Saturday, 13 September 2014

Sari Yanti sudah jemu (utusan)

 Sari Yanti redha dgn apa juga dugaan kehidupannya

Kalau tengok dalam drama mahupun filem, antara pelakon yang kekal muda walaupun semakin berusia adalah Sari Yanti.
Kebanyakan watak yang dilakonkannya lebih memerlukan dia untuk menjadi seorang yang jauh lebih muda daripada usia asalnya.

Bukan Sari Yanti seorang sahaja, malah ada beberapa lagi pelakon yang memiliki iras muda dan masih ditawarkan watak-watak seperti budak sekolah walaupun sudah lama meninggalkan alam persekolahan.

Sebelum ini, sudah ada beberapa artis yang meminta untuk tidak ditawarkan watak yang sama sahaja untuk membuktikan mereka mampu melakukan lebih daripada keselesaan mereka.

Begitu juga dengan Sari Yanti yang kini menjadi antara mereka yang mula menolak tawaran terutamanya yang memerlukan dia menjadi budak sekolah.

“Bukan saya tidak mahu menerima tawaran untuk berlakon watak-watak tersebut, tetapi lebih baik rasanya saya menarik diri.

“Saya takut, jika terlalu kerap membawakan watak-watak budak sekolah ini, nanti ada yang mula menyampah dengan saya pula.

“Manakan tidak, umur sudah 30 tahun, tapi masih nak ambil watak-watak muda. Khuatir nanti ada yang kata saya macam tak sedar diri pula," jelasnya.

Namun jelas Sari, dia tidaklah terlalu tegas untuk menolak semua watak sedemikian tetapi melihat kepada skrip dan jalan cerita juga.

  
“Sekiranya skrip jalan cerita itu memerlukan saya memegang dua watak semasa kecil dan besar untuk menyokong plot, tiada masalah bagi saya menerimanya," katanya.

Malah, tambah Sari lagi, jika diikutkan kini, sudah ramai pelakon-pelakon pelapis yang jauh lebih berbakat dalam bidang lakonan.

“Pelakon baharu sekarang sudah semakin ramai dan banyak yang berbakat. Malah, rasanya mereka ini jauh lebih muda dan sesuai daripada saya sendiri.
“Rasanya lebih baik bakat mereka ini digilap dan diberi peluang untuk berlakon. Ramai pelakon-pelakon muda yang bagus sekarang.

“Itu yang saya rasa lebih baik ambil mereka daripada ambil orang tua untuk berlakon watak muda," katanya.
Tak mahu anak-anak berlakon
Alang-alang bercerita tentang pelakon pelapis, sempat juga ditanyakan tidakkah Sari berminat untuk membawa anak-anaknya ke dalam industri seni.

Bagi Sari sendiri, ini bukanlah masa yang sesuai untuk dia menolak anak-anak menjadi seorang pelakon atau terlibat dalam bidang seni.

“Saya sebenarnya kesian tengok kanak-kanak berlakon dan itu yang saya kalau boleh tidak mahu anak saya berlakon.
“Saya sebagai pelakon dewasa pun penat dengan dunia lakonan apatah lagi dengan kanak-kanak. Bukan komitmen pada lakonan sahaja, malah komitmen pada akademik juga perlu diberi perhatian.

“Memikirkan perkara itu sudah buat saya rasa kesian dengan mereka. Nak berlakon bukan mudah, agak payah," jelasnya.
Menurut Sari, dia tidak pernah membawa anak-anaknya pergi uji bakat iklan atau melihat dia berlakon. Itu mungkin membuatkan anak-anaknya tidak pernah menyatakan rasa ingin berlakon.

“Saya tidak pernah bawa mereka ke set penggambaran apatah lagi nak ke uji bakat iklan. Lagipun mereka masih kecil. Mereka masih tidak tahu untuk berlakon apatah lagi nak menerima arahan daripada pengarah," jelasnya.

Hasil perkahwinan selama lima tahun bersama Mohd. Edy Casmadi dikurniakan dua anak lelaki iaitu Barr Al Aliy, 4, dan Basit Al-Haq, 2. Pasangan ini sedang berhadapan dengan masalah rumah tangga yang serius dan Sari dikatakan telah meninggalkan rumah kelaminnya. Kes berkenaan sedang berjalan di Mahkamah Rendah Syariah Subang.


Artikel Penuh: http://utusan.com.my/utusan/Hiburan/20140912/hi_01/Sari-Yanti-sudah-jemu#ixzz3DCYgjQkW
© Utusan Melayu (M) Bhd 

No comments:

Post a Comment