BACHOK – Tiga beranak dari Marang, Terengganu yang dalam perjalanan pulang selepas menghadiri majlis pengebumian Mursyidul Am Pas, Allahyarham Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat ditimpa kemalangan tragis apabila mereka terbunuh manakala lima yang lain cedera parah dalam kejadian di Kampung Telong, dekat sini petang semalam.
Sepasang suami isteri, Roslan Mamat, 34, dan Mimi Suharti Abdul Ghani, 38, yang berasal dari Bukit Payong, Marang, Terengganu serta bayi bongsu mereka berusia enam bulan, Nur Airish Alisya maut dalam nahas itu.
Empat lagi anak mereka iaitu Nur Dina Qistina, 12; Mohammad Zarfan Daniel, 10; Mohammad Zakuan Danish, 6; dan Mohammad Rizqi Darwish, 3, bersama seorang kakak Roslan, Sakiah Mamat, 50, cedera parah.
Ketua Polis Daerah Bachok, Deputi Superintendan Abdul Hamid Che Ahmad berkata, dalam kejadian pukul 2.30 petang itu, kesemua mangsa dikatakan menaiki kenderaan Perodua Alza dari arah Melawi ke Tok Bali sebelum terbabas dan memasuki laluan bertentangan.
No comments:
Post a Comment