KUALA LUMPUR 18 Ogos - Selepas impian Goh Liu Ying untuk memenangi pingat Sukan Olimpik berjaya dicapai, Goh Chak Whee menyerahkan sepenuhnya kepada anak sulungnya itu sama ada mahu menamatkan zaman bujang dalam masa terdekat.
Chak Whee mengakui, dia dan keluarga merestui
hubungan Liu Ying dengan kekasihnya yang dikenali sejak zaman kanak-kanak, Ong Jian Guo.
Namun, sejauh mana
hubungan yang sudah terjalin sejak lapan tahun lalu itu mahu ditamatkan, ia terpulang kepada Liu Ying.
“Ketika ini, saya tidak pernah dengar dia kata nak kahwin (selepas pulang dari Rio). Dia pun tidak pernah cerita tentang perkara itu.
“Mungkin buat sementara waktu... lebih-lebih lagi Liu Ying baru dapat keputusan baik dalam Olimpik, dia belum memikirkan tentang perkahwinan.
GOH CHAK WHEE (kanan) dan isterinya, Yoong Ooi Lin sentiasa merestui hubungan Goh Liu Ying dan Ong Jian Guo. Instagram Goh Liu Ying -
“Bagaimanapun terserah kepadanya untuk buat keputusan. Saya ikut apa sahaja apa yang dia mahu,” ujar Chak Whee, 59, ketika dihubungi Utusan Malaysia.
Tambah Chak Whee, Liu Ying dan Jian Guo, yang juga bekas beregu badminton negara mengenali satu sama lain sejak di bangku sekolah.
“Masa umur 11 tahun, mereka berlatih di tempat yang sama. Mereka dari Melaka pergi pula SSBJ (Sekolah Sukan Bukit Jalil), jadi pelapis kebangsaan, lepas itu masuk pasukan senior... semua sama-sama,” katanya.
Menyentuh mengenai perjalanan karier Liu Ying, Chak Whee berkata, minat anaknya terhadap badminton dikesan seawal usia tiga tahun lagi.
“Mulanya saya bawa dia ke gelanggang badminton. Lama kelamaan, dia sendiri minat badminton. Pada umur lima tahun, saya ajar dia cara pegang raket dan pukul bulu tangkis.
“Masuk umur 11 tahun, baru saya pasang (upah) jurulatih berpengalaman untuk ajar dia. Dari situ, dia mendalami badminton,” katanya sambil menambah Liu Ying seorang anak yang baik, bertanggungjawab dan menghormati keluarga.
Liu Ying-Chan Peng Soon melakar sejarah muncul beregu campuran pertama negara mara ke final Olimpik.
Mereka mengejutkan beregu pilihan dari China, Xu Chen-Ma Jin pada separuh akhir, sebelum tewas kepada Tontowi Ahmad-Liliyana Natsir dari Indonesia.
No comments:
Post a Comment