Saturday, 2 July 2016

Pendam kesusahan (metro)


Kuala Lumpur: “Saya pesan kepada anak-anak supaya merahsiakan kesusahan keluarga ini termasuk penyakit saraf yang saya hidapi sejak September tahun lalu.
“Saya tidak sangka masyarakat boleh mengetahuinya juga selepas ia diviralkan individu prihatin dengan keadaan keluarga saya terutama anak-anak,” demikian kata Elya Susanti Ab Rakit, 45.
Elya Susanti ibu kepada lima beradik yang berkongsi mi segera ketika bersahur dan berbuka puasa disebabkan ibunya terlantar di Hospital Pakar Al-Islam, Kampung Baru akibat masalah saraf sejak 21 Jun lalu.
Kisah lima beradik yang menetap di Taman Samudera, Batu Caves, di sini menarik perhatian ramai termasuk Kelab Sukan dan Rekreasi The New Straits Times Press (NSTP) Berhad selepas viral di laman sosial.
Susulan itu, kelab berkenaan dengan kerjasama Tabung Kemanusiaan Media Prima melaksanakan tanggungjawab sosial korporat dengan memberikan sumbangan RM3,000 kepada keluarga terbabit, semalam.
Ia merangkumi wang tunai RM2,000 dan barangan keperluan harian bernilai RM1,000 yang disampaikan Naib Pengerusi Kelab Sukan dan Rekreasi NSTP Mohammad Anis Abdullah kepada Elya Susanti dan Guru Besar Sekolah Kebangsaan Taman Samudera Taufek Mohamed.
Elya Susanti berkata, dia dijangka keluar hospital Ahad ini selepas menjalani lima pembedahan 21 Jun lalu pada lutut kanan, kedua-dua tapak tangan bagi membetulkan saraf, pinggul kanan serta suntikan pada lutut kiri.
“Selepas sakit, tiga kali saya jatuh motosikal menyebabkan penyakit ini bertambah teruk dan sudah lima kali dimasukkan ke hospital ini.
“Rawatan ini ditanggung majikan dan pernah dua kali saya balik ke rumah pada waktu malam ketika masih mendapatkan rawatan dalam wad kerana mahu melihat anak-anak di rumah,” katanya.
Ibu tunggal itu berkata, sememangnya dia runsing memikirkan lima anaknya yang berusia tujuh hingga 12 tahun di rumah tanpa dirinya tetapi terpaksa memendamkan perasaan berkenaan disebabkan masalah kesihatannya.
Menurutnya, dia berharap dapat pulang ke rumah hujung minggu ini kerana mahu menyambut Aidilfitri bersama anak di rumah meskipun dirinya tidak sihat.
Sementara itu, Mohammad Anis berkata, beliau tersentuh apabila mengetahui anak sulung kepada Elya Susanti iaitu Nor Alya Dayana Muhammad Nadzri, 12, mengambil alih peranan sebagai ibu dan bapa sepanjang ibunya berada di hospital.
“Dalam keadaan Syawal yang hampir tiba, sepatutnya lima beradik ini bergembira untuk menyambut hari raya tetapi sebaliknya yang perlu mereka hadapi.
“Saya harap sumbangan ini dapat memberi kegembiraan dan meringankan beban mereka,” katanya.
Dalam pada itu, Taufek berkata, keperitan hidup yang dihidapi muridnya terbongkar minggu lalu selepas seorang guru datang ke rumah dan mendapati mereka hanya tinggal lima beradik di rumah tanpa ibu.
“Daripada situ mereka menceritakan perkara sebenar dan pihak sekolah turut membuat lawatan ke hospital.
“Pihak sekolah turut mengambil langkah proaktif menubuhkan jawatankuasa untuk membantu keluarga ini,” katanya.

No comments:

Post a Comment