AKSI kumpulan Zero ketika final Maharaja Lawak Mega 2014 di Stadium Putra, Bukit Jalil, Kuala Lumpur, malam semalam. – MINGGUAN/ROY AZIS ABD. AZIZ -
KUALA LUMPUR 7 Feb. – Salah seorang anggota kumpulan Zero, Sharif menegaskan kisah kesusahan yang dilalui bukan taruhan untuk memancing juri dan pengundi sehingga berjaya dinobatkan sebagai juara Maharaja Lawak Mega (MLM) 2014 malam tadi.
Menurutnya, kemenangan itu adalah rezeki yang mereka sendiri tidak sangka.
“Memang kami susah. Tetapi, semua itu bukan alasan untuk kami meminta simpati orang.
“Sebelum ini kami hanya bekerja sebagai nelayan dan buruh kasar. Kesusahan itu membuatkan kami cuba untuk mengubahnya. Tidak sangka, peluang memasuki program Raja Lawak sebelum ini menonjolkan bakat seni yang kami ada. Di situ, kami mula sedar hidup semakin bersinar,” katanya.
Zero turut dianggotai Syaiful dan Atu yang merupakan tiga beradik berasal dari Sabah. Kehebatan mereka dengan lawak yang bertenaga semasa pentas akhir MLM 2014 yang berlangsung di Stadium Putra Bukit Jalil membuahkan hasil dan membolehkan mereka membawa pulang wang tunai bernilai RM500,000 dan trofi.
Berkongsi tentang duit kemenangan, Sharif memberitahu, akan menghantar ibu mereka untuk menunaikan haji di Mekah.
“Itu antara salah satu daripada tiga hajat kami jika peroleh kemenangan. Kami juga akan menggunakan duit ini untuk membuat rumah dan selebihnya akan digunakan untuk perkahwinan Syaiful.
“Syukur kami menang malam ini walaupun tidak mengharap. Tak kira nombor berapa atau tersingkirnya kami daripada MLM, kami tetap akan menunaikan hajat untuk keluarga,” katanya.
Tahun lalu, Zero pernah menyertai MLM 2013 tetapi tersingkir pada minggu kelima.
Untuk MLM 2014, Zero berjaya menewaskan Sepahtu yang sekadar berpuas hati di tempat kedua, Nabil (ketiga), Shiro (keempat) dan Bocey di tempat kelima.
No comments:
Post a Comment