Raja Ilya rela undur diri andai tiada titik persamaan
19 Ogos 2016 6:00 PM
| TIGA tahun menyulam cinta dengan seorang jejaka warganegara Australia beragama Kristian, pelakon jelita Raja Ilya meletakkan harapan tinggi. Dia mahu supaya hubungan itu berakhir di jenjang pelamin.
Belum memikirkan lagi untuk berumah tangga dalam masa terdekat, Ilya atau nama sebenarnya Raja Ramilah Begum Raja Mohamad, 31, mengakui mahukan yang terbaik. Ini termasuklah agar lelaki itu dilembutkan hati, diberi hidayah untuk memeluk agama Islam suatu hari nanti. Bertemu dengannya ketika hadir menjayakan sesi fotografi lima calon terbaik Festival Filem Malaysia ke-28 (FFM28) pada Selasa lalu, Ilya menganggap hubungan mereka sebagai satu cabaran.
“Andai suatu hari nanti apabila tiba masanya saya perlu membawa hubungan ini kepada ikatan yang sah, saya harap ia dipermudah. Jika agama menjadi penghalang buat kami, saya rela undur diri dan berharap kami dapat terus berkawan baik sampai bila-bila,” kata calon Pelakon Baharu Wanita Terbaik menerusi filem Suamiku Encik Perfect 10.
Ilya faham,
isu bertukar agama bukanlah sesuatu yang boleh diambil mudah. Ia terlalu subjektif untuk diperkata secara terbuka.
Disebabkan itu, aktres berkenaan reda dan menyerahkan kepada takdir. “Memeluk Islam bukan sekadar untuk mengahwini seseorang yang beragama Islam. Sebaliknya perlu atas dasar cinta terhadap agama tersebut. Jiwa dan raga kena betul-betul ikhlas untuk mencintai Islam, bukan sebab mencintai seseorang semata-mata. “Jadi, biarlah masa menentukannya.
Kalau ada jodoh, syukur kepada Allah. Jika sebaliknya, diharap kami tetap boleh menjadi sahabat baik,” tuturnya. Sementara itu, mengulas lanjut pencalonan dalam FFM28, dia terkejut apabila dicalonkan sebagai pelakon baharu sedangkan sudah lapan tahun berkecimpung dalam bidang lakonan. Namun selepas difikirkan semula pengalamannya di layar perak, Suamiku Encik Perfect 10 adalah filem awal yang dibintangi, sekali gus layak bertanding merebut trofi Pelakon Baharu Wanita Terbaik bersaing dengan empat lagi calon iaitu Marianne Tan (Ola Bola), Falisha Crossley (Mat Moto), Zara Zya (Rembat) dan Risteena Munim (Girlfriend Kontrak).
“Bagaimanapun, saya dapat merasakan ada pelakon lain lebih menyerlah dalam filem lakonan mereka untuk memenangi trofi berkenaan. Tak apa, semoga ini pembuka jalan yang baik dan saya akan terus diberi peluang untuk membintangi filem pada masa akan datang,” katanya. - Gambar AMIN FARIJ HASAN -
No comments:
Post a Comment