beberapa pekerja sibuk membersihkan restoran semalam
Georgetown: “Kami akur dengan tindakan dikenakan, namun tuduhan tidak menitikberatkan soal kebersihan amat mengecewakan dan tidak berasas sama sekali,” kata pengusaha Restoran Nasi Kandar Line Clear di Jalan Penang, Sahubar Ali Mohd Hanibah.
Sahubar Ali, 59, berkata, pihaknya akur dan mengakui segala kesilapan serta terkejut selepas menerima notis penutupan premis selama dua minggu oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) disebabkan faktor kebersihan termasuk penemuan najis dan bangkai tikus serta lipas.
Menurutnya, penutupan itu yang berlaku buat kali pertama selepas 80 tahun menjalankan perniagaan nasi kandar memberi kesan cukup besar kerana sebelum ini tidak pernah ditutup kerana dikenakan tindakan penguatkuasaan.
Katanya, pihaknya melahirkan kecewa di atas segala tuduhan dilemparkan dan tidak pernah sama sekali mengabaikan soal kebersihan dan apa yang berlaku disebabkan kecuaian sendiri.
“Biarpun rundingan awal dibuat agar diberikan sedikit kelonggaran, tindakan penguatkuasaan tetap dikenakan dan selepas ini, kami akan lebih berhati-hati supaya kejadian sama tidak akan berulang pada masa akan datang.
“Kami ada membuat aduan mengenai tikus kepada pihak Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) minggu lalu dan Sabtu lalu tindakan penyemburan racun dan operasi dilakukan MBPP sebelum operasi penguatkuasaan dilakukan KKM bersama Jabatan Kesihatan Daerah Timur Laut dan MBPP semalam (kelmarin),” katanya.
Sahubar Ali berkata, nama baik dan imej Restoran Nasi Kandar Line Clear terjejas teruk selepas penutupan itu menjadi tular dalam media sosial dan buat masa ini, kerja pembersihan, penambahbaikan serta pengubahsuaian sedang dilakukan pihaknya.
Menurutnya, sebelum ini restoran itu diusahakan ahli keluarga lain sebelum dia mengambil alih pada 1 Mac lalu dan kerja pembersihan, penambahbaikan dan pengubahsuaian dilakukan secara berperingkat-peringkat.
Katanya, notis penutupan restoran itu selama dua minggu memberi tekanan, selain memberi jaminan kesilapan sama tidak akan berulang kembali, malah pihaknya akan memperketatkan lagi jadual pembersihan setiap minggu dan bulan.
“Tempoh penutupan bermula semalam (kelmarin) hingga 27 Mac depan dan selepas ini, operasi Restoran Nasi Kandar Line Clear akan kembali seperti biasa dan kami memohon agar orang ramai tidak perlu ragu-ragu mengenai soal kebersihan yang sering menjadi keutamaan,” katanya.
No comments:
Post a Comment