) yang merekodkan kejadian itu.

“Selain itu, laporan juga menyentuh mengenai operasi mencari dan menyelamat yang dilakukan sebelum ini. Kita percaya mayat mangsa berada di sekitar tempat kejadian namun tidak dapat ditemui,” katanya.

Menurutnya, selepas menyerahkan laporan lengkap kepada menteri dan pejabat Timbalan Pendakwa Raya, kemungkinan sijil kematian mangsa yang terlibat akan dikeluarkan.

“Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Abdul Rahim Hanafi mungkin menyerahkan sendiri kepada keluarga mangsa selewat-lewatnya Jumaat ini,” katanya.

Dalam kejadian angin kencang Khamis lalu,  mangsa dikhuatiri tertimbus apabila pasukan mencari dan menyelamat menemui beberapa bahagian kereta Honda City berwarna gelap miliknya terbenam di kawasan runtuhan Sabtu lalu.

Susulan itu, operasi mencari dan mengesan mangsa dijalankan namun terpaksa dihentikan sepenuhnya pada jam 8 pagi Isnin untuk mengelak struktur bangunan warisan di kawasan itu terjejas.

Isnin lalu, Ahmad Zahid mengumumkan penubuhan sebuah jawatan kuasa inkues menyiasat status Chin Aik.

Tinjauan Sinar Harian di lokasi kejadian semalam mendapati kerja memperbaiki jalan raya yang rosak teruk akibat kejadian runtuh itu giat dijalankan.

Bagaimanapun, jalan di sekitar lokasi itu masih lagi ditutup dan dijangka hanya akan dibuka semula sebelum Isnin.

Difahamkan, bekalan air yang terputus sudah disambung semula dan premis perniagaan di sekitar tempat kejadian mula beroperasi seperti biasa.
------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------
Msgba Ahmad ·  Top Commenter · Sek Keb Sura Dungun
cuba kita fikirkan teori ini,,,, apabila berlaku runtuhan itu caj letrik terkumpul dengan banyaknya
pada bahagian dan peralatan yang terputus tersebut.ketika itu peralatan berkenaan masih menanggung bebannan ion ion positive atau negetive yang jutaan terkumpul . apabila terjatuh serta terkena pada kenderaan mangsa telah berlaku satu letupan yang kuat dan membakar seluruh anggota badan mangsa tanpa terkeluar darah mereka atau darah yang terrenjat ini telah terbakar.akibat kebakaran yang terlalu kuat/haba yang amat tinggi maka masa rentung dalam beberapa mili second sahaja. bila bebanan yang berat ini menyentuh keseluruhannya mangsa telah pun hancur berlebur rentung. kalau tidak mana mungkin menara itu mampu memasuki bermeter meter kedalam bumi. akibat letupan ini lah yang membuka dan memecahkan jalan danpermukaan bumi. sekiranya air tidak ada dibawah mungkin kita dapat melihat kesan kebakaran itu. fikirkan fikirkan....caj electrik pantang jumpa air.

Wednesday, 19 June 2013

Buka tudung jika mahu kerja


SAYA sudah lama berhasrat untuk memberi pendapat dalam ruangan akhbar keramat ini namun sering tidak kesampaian oleh kekangan masa dan tugas. Kejadian yang menimpa anak saudara saya baru-baru ini memaksa saya menyuarakan pendapat demi keadilan semua pihak.
Anak saudara saya berkelulusan Diploma Kejururawatan daripada salah sebuah kolej tempatan. Pada 14 Mei 2013, beliau telah menghadiri temu duga di salah sebuah hospital di Kuantan.
Semasa ditemu duga, beliau diberitahu bahawa kelulusan, kelayakan dan pengalaman yang ada padanya adalah menepati syarat untuk diterima sebagai kakitangan jururawat di hospital berkenaan. Tetapi beliau hanya akan diterima bekerja di situ sekiranya bersetuju untuk membuka tudung! Anak saudara saya merayu agar dibenarkan memakai serkup/skaf hitam namun tetap tidak dilayan.
Terdapat 11 calon bertudung yang ditemu duga dan hanya calon yang bersetuju mengorbankan pegangan akidah dengan membuka tudung diterima untuk bekerja di situ. Akhirnya, anak saudara saya menolak tawaran tersebut walaupun beliau amat memerlukan pekerjaan kerana sudah hampir setahun menganggur.
Saya terpaku, terkejut dan tertanya-tanya, benarkah kita berada di Malaysia? Sebuah negara yang agama rasminya adalah Islam? Mengapa wanita Islam diperlakukan begini? Syarat yang ditetapkan begitu kejam!
Jika sebelum ini saya biasa mendengar syarat Bahasa Mandarin untuk bekerja di sesebuah syarikat tetapi rupa-rupanya ada syarat-syarat lain yang secara terang-terangan bertentangan dengan hak asasi seorang Islam.
Saya berharap perkara ini disiasat dan janganlah biarkan ‘cacing naik ke mata’ kerana jika dibiarkan akhirnya anak-anak Melayu akan merempat di negara sendiri atau terpaksa menggadaikan maruah diri dan pegangan agama demi sesuap nasi!
MOKTEH BEKENG,
Kajang, Selangor
khairul syazwan norlajis  10 hours ago
Bukan setakat isu buka tudung je,isu pemakaian khusus buat wanita di restoran makanan segera seperti kfc dan mcdonald juga harus dipertimbangkan semula...pak mufti,JAKIM,MAjlis Fatwa Kebangsaan dan Yang Dipertuan Agong tolong ambil perhatian Demi ISLAM...


  • Avatar
    Delphia My  14 hours ago
    jgn kate hospital..smue hotel pon mcm tu..nama je malaysia..negara islam..melayu la bagai tp bile bak nk keje..kne buka tudung..kne fasih berbahasa english..payah2 

    farah  15 hours ago
    sama dengan saya......dulu waktu praktikal di semester akhir, saya ada pergi temuduga di sebuah hotel...famous hotel ni,ada 'banyak bintang' dia,bos tu kata saya diterima untuk buat praktikal di situ tapi dengan syarat mesti buka tudung masa bekerja dan boleh pakai semula selepas habis kerja.alasannya pekerja hotel kena ikut kesesuaian pada function yang dijalankan pada satu2 masa,mengikut tema acara tersebut,jadi kesimpulannya tak boleh pakai tudung la.finally saya tolak dan dapat juga buat praktikal di salah sebuah jabatan kerajaan negeri.....itu cuma ujian kecil..redha Allah lebih penting..releksss....

    iiza  18 hours ago
    sy sgt setuju dgn mokteh di mana perlu ada pihak yg mengambil berat dan memandang serious situasi sebegini kerana sy sendiri berdepan dengan situasi sebegini dimana majikan menyuarakan rasa tidak kepuasan hati dan melarang saya mengerjakan solat didalam waktu pejabat dan mencadangkan sekiranya saya tidak dapat mengukiti syarat yang ditetapkan saya disuruh mencari majikan lain atau dalam erti kata lain berhenti kerja la. Walaupun rakan sekerja menjelaskan cuma mengambil masa antara 5-10minit tetapi saya dipanggil mengadap diatas kesalahan saya itu. Saya cukup marah kerana menganggap perkara ini tidak seharusnya berlaku dan saya mengambil keputusan untuk berhenti kerja walaupun saya hanya baru bekerja 3minggu lebih. saya bukan orang pertama yang dimarah dan ditegur kerana mengerjakan solat, tetapi rakan seislam lain juga pernah dimarah dan ditegur tetapi memandangkan saya merupaka pembantu peribadi so saya dilihat terlalu ketara dan saya rasa sangat2 marah dan suami mengarahkan saya untuk berhenti kerja.saya sgt berharap perkara ini tidak berulang kepada orang lain terutamanya kita yang beragama islam.

Saturday, 8 June 2013

Pakar rakam gambar bayi baru lahir

 ADI menggunakan cahaya semula jadi untuk merakam potret bayi yang masih dalam pantang.

SEPATUTNYA lelaki ini bergelar pereka grafik. Namun segalanya berubah selepas dia perlu mengambil subjek fotografi ketika menuntut di Fakulti Seni Halus dan Seni Reka di Universiti Teknologi Mara, Shah Alam, Selangor beberapa tahun lalu.
Peluang untuk mempelajari pelbagai teknik fotografi digunakan sebaik-baiknya sementelah hatinya lama tertarik dengan seni fotografi hasil bidikan kamera abangnya, seorang jurufoto perkahwinan, Saiful Nang.
Bermula daripada hobi, minat baharu itu rupa-rupanya memberikan impak yang sangat besar buat Md. Naszari Nang, 31.
Lebih mesra dengan panggilan Adi, sejak itu dia jarang berenggang dengan kameranya.
"Saya tiada hobi lain selain mengambil gambar. Boleh dikatakan ke mana sahaja saya pergi, kamera mesti ada di sisi," akuinya yang gemar menjadikan manusia sebagai subjek dalam setiap foto yang diambilnya.
Sudah lebih tujuh tahun menceburi dunia fotografi, hari ini nama Adi Nang bukanlah nama asing terutamanya dalam fotografi perkahwinan.
"Mulanya ia hanya kerja sambilan. Selepas tamat pengajian, saya terus diterima bekerja sebagai pereka grafik di sebuah syarikat pengiklanan. Ketika itu, saya sudah pun berjinak-jinak secara sambilan dalam dunia fotografi.
"Setahun bekerja, saya dinaikkan pangkat ke jawatan pengarah kreatif. Sungguh pun sibuk di pejabat, dek kerana minat, saya gunakan waktu hujung minggu untuk penuhi undangan sebagai jurugambar rasmi majlis-majlis perkahwinan. Namun, tidak lama selepas itu, saya ambil keputusan untuk meletak jawatan," katanya.
Eksperimen
Kata Adi, dia sanggup melepaskan jawatan dan terjerumus dalam bidang fotografi kerana hobinya itu mula memberi pulangan material.
"Apabila pekerjaan menjadi hobi, ia bukan pekerjaan lagi. Ia suatu pengalaman dalam meneroka pelbagai peluang. Inilah yang menjadi prinsip saya," ujar Adi ketika ditemui di rumahnya di Kuala Lumpur baru-baru ini.
Turut mengagumi karya jurufoto profesional terkemuka tanah air, Bazuki Muhammad, Adi juga pernah berkhidmat lebih kurang lima tahun sebagai kru Candidsyndrome di bawah tunjuk ajar abangnya, Saiful.

BAYI berumur tujuh hari paling sesuai dirakam gambarnya.


"Bagi saya, tiada jalan mudah untuk berjaya, apatah lagi jika berada dalam kelompok jurufoto profesional. Saya perlu bekerja keras dan sentiasa memikirkan sesuatu yang kreatif.
"Walaupun ada bimbingan dan arahan daripada ketua, saya lebih mencuba dengan idea sendiri dan membandingkannya dengan apa yang mereka mahukan," ujar Adi yang kini juga dikenali sebagai jurufoto bayi.
Lantaran mahukan kelainan dalam bereksperimen melalui lensa kameranya, Adi meneroka bidang fotografi bayi kira-kira dua tahun lalu.
"Mencari sesuatu kelainan memang sukar, namun perlu diakui bidang fotografi ini cukup luas. Bagi saya, jika ada kesungguhan, tiada sebab mengapa seorang jurufoto boleh pergi lebih jauh dalam merakamkan gambar menarik dan momen bermakna.
"Ini tidaklah bermakna saya mahu mencari kelainan sehingga ingin mengalahkan orang lain, tetapi sekadar mencari idea dan menghasilkan kreativiti sendiri. Manalah tahu, usaha kita yang sedikit itu boleh memberi inspirasi kepada orang lain.
Thebabablacksheep
"Saya juga banyak belajar daripada kesilapan. Seni fotografi memang unik, semakin kita gali semakin banyak benda baharu yang kita temui.
"Selain pengalaman sendiri dan bergaul dengan jurufoto profesional, saya juga banyak belajar daripada internet.
"Merakamkan gambar bayi yang tidur, misalnya, ia boleh menjadi sesuatu yang lebih bermakna dan menarik sekiranya jurufoto itu sentiasa mencari idea untuk menghasilkan gambar yang kreatif dan memberi kesan kepada sesiapa sahaja yang melihatnya," jelas Adi yang mula memperkenalkan produk thebabablacksheep di bawah syarikatnya, Adinang Image Work, sejak setahun lalu.
Menurutnya, tidak ramai jurufoto yang menawarkan perkhidmatan merakam gambar bayi baru lahir sepertinya. Kata Adi, kebanyakannya lebih cenderung mengambil gambar jurnal kanak-kanak.

ADI hanya memerlukan masa selama dua jam pada waktu pagi untuk menghasilkan potret indah seperti ini dengan kos bermula serendah RM400.


Tambah Adi, mengambil gambar bayi yang baru lahir memberi cabaran yang berbeza buatnya.
"Bekerja dengan bayi menyeronokkan. Walaupun mereka tidak faham pada arahan, namun kebanyakannya mudah diurus.
"Kebiasaannya sehari sebelum penggambaran, saya akan hubungi pelanggan untuk maklumkan apa yang mereka perlu lakukan.
"Memandangkan saya suka gunakan pencahayaan semula jadi, penggambaran biasanya akan dilakukan pada waktu pagi.
"Bayi bolehlah dimandikan lebih awal dan disusukan hingga kenyang supaya tidurnya lebih lena.
"Lebih mudah merakamkan gambar ketika bayi sedang tidur kerana mereka tidak mudah meragam jika kita mahu menggayakan aksi mereka seperti meniarap, duduk, terlentok dan sebagainya.
"Lagipun, untuk bayi yang baru lahir, gambar bayi tidur dengan mata yang tertutup rapat dan mulut sedikit terbuka akan menggambarkan usia kecil selain menonjolkan kesucian wajah mereka.
"Berbeza dengan aksi bayi yang membuka mata, ia seakan menggambarkan mereka sudah menjangkau dua ke tiga bulan, bukannya bayi dalam pantang.
"Bayi yang baru lahir juga mudah dibentuk untuk pelbagai gaya. Malah, kaki mereka boleh dilipat hingga mencecah kepala, seperti kedudukan mereka ketika di dalam rahim," kata Adi yang biasanya mengesyorkan penggambaran dijalankan selepas tali pusat bayi tanggal.
Menurutnya, selepas sebulan umur bayi, biasanya tubuh kecil mereka sudah diseliputi lemak dan kelihatan lebih besar. Ia tidak beri gambaran yang bayi tersebut baru sahaja lahir.