IPOH 2 Nov. - Mereka dipercayai dibawa ke sebuah bengkel kenderaan untuk dibunuh sebelum dibakar di atas kepingan zink.
Tulang dan abu mayat mereka kemudian dibuang ke dalam sungai untuk menghapuskan bukti.
Ada juga khabar angin yang mengatakan sebelum dibakar kemungkinan daging mangsa dipotong dan diberi makan kepada anjing-anjing yang dibela di bengkel tersebut.
Itu pembunuhan kejam yang dipercayai dilakukan secara berasingan terhadap empat mangsa termasuk seorang wanita yang dilaporkan hilang di daerah ini sejak 2012 yang mirip kes pembunuhan jutawan kosmetik, Datuk Sosilawati Lawiya dan tiga rakannya iaitu Kamaruddin Shamsudin, Noorhisham Mohammad dan Ahmad Kamil Abdul Karim pada 2010.
Misteri itu berjaya dirungkai polis ekoran penahanan empat sekeluarga di sebuah bengkel kenderaan di Jalan Pahang, Tapah pada 26 Oktober lalu.
Timbalan Ketua Polis negeri, Datuk Hasnan Hassan berkata, suspek yang ditahan terdiri daripada seorang lelaki pengusaha bengkel kenderaan berat berusia 57 tahun, dua anak lelakinya masing-masing berusia 20 dan 17 tahun serta seorang wanita berusia 54 iaitu isteri kepada suspek pertama.
“Kesemua mangsa dipercayai dibunuh sebelum dibakar di atas zink dan kemudian serpihan tulang serta abu dibuang ke dalam sungai berhampiran dengan bengkel kenderaan tersebut.
“Polis sedang menyiasat lanjut kes ini dan tidak menolak kemungkinan suspek melakukan lebih daripada empat pembunuhan,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) negeri di sini hari ini.
Hasnan memberitahu, jenayah kejam itu terbongkar hasil maklumat awam dan risikan ekoran satu laporan polis yang dibuat oleh ahli keluarga seorang ejen hartanah berusia 46 tahun berasal dari Sungai Lah, Chenderiang, dekat sini yang hilang pada 26 Ogos lalu.
Menurutnya, bertindak daripada laporan tersebut, polis membuat tangkapan terhadap keempat-empat suspek terbabit.
Ujarnya, siasatan yang dijalankan terhadap suspek mendedahkan bahawa mangsa yang dilaporkan hilang di Chenderiang itu telah dibunuh dengan cara dibakar di kawasan bengkel manakala motosikal mangsa ditinggalkan di tepi jalan menghala ke Cameron Highlands.
Tambahnya, siasatan lanjut terhadap suspek turut mendedahkan tiga lagi mangsa yang dilaporkan hilang di kawasan Tapah sejak 2012, dipercayai telah dibunuh oleh suspek menggunakan modus operandi yang sama.
“Ketiga-tiga mangsa itu ialah seorang wanita pengusaha bas persiaran berusia 56 tahun dilaporkan hilang pada Mac tahun lalu, seorang lelaki jurujual alat ganti kenderaan berusia 54 tahun hilang pada Jun tahun lalu dan seorang lelaki berusia 36 tahun yang bekerja di bengkel suspek hilang pada Oktober 2012.
“Polis mengenal pasti motif pembunuhan ialah hutang, urus niaga tanah yang gagal dan pekerja bengkel yang mencuri hak milik majikannya,” katanya.
Hasnan menjelaskan, semakan mendapati suspek utama iaitu pengusaha bengkel itu mempunyai tujuh rekod jenayah lampau iaitu pecah rumah, menipu dan pecah amanah.
Katanya lagi, pihak forensik Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Jabatan Forensik Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) telah menjalankan siasatan di tempat kejadian mulai 30 Oktober lalu di beberapa kawasan di sekitar Tapah.
“Beberapa sampel tulang telah ditemukan dan telah dihantar ke HRPB untuk bedah siasat dan seterusnya proses asid deoksiribonukleik (DNA)," ujar beliau.
Sementara itu di Tapah, polis berjaya mendapat perintah mahkamah untuk melanjutkan tempoh tahanan reman terhadap keempat-empat suspek yang ditahan sejak 26 Oktober lalu disambung bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
Perintah tahanan reman selama empat hari lagi itu dikeluarkan oleh Majistret Nurul Nadia Abdul Razak di Mahkamah Majistret Tapah hari ini.
No comments:
Post a Comment