SEPATUTNYA lelaki ini bergelar pereka grafik. Namun segalanya berubah selepas dia perlu mengambil subjek fotografi ketika menuntut di Fakulti Seni Halus dan Seni Reka di Universiti Teknologi Mara, Shah Alam, Selangor beberapa tahun lalu.
Peluang untuk mempelajari pelbagai teknik fotografi digunakan sebaik-baiknya sementelah hatinya lama tertarik dengan seni fotografi hasil bidikan kamera abangnya, seorang jurufoto perkahwinan, Saiful Nang.
Bermula daripada hobi, minat baharu itu rupa-rupanya memberikan impak yang sangat besar buat Md. Naszari Nang, 31.
Lebih mesra dengan panggilan Adi, sejak itu dia jarang berenggang dengan kameranya.
"Saya tiada hobi lain selain mengambil gambar. Boleh dikatakan ke mana sahaja saya pergi, kamera mesti ada di sisi," akuinya yang gemar menjadikan manusia sebagai subjek dalam setiap foto yang diambilnya.
Sudah lebih tujuh tahun menceburi dunia fotografi, hari ini nama Adi Nang bukanlah nama asing terutamanya dalam fotografi perkahwinan.
"Mulanya ia hanya kerja sambilan. Selepas tamat pengajian, saya terus diterima bekerja sebagai pereka grafik di sebuah syarikat pengiklanan. Ketika itu, saya sudah pun berjinak-jinak secara sambilan dalam dunia fotografi.
"Setahun bekerja, saya dinaikkan pangkat ke jawatan pengarah kreatif. Sungguh pun sibuk di pejabat, dek kerana minat, saya gunakan waktu hujung minggu untuk penuhi undangan sebagai jurugambar rasmi majlis-majlis perkahwinan. Namun, tidak lama selepas itu, saya ambil keputusan untuk meletak jawatan," katanya.
Eksperimen
Kata Adi, dia sanggup melepaskan jawatan dan terjerumus dalam bidang fotografi kerana hobinya itu mula memberi pulangan material.
"Apabila pekerjaan menjadi hobi, ia bukan pekerjaan lagi. Ia suatu pengalaman dalam meneroka pelbagai peluang. Inilah yang menjadi prinsip saya," ujar Adi ketika ditemui di rumahnya di Kuala Lumpur baru-baru ini.
Turut mengagumi karya jurufoto profesional terkemuka tanah air, Bazuki Muhammad, Adi juga pernah berkhidmat lebih kurang lima tahun sebagai kru Candidsyndrome di bawah tunjuk ajar abangnya, Saiful.
"Bagi saya, tiada jalan mudah untuk berjaya, apatah lagi jika berada dalam kelompok jurufoto profesional. Saya perlu bekerja keras dan sentiasa memikirkan sesuatu yang kreatif.
"Walaupun ada bimbingan dan arahan daripada ketua, saya lebih mencuba dengan idea sendiri dan membandingkannya dengan apa yang mereka mahukan," ujar Adi yang kini juga dikenali sebagai jurufoto bayi.
Lantaran mahukan kelainan dalam bereksperimen melalui lensa kameranya, Adi meneroka bidang fotografi bayi kira-kira dua tahun lalu.
"Mencari sesuatu kelainan memang sukar, namun perlu diakui bidang fotografi ini cukup luas. Bagi saya, jika ada kesungguhan, tiada sebab mengapa seorang jurufoto boleh pergi lebih jauh dalam merakamkan gambar menarik dan momen bermakna.
"Ini tidaklah bermakna saya mahu mencari kelainan sehingga ingin mengalahkan orang lain, tetapi sekadar mencari idea dan menghasilkan kreativiti sendiri. Manalah tahu, usaha kita yang sedikit itu boleh memberi inspirasi kepada orang lain.
Thebabablacksheep
"Saya juga banyak belajar daripada kesilapan. Seni fotografi memang unik, semakin kita gali semakin banyak benda baharu yang kita temui.
"Selain pengalaman sendiri dan bergaul dengan jurufoto profesional, saya juga banyak belajar daripada internet.
"Merakamkan gambar bayi yang tidur, misalnya, ia boleh menjadi sesuatu yang lebih bermakna dan menarik sekiranya jurufoto itu sentiasa mencari idea untuk menghasilkan gambar yang kreatif dan memberi kesan kepada sesiapa sahaja yang melihatnya," jelas Adi yang mula memperkenalkan produk thebabablacksheep di bawah syarikatnya, Adinang Image Work, sejak setahun lalu.
Menurutnya, tidak ramai jurufoto yang menawarkan perkhidmatan merakam gambar bayi baru lahir sepertinya. Kata Adi, kebanyakannya lebih cenderung mengambil gambar jurnal kanak-kanak.
Tambah Adi, mengambil gambar bayi yang baru lahir memberi cabaran yang berbeza buatnya.
"Bekerja dengan bayi menyeronokkan. Walaupun mereka tidak faham pada arahan, namun kebanyakannya mudah diurus.
"Kebiasaannya sehari sebelum penggambaran, saya akan hubungi pelanggan untuk maklumkan apa yang mereka perlu lakukan.
"Memandangkan saya suka gunakan pencahayaan semula jadi, penggambaran biasanya akan dilakukan pada waktu pagi.
"Bayi bolehlah dimandikan lebih awal dan disusukan hingga kenyang supaya tidurnya lebih lena.
"Lebih mudah merakamkan gambar ketika bayi sedang tidur kerana mereka tidak mudah meragam jika kita mahu menggayakan aksi mereka seperti meniarap, duduk, terlentok dan sebagainya.
"Lagipun, untuk bayi yang baru lahir, gambar bayi tidur dengan mata yang tertutup rapat dan mulut sedikit terbuka akan menggambarkan usia kecil selain menonjolkan kesucian wajah mereka.
"Berbeza dengan aksi bayi yang membuka mata, ia seakan menggambarkan mereka sudah menjangkau dua ke tiga bulan, bukannya bayi dalam pantang.
"Bayi yang baru lahir juga mudah dibentuk untuk pelbagai gaya. Malah, kaki mereka boleh dilipat hingga mencecah kepala, seperti kedudukan mereka ketika di dalam rahim," kata Adi yang biasanya mengesyorkan penggambaran dijalankan selepas tali pusat bayi tanggal.
Menurutnya, selepas sebulan umur bayi, biasanya tubuh kecil mereka sudah diseliputi lemak dan kelihatan lebih besar. Ia tidak beri gambaran yang bayi tersebut baru sahaja lahir.
No comments:
Post a Comment