Friday, 21 December 2018

BSN selesaikan baki pembiayaan kereta Muhammad Adib

Kereta baharu yang dibeli oleh Adib untuk kegunaan selepas kahwin

KUALA LUMPUR - Bank Simpanan Nasional (BSN) mengumumkan akan membantu menyelesaikan baki pembiayaan kereta milik anggota bomba Allahyarham Muhammad Adib Mohd Kassim.
BSN dalam satu kenyataan hari ini, memaklumkan atas dasar tanggungjawab sosial korporat, institusi kewangan itu mahu membantu meringankan beban keluarga anggota bomba itu.
"Allahyarham baru sahaja membeli kereta dengan pembiayaan BSN. Kereta itu disimpan di kampungnya untuk kegunaan selepas berkahwin," menurut kenyataan itu.
Muhammad Adib, 24, yang bertugas sebagai anggota Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Subang Jaya disahkan meninggal dunia di Institut Jantung Negara (IJN) pada Isnin lepas selepas dipukul dalam insiden rusuhan di Kuil Sri Maha Mariamman di Subang Jaya, Selangor pada 27 November lalu.
Jenazah Muhammad Adib dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kariah Masjid As-Saadah di Kampung Tebengau, Kuala Kedah kira-kira pukul 1.45 tengah hari Selasa lepas. - Bernama

Saturday, 3 November 2018

Bas ekspres langgar lori simen

Lima penumpang termasuk tiga penuntut IPT cedera dalam kemalangan



KUALA LUMPUR – Lima penumpang dan seorang pemandu bas cedera apabila bas ekspres Starmart dinaiki mereka terlibat dalam satu kemalangan membabitkan sebuah lori simen di Kilometer 27.4 Lebuh Raya Utara-Selatan (PLUS) dari arah Sungai Buloh menghala ke Plaza Tol Duta di sini semalam.
Dalam kejadian pada pukul 4.30 pagi itu, bas yang membawa 18 penumpang berkenaan dipercayai dalam perjalanan dari Pulau Pinang ke ibu kota sebelum terbabit dalam kemalangan tersebut.
Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Zulkefly Yahya berkata, kemala­ngan dipercayai berlaku selepas pemandu bas ekspres ber­kenaan melanggar belakang lori simen yang berada di lorong pa­ling kiri.
“Pelanggaran tersebut menyebabkan pemandu bas, Abdullah Bakar, 53, patah tulang bahu dan telah dihantar ke Hospital Sungai Buloh untuk menerima rawatan.
“Lima lagi penumpang yang mengalami pelbagai jenis kece­deraan pula dihantar ke Hospital Sungai Buloh (HSB), Hospital Kuala Lumpur (HKL) dan Hospital Selayang untuk rawatan lanjut,” katanya dalam satu kenya­taan di sini semalam.

Sunday, 14 October 2018

Saleem Iklim sudah tiada (1961-2018)

PENYANYI popular, Saleem, meninggal dunia pada 6.15 pagi tadi di Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (PPUKM), Kuala Lumpur.
Perkara ini disahkan oleh isterinya Juriah@Julia Bachok kepada Harian Metro.
Saleem atau nama sebenarnya Am Saleem Abd Majeed, 56, dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU), hospital itu selepas kemalangan motosikal pada 20 September lalu.
Dalam kejadian di Kilometer (km) 16, Lebuhraya Grand Saga itu, 12 tulang rusuk Saleem patah termasuk satu daripadanya tertusuk paru-paru.
Kemalangan berlaku pada 3.20 petang apabila Saleem yang menunggang motosikal dari arah Kajang menghala ke Cheras dilaporkan terbabit kemalangan dengan kereta dari arah laluan yang sama berhampiran Plaza Tol Batu 11, Kajang.
Ketika kejadian, pemandu kereta dilaporkan cuba membelok ke kiri untuk masuk ke susur pejabat Grand Saga di Plaza Tol Batu 11, sebelum sisi kiri bahagian hadapan keretanya dirempuh oleh motosikal Saleem.

'Lagu Saleem peneman jiwa saya' - Guan Eng

SIAPA sangka dalam jutaan peminat yang bersedih dengan pemergian penyanyi terkenal Saleem atau AM Saleem Abdul Majeed, 57, salah seorang daripadanya adalah Menteri Kewangan, Lim Guan Eng.
Berkongsi kesedihan beliau di media sosial Facebook, Guang Eng berkata, lagu Suci Dalam Debu dendangan vokalis kumpulan Iklim itu meninggalkan kenangan manis buat dirinya.
Malah, katanya, lagu Allahyarham sentiasa menjadi ‘peneman’ jiwanya ketika aktif dalam politik selaku pembangkang sebelum ini.
'Karya arwah ayah akan terus hidup' - Syafiq Farhain

Saleem,57, menghembuskan nafas terakhir di Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (PPUKM), Cheras, hari ini selepas 22 hari dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU) akibat kemalangan jalan raya.

Saturday, 13 October 2018

Sejarah tercipta 3 beranak di Dewan Rakyat

DATUK Seri Anwar Ibrahim ketika meraikan kejayaannya selepas diisytiharkan memenangi PRK Parlimen Port Dickson di di Dewan MPPD. - Foto Iqmal Haqim Rosman

KUALA LUMPUR: Dewan Rakyat mencatat sejarah tersendiri apabila tiga beranak, Datuk Seri Anwar Ibrahim, isterinya Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail dan anak mereka, Nurul Izzah akan berada serentak dalam Mesyuarat Kedua, Penggal Pertama Parlimen ke-14 bermula Isnin ini.
Ia susulan Anwar yang menang tanpa bertanding pada pemilihan PKR bagi jawatan Presiden, memenangi Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Port Dickson hari ini dan akan mengangkat sumpah pada Isnin.
Kewujudan ‘legasi Anwar’ di Dewan Rakyat ini dijangka akan menghangatkan lagi persidangan dewan berikutan Dr Wan Azizah ketika ini adalah Timbalan Perdana Menteri dan turut memegang portfolio Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat.
Sementara itu, Nurul Izzah yang juga Ahli Parlimen Permatang Pauh adalah Pengerusi Jawatankuasa Pemerkasaan Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET).
Anwar yang juga Ketua Umum Pakatan Harapan (PH) memenangi PRK Parlimen Port Dickson atas tiket PH selepas memperoleh 31,016 undi dengan menewaskan calon PAS, Lt Kol (B) Mohd Nazari Mokhtar yang mendapat 7,456 undi.
Bekas Menteri Besar Negeri Sembilan, Tan Sri Isa Samad yang bertanding atas tiket Bebas memperoleh 4,230 undi sementara bekas pembantu peribadi Anwar, Mohd Saiful Bukhari Azlan mendapat 82 undi.
Tiga lagi calon Bebas, Stevie Chan Keng Leong memperoleh 337 undi, manakala Lau Seck Yan (214 undi) dan Kan Chee Yuen (154 undi).
PRK Parlimen Port Dickson diadakan selepas penyandangnya Datuk Danyal Balagopal Abdullah, 68, mengosongkan kerusi itu pada 12 September lalu bagi membolehkan Anwar kembali ke Dewan Rakyat.
Ia adalah sebahagian daripada pelan PH bagi melantik Anwar sebagai Perdana Menteri kelapan bagi menggantikan Tun Dr Mahathir Mohamad.
Dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14), Dr Wan Azizah yang bertanding di Parlimen Pandan mendapat 101,319 undi mengalahkan calon Barisan Nasional (BN), Datuk Leong Kok Wee (12,190 undi), calon PAS, Mohamed Sukri Omar (8,336 undi), calon Bebas, Jenice Lee Ying Ha (442 undi) dan Mohd Khairul Azam Abdul Aziz (73 undi).
Nurul Izzah yang menang di Parlimen Permatang Pauh pula memperoleh 35,534 menewaskan calon BN, Mohd Zaidi Mohd Said (19,866 undi) dan calon PAS, Afnan Hamimi Taib Azamudden (14,428 undi).
Ketika ini, dua beranak yang berada dalam Dewan Rakyat ialah Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dan anaknya Mukhriz; Lim Kit Siang dan Lim Guan Eng serta Gobind Singh Deo dan Ram Karpal.

Friday, 12 October 2018

Wany Hasrita Bintang Paling Populor (ABP31)


SAAT nama Wany Hasrita diumumkan sebagai Bintang Paling Popular dalam acara Anugerah Bintang Popular ke-31 (ABP31), bukan sahaja penyanyi yang popular dengan lagu Menahan Rindu itu yang terkejut besar, malah hampir kebanyakan penonton juga terpukul reaksi sama.
Masakan tidak, Wany telah memecah tradisi dengan mengembalikan kemenangan anugerah Bintang Paling Popular ke tangan seorang penyanyi.
Kali terakhir penyanyi yang memenangi anugerah terbesar itu ialah Datuk Seri Siti Nurhaliza pada tahun 2009 dalam ABP22.

Bagaimanapun, tidak sampai beberapa minit dinobatkan sebagai Bintang Paling Popular pada acara yang berlangsung di Pusat Konyensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) pada malam Ahad lalu itu, Wany sudah dihujani kecaman netizen yang mempersoalkan kemenangannya.

Rata-rata khalayak menyifatkan Wany yang baru dua tahun dalam industri seni tidak layak untuk menggenggam anugerah unggul tersebut.

Malah, ada juga kata-kata nakal netizen yang mendakwa pemilik nama sebenar Nurshazwany Hasrita Hasbullah itu mengambil jalan pintas untuk menang dengan membeli undi. Hal ini kerana selain Bintang Paling Popular, Wany turut membawa pulang anugerah Penyanyi Wanita Popular menewaskan Ara, Fazura, Siti Nordiana dan Stacy.
Menafikan dakwaan tersebut, penyanyi berusia 26 tahun itu menjelaskan tiada sebab untuknya membazir sejumlah wang semata-mata mahu membeli undi.
“Jika orang lain terkejut dengan kemenangan ini, saya bertambah terkejut kerana langsung tidak jangka menang sebagai Bintang Paling Popular. Saya memang tidak membeli undi. Jika benar saya beli undi, tidak perlulah peminat saya bersengkang mata siang malam untuk membuat undian.
“Walhal saya sendiri menyaksikan usaha peminat yang membuat undian setiap sejam menggunakan banyak komputer tanpa tidur. Lagipun tiada sebab untuk saya membazirkan wang semata-mata membeli undian,” ujar Wany yang membawa pulang sebuah kereta Citroen C4 Picasso berharga RM126,000 dan trofi.
Bercerita lanjut mengenai kecaman yang diterima dek kemenangannya, penyanyi yang memiliki Ijazah Sarjana Muda Sains Perubatan dari Management and Science University (MSU), Shah Shah Alam, Selangor itu sedar pandangan negatif netizen terhadapnya.
“Sebaik membaca banyak komen netizen yang mempertikaikan kemenangan dalam ABP, saya jadi sedih,” kata Wany cuba tawa.

Layak

Menyeka kesedihan daripada merosakkan emosinya, trofil Bintang Paling Popular yang dijulang tersebut disifatkan Wany tidak hanya hadiah, bahkan hadir sebagai satu tanggungjawab berat.
Mengakui tertekan, Wany mahu memastikan dirinya benar-benar layak menggenggam anugerah tersebut. Justeru, dia mahu mengatur langkah untuk menjadi seorang penyanyi benar-benar berkualiti.
“Sudah tentu saya tertekan kerana harapan orang terhadap saya semakin tinggi. Sebenarnya, saya telah mula mengikuti kelas vokal secara mingguan untuk meningkatkan kemahiran nyanyian.
“Saya pasti akan terus dikecam. Jadi, saya harus kuat dari segi fizikal dan mental. Menang anugerah Bintang Paling Popular tidak bermakna saya boleh berasa lega, sebaliknya semakin banyak kerja yang perlu dilakukan demi keyakinan diri dan peminat merasakan saya benar-benar layak mendapat anugerah tersebut,” tutur Wany.
Selain anugerah berprestij tersebut, jurucakap produk penjagaan diri Himalaya itu dilamar sebagai duta sebuah jenama telefon terkenal. Bersyukur dengan rezeki yang diterimanya, Wany yang mendapat beberapa tawaran lakonan bagaimanapun memberitahu, dia hanya mahu fokus terhadap kerjaya nyanyian.
“Saya pernah berlakon dalam sebuah video untuk kempen buli siber yang memerlukan saya menangis. Biarpun sekadar video pendek tetapi saya perlu berlakon sambil menangis sampai sakit kepala. Pengalaman itu membuka mata saya bahawa bukan mudah untuk menjadi seorang pelakon.
“Jadi, buat masa ini biarlah saya fokus terhadap kerjaya nyanyian sahaja. Namun, saya tidak tahu seandainya pada masa depan akan terbuka hati dan mempunyai masa untuk berlakon, mungkin saya akan pertimbangkan,” kata Wany.

Rezeki berkahwin

Sementara itu, pasangan pelakon popular Fattah Amin dan Nur Fazura pula meraih perhatian apabila mereka membawa pulang anugerah Pelakon TV Lelaki Popular, Pelakon TV Wanita Popular dan dalam kategori online sebagai Pasangan Serasi Bersama. Kesemua kemenangan tersebut adalah impak persembahan cemerlang mereka menerusi drama bersiri popular Hero Seorang Cinderella.
Menurut Fattah, kemenangan yang diterimanya pada ABP31 kali ini cukup bermakna, apatah lagi drama Hero Seorang Cinderella mempertemukan jodoh mereka sehingga bergelar pasangan suami isteri.
“Memang sangat bermakna sebab drama tersebut yang mempertemukan jodoh dan buat kami menang. Tambahan, menang sebagai pasangan suami ini boleh dikatakan sebagai rezeki kahwin,” tutur Fattah yang berjaya mempertahankan kategori Pelakon TV Lelaki Popular untuk dua tahun berturut-turut.
Kemenangan Fatah secara tidak langsung membuktikan pembubaran kelab peminat Fattah The FA Team langsung tidak menggugat statusnya sebagai salah seorang bintang popular di Malaysia. Sokongan umum terhadapnya masih padu meskipun tanpa kelab peminat rasmi.
“Sebagai isterinya, saya melihat sendiri kesabaran dan keikhlasan Fattah dalam menghadapi pelbagai dugaan. Kemenangan ini membuktikan, 10 orang peminat hilang ia berganti dengan 10,000 lagi pengikut setia yang menyokongnya tanpa sebarang syarat,” jelas Fazura.
Fazura yang setia di sisi suaminya juga terkejut apabila pertama kali membawa pulang anugerah Pelakon TV Wanita Popular. Menerusi acara yang sama pada tahun lalu, Fazura membawa pulang anugerah Pelakon Filem Wanita Popular.
“Sudahlah saya berlakon sebuah drama 10 tahun sekali sahaja, apabila menang dengan sebuah drama, saya rasa cukup bertuah dan berterima kasih kepada peminat. Maknanya, drama Hero Seorang Cinderella benar-benar meninggalkan impak kepada peminat,” kata Fazura sambil memberitahu mempunyai perancangan untuk bergandingan bersama suaminya dalam sebuah drama terbaharu tidak lama lagi.
Tidak kurang menarik perhatian adalah penyampaian Anugerah Pencapaian Sepanjang Hayat yang diterima oleh primadona Noor Kumalasari.
Pernah menghasilkan 12 buah album dan berlakon dalam 19 buah filem termasuk Bayangan Maut dan Esok Untuk Siapa, wanita berusia 62 tahun itu merupakan emas tempawan pada zamannya.
Menyentuh tentang anugerah yang diterima, kata Noor Kumalasari, ia merupakan suatu kejutan apabila masih dihargai walaupun sudah mengambil keputusan untuk bersara sekitar 10 tahun lalu. Bagaimanapun, beliau tetap diburu pihak produksi sehingga akur untuk kembali dengan sebuah telefilem, Pintu No. 9 dua tahun lalu.
“Saya hampir menangis apabila mereka menayangkan semula filem dan lagu-lagu saya di atas pentas. Ia membuatkan saya mengimbau kembali zaman silam ketika masih aktif sebagai anak seni. Terima kasih kerana masih sudi menghargai saya di atas pentas glamor seperti ini,” luah Noor Kumalasari.
Biarpun baru dua tahun bergelar penyanyi, Wany Hasrita mencetus kejutan apabila membawa pulang trofi Bintang Paling Popular pada acara Anugerah Bintang Popular ke-31 (ABP31) yang berlangsung di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) Ahad lalu.

Saturday, 29 September 2018

Pertandingan 7 penjuru di Port Dickson


PORT DICKSON - Pilihan Raya Kecil (PRK) bagi kerusi Parlimen P.132 Port Dickson menyaksikan pertandingan tujuh penjuru antara calon Pakatan Harapan (PH), Pas dan lima calon Bebas.
Pertandingan itu disahkan selepas Pengurus Pilihan Raya Parlimen Port Dickson , Khairy Maamor mengumumkan senarai calon yang bertanding pada pukul 11 pagi ini.
PH diwakili Ketua Umum Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim, 71, manakala calon Pas ialah Presiden Kelab Kebajikan Veteran dan Pesara Tentera (Kerabat), Leftenan Kolonel (B) Mohd. Nazri Mokhtar, 57.
Sementara dua calon Bebas terdiri daripada bekas Pengerusi Felda, Tan Sri Mohd. Isa Abdul Samad, 69 dan bekas pembantu peribadi Anwar, Mohd.Saiful Bukhari Azlan, 33
Tiga lagi calon Bebas lain ialah Stevie Chan Keng Leong, 51, Lau Seck Yen, 51, dan Kan Chee Yuen, 45, manakala pencalonan A. Rajendra, 50,  sebagai calon Bebas ditolak oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).
Proses penamaan calon bagi PRK bagi kerusi Parlimen Port Dickson dibuka pada 9 pagi di Dewan Majlis Perbandaran Port Dickson (MPPD) di sini.
Ia diadakan berikutan penyandang kerusi itu, Datuk Danyal Balagopal Abdullah, 68, mengosongkan kerusi pada 12 September lalu bagi memberi laluan kepada Anwar bertanding.
Pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14), 9 Mei lalu Danyal Balagopal memenangi kerusi itu dengan majoriti 17,710 undi menewaskan calon Barisan Nasional (BN) dan Pas.
Seramai 75,770 pemilih berdaftar dengan 68,468 orang adalah pemilih biasa, 7,268 pemilih awal dan 16 orang pemilih tidak hadir luar negara.
SPR menetapkan 13 Oktober depan sebagai hari mengundi, manakala hari mengundi awal pada 9 Oktober 2018.
PRK Parlimen Port Dickson merupakan PRK keempat diadakan sejak PRU-14 iaitu selepas Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Kandis, Seri Setia dan Balakong di Selangor. - K! ONLINE

Saturday, 22 September 2018

Saleem separuh sedar di ICU


KUALA LUMPUR – Penyanyi legenda Saleem yang terlibat dalam kemalangan semalam kini dilaporkan stabil dan sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU), Hospital Kajang.
Isterinya, Julia Bachok berkata, suaminya itu kini berada dalam keadaan separuh sedar selepas dilanggar sebuah kereta ketika keluar membeli barang berdekatan rumah mereka di Bandar Mahkota Cheras di sini.
Kata isterinya lagi, Saleem atau nama sebenar A. M Salim Abdul Majeed dijadualkan bertemu peminat di Shah Alam pada sebelah malam hari kejadian.
"Dia ada beritahu hendak keluar sebentar beli barang dan tidak sangka pula terlibat dalam kemalangan," katanya ketika dihubungi Kosmo! Online sebentar tadi.
Mengulas tentang gambar keadaan Saleem yang tersebar di laman Facebook, Julia memohon orang ramai tidak menularkannya dan mendoakan yang terbaik.
"Saya tiada niat untuk menyembunyikan cerita tapi tidak mahu orang ingat saya minta simpati," katanya lagi.
Plantun lagu Suci Dalam Debu itu kini dalam proses untuk dipindah ke Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (PPUKM) bagi mendapatkan rawatan lanjut. – K! ONLINE

Friday, 14 September 2018

Accapan sembunyi derita sakit daripada keluarga


PUCHONG - Penderitaan pelakon dan pelawak terkenal era 80-an, Accapan atau nama sebenarnya R. Samynathan, yang meninggal dunia kerana kegagalan buah pinggang pagi tadi, hanya diketahui keluarganya tiga bulan lepas.
Anak sulung mendiang, S. Vikneshwaran, 31, berkata, mendiang bapanya jarang bercerita tentang penyakitnya kepada keluarga.
"Sewaktu bapa dirujuk ke Hospital Putrajaya sebulan lepas, penyakitnya sudah mencapai tahap tiga. Setelah empat hari masuk wad, doktor memberitahu status kesihatannya telah pun berada di tahap kritikal dan kemudiannya dirujuk ke Hospital Serdang untuk rawatan doktor pakar," kata Vikneshwaran yang bekerja sebagai pengurus bank di Sydney, Australia ketika ditemui Bernama di sini.
Beliau menyifatkan kehilangan bapanya yang berusia 63 tahun itu sebagai satu tamparan hebat kepada keluarganya terutama ibunya, S. Yogeswari, 53, serta adik perempuan bongsunya, S. Yhuveneshwary, 24, kerana mereka tinggal bersama dan sangat rapat.
"Bapa sempat berpesan pada saya supaya menjaga ibu dan adik serta sentiasa menjaga kebajikan mereka," kata Vickneshwaran. - Bernama

Friday, 7 September 2018

HKL kutip RM36 Juta, Andy Lau hadir ke KL beri sokongan


KUALA LUMPUR - Pelakon ternama Hong Kong, Andy Lau hadir memeriahkan majlis makan malam bagi meraikan kejayaan filem pecah panggung, Hantu Kak Limah di Hotel Berjaya Times Square, di sini malam ini. 
Andy yang cukup dikenali menerusi filem Internal Affairs merupakan salah seorang pengasas Infinitus Entertainment Group yang menaungi Infinitus Gold.
Pada majlis berkenaan, penerbit Astro Show dan Infinitus Gold turut mendedahkan Hantu Kak Limah semakin menghampiri angka kutipan RM40 juta apabila sudah mengaut RM36 juta selepas 27 hari tayangan di pawagam.
Turut hadir pada majlis itu adalah pengarah filem komedi seram terbabit iaitu Mamat Khalid serta barisan pelakonnya seperti Datuk Awie, Dalimawati, Zul Ariffin, Ropie, Mus May, Jue Aziz dan ramai lagi. 
Pada majlis yang itu, turut diumumkan bonus untuk semua kru produksi dan para pelakon. - K! ONLINE

Saturday, 1 September 2018

Lelaki maut dibelasah warga Bangladesh ketika cuba menyamun

Mayat mangsa yang maut selepas dibelasah sekumpulan warga bangladesh ketika cuba menyamun mereka.


KLANG - Niat seorang lelaki untuk menyamun warga Bangladesh akhirnya memakan diri apabila dia maut diserang sekumpulan warga asing itu dalam kejadian di sebuah rumah kedai di Bandar Baru Klang di sini pagi semalam.
Dalam kejadian kira-kira pukul 6.45 pagi itu, lelaki berusia 35 tahun maut ditempat kejadian akibat kecederaan parah pada kepala dan beberapa bahagian badan dipercayai dipukul dengan beberapa senjata.
Ketua Polis Daerah Klang Utara, Asisten Komisioner Mazelan Paijan berkata, menurut saksi  yang juga seorang pekerja hotel sebelah tempat kejadian, dia melihat seorang lelaki sedang mengumpil pintu jeriji besi di bawah premis yang dihuni sekumpulan lelaki warga Bangladesh.
Katanya, sejurus kemudian saksi berkenaan terdengar suara pekerja Bangladesh menjerit memberitahu ada orang datang menyamun sebelum berlakunya pergaduhan antara suspek dan sekumpulan warga Bangladesh.
"Lelaki berkenaan (penyamun) disahkan meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan parah pada kepala dan beberapa bahagian badan akibat dipukul dengan pelbagai senjata.
"Pemeriksaan di lokasi kejadian turut menemui beberapa senjata antaranya sebilah pisau pemotong, kayu panjang serta besi penutup pintu hidraulik,"katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Menurut Mazelan, pemeriksaan pada sebuah beg galas milik simati telah menjumpai beberapa barangan seperti kad pengenalan, lesen memandu, kad bank, telefon bimbit jenis samsung, kunci kereta dan perkakas hisap dadah.
"Selain itu kita turut menemui sebuah kereta jenis proton saga warna emas milik mangsa yang terletak di lorong belakang sebuah hotel di kawasan berkenaan. 
"Semakan rekod mendapati lelaki terbabit mempunyai lima rekod termasuk kes samun di bawah Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan sekitar  tahun 2014 hingga tahun ini serta rekod jenayah di bawah Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya pada tahun 2008,"katanya.
Tambah beliau, pihaknya berjaya menahan seorang lelaki warga Bangladesh berusia 20-an yang merupakan penyewa utama rumah kedai terbabit di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) kira-kira pukul 5 petang semasa menunggu penerbangan ke Dhaka, Bangladesh.
Jelasnya, pihaknya turut mengesan beberapa penyewa premis rumah kedai berkenaan bagi membantu siasatan kes tersebut. - K! ONLINE

Kelantan mundur kerana rakyatnya sendiri tidak menyumbang kepada pembangunan


KUALA LUMPUR - Tun Dr Mahathir Mohamad melahirkan rasa musykilnya mengenai kemampuan rakyat dari Kelantan yang boleh berjaya dalam pelbagai bidang terutama perusahaan dan perniagaan di tempat lain, namun tidak dapat melakukannya atau menyumbang kepada pembangunan negeri asal mereka.
Perdana Menteri berkata, beliau sendiri tidak tahu bagaimana keadaan itu berlaku dan menimbulkan persoalan sama ada 'persekitaran' di Kelantan yang menyebabkan rakyatnya tidak dapat membangunkan negeri mereka.
"Sebenarnya orang Kelantan ini bijak-bijak belaka, kalau kita perhatikan di mana negeri pun yang ada perusahaan dan perniagaan adalah orang Kelantan, kenapa mereka tidak boleh buat perkara itu di Kelantan adalah soalnya.
"Pekerja-pekerja kita di Singapura juga ramai orang Kelantan yang tinggal di Johor, mereka cekap, mereka boleh, tetapi persekitaran barangkali tidak kena di Kelantan. Sama-samalah kita kaji persekitaran itu untuk tentukan kenapa ia jadi demikian," kata Perdana Menteri dalam sesi dialog pada Kongres Masa Depan Bumiputera dan Negara 2018 di sini hari.
Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan daripada seorang peserta yang bertanya mengenai langkah kerajaan untuk menyediakan kemudahan infrastruktur untuk Kelantan termasuk projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL)  yang akan memberi manfaat besar kepada negeri itu.
Mahathir berkata ramai rakyat Kelantan juga memegang jawatan penting dalam kerajaan termasuk salah seorang yang kini menjadi setiausahanya dan ia membuktikan kemampuan mereka.
Perdana Menteri seterusnya mendedahkan bahawa tanpa bantuan daripada kerajaan pusat, kerajaan Kelantan sebenarnya tidak mampu untuk menguruskan negeri dan pentadbiran negeri itu.
Katanya, pendapatan negeri itu termasuk menerusi kutipan cukai tidak mencukupi kerana ia disifatkan sebagai sebuah negeri yang miskin.
"Saya yakin kalau orang Kelantan dapat betulkan sesuatu maka mereka dapat membantu membangunkan Kelantan lebih pesat lagi berbanding tempat lain," katanya.
Mengenai ECRL, Perdana Menteri mengulangi pendiriannya bahawa kerajaan tidak mampu menampung perbelanjaan projek tersebut buat masa ini  dan menangguhkan sehingga mempunya dana yang mencukupi.
Terdahulu Mahathir turut menyampaikan ucaptama pada majlis yang dihadiri beberapa menteri kabinet selain disertai 2,500 peserta dan delegasi. - Bernama

Friday, 10 August 2018

Dua beradik maut kali pertama mandi sungai

KUANTAN - Keinginan kali pertama untuk mandi di sungai bertukar tragedi apabila dua beradik maut akibat lemas di muara Sungai Balok, di sini petang tadi.
Dalam kejadian kira-kira pukul 5 petang itu, mangsa Muhammad Amirul Mukminin Abu Hanifah, 11, dan adiknya, Muhammad Hafizul Iman yang berusia 10 tahun difahamkan keluar ke lokasi kejadian bersama dua lagi rakan tanpa pengetahuan ibu bapa mereka.
Timbalan Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang, Mohd. Sani Harul berkata, pihaknya menerima panggilan kira-kira pukul 7 malam dan lapan anggota dari Balai Bomba Penyelamat (BBP) Gebeng bergegas ke lokasi kejadian.
“Mangsa pertama iaitu Amirul Mukminin ditemui kira-kira pukul 6 petang oleh orang awam yang kebetulan berada di tempat kejadian."Pasukan penyelamat kemudiannya menemui mangsa kedua pula kira-kira 8.40 malam," katanya ketika dihubungi di sini sebentar tadi.

Tambahnya, dua lagi rakan mereka, Ahmad Adam Naufal Ahmad Yamizi, 11, dan Mohamad Lokman Hakim Suhamizan, 11, berjaya diselamatkan oleh orang awam.
Menurutnya lagi, mayat kedua beradik dibawa ke Hospital Tengku Ampuan Afzan untuk bedah siasat sebelum diserahkan kepada ahli keluarga untuk urusan pengebumian. - K! ONLINE

Friday, 27 July 2018

Demonstrasi Ramasamy kecoh

Kumpulan NGO diketuai Muhammad Yusuf Azmi (kiri) melakukan bantahan terhadap Ramasamy manakala gambar kanan adalah kumpulan yang menyokong Ramasamy.
GEORGE TOWN - Dua kumpulan yang mengadakan demonstrasi menyokong dan membantah Timbalan Ketua Menteri II, P. Ramasamy bertembung di perkarangan Komtar hari ini dan berlaku kekecohan apabila masing-masing melakukan provokasi.
Kumpulan pertama terdiri kira-kira 50 penyokong Ramasamy mengadakan demonstrasi di perkarangan Komtar pukul 12.30 tengah hari dan selepas itu mereka terus berada di situ sehingga kumpulan kedua iaitu lebih 300 orang dari 30 pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Islam yang berarak dari Masjid Jamek Simpang Enam selepas solat Jumaat tiba di Komtar.
Presiden NGO Tamilar Kular, David Marshel yang mengetui demonstrasi menyokong Ramasamy berkata kehadiran mereka adalah untuk menunjukkan solidariti untuk Ramasamy yang didakwa sebagai 'pengganas' oleh pihak tidak bertanggungjawab.
"Kami ada di sini untuk melawan sesiapa yang melabel Ramasamy seorang pengganas," katanya kepada pemberita.
Kedua-dua kumpulan itu mengejek dan melakukan provokasi antara satu sama lain, kumpulan NGO Islam menjerit "Tangkap Ramasamy" manakala di pihak satu lagi menjerit  "Kami menyokong Ramasamy", namun mereka berada di dua kawasan di perkarangan Komtar serta dikawal rapi oleh polis.
Polis juga berulang kali mengeluarkan arahan kepada mereka agar menghentikan provokasi dan memberi amaran akan menangkap sesiapa yang tidak mendengar arahan. 
Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Anuar Omar yang turut hadir mengawal keadaan di perkarangan Komtar berkata, seramai 70 pegawai dan anggota terlibat dalam kawalan hari ini dan kedua-dua kumpulan diarah meninggalkan Komtar secara berasingan bermula pukul 3.00 petang.
"Tiada kejadian yang tidak diingini berlaku dan tiada sesiapa yang ditahan walaupun berlaku kekecohan serta keadaan sedikit tegang ketika kedua-dua kumpulan berada di perkarangan Komtar tadi. Polis juga membenarkan NGO Islam berkenaan untuk menyerahkan memorandum bantahan terhadap Ramasamy kepada wakil Ketua Menteri Chow Kon Yeow," katanya.
Beliau berkata polis akan memanggil wakil kedua-dua kumpulan itu untuk direkodkan keterangan kerana mereka mengadakan demonstrasi itu tanpa permit dan pihaknya akan membuka kertas siasatan.
Sementara itu, Yusof Azmi, yang juga bekas Pengarah Unit Tindakan Khas Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), mengetuai bantahan NGO Islam hari ini berkata, pihaknya menerusi memorandum yang diserahkan meminta supaya Ramasamy meletak jawatan jika tidak dapat memberi penjelasan berhubung dakwaan beliau mempunyai kaitan dengan Harimau Pembebasan Tamil (LTTE).  
Yusof berkata mereka hari ini mengadakan demonstrasi bukan untuk bergaduh sebaliknya hanya mahu menyerahkan memorandum yang turut menyatakan bantahan terhadap Ramasamy yang mahu pendakwah Islam tersohor, Dr Zakir Naik diusir ke India.
"Kami berkumpul di sini bukan dasar anti mana-mana agama atau pengikutnya tapi kami hanya mahu membela kebenaran. Pada masa sama, kami juga minta pihak-pihak tertentu (yang berkepentingan) agar tidak mencampuri urusan Islam," katanya.
Gambar yang memaparkan Ramasamy dan ahli politik pro-LTTE V Gopalasamy yang dikatakan diambil dalam majlis perkahwinan baru-baru ini tular dalam media sosial dan menimbulkan dakwaan ahli politik DAP itu mempunyai hubungan dengan kumpulan di Sri Lanka yang dianggap sebagai pengganas oleh beberapa negara.
Susulan itu, pelbagai pihak tampil membuat lebih 50 laporan polis terhadap Ramasamy kerana dikatakan menyokong kumpulan pengganas LTTE. - Bernama

Saturday, 14 July 2018

Dengar dentuman nampak kereta diseret

TOYOTA Vellfire dirempuh treler sebelum diseret hingga melanggar bahagian belakang sebelah kanan bas yang dipandu Hazhar Hamzah.

RAWANG: "Saya terdengar dentuman kuat dan nampak melalui cermin sisi sebelah kanan, kereta Toyota Vellfire dirempuh treler sebelum diseret hingga melanggar bahagian belakang sebelah kanan bas yang saya pandu.
"Bas bergoyang namun saya dapat kawal sebelum meneruskan perjalanan.
"Sekembali ke lokasi kejadian selepas menurunkan penumpang di Kuala Lumpur, saya dapati kereta Perodua Alza remuk di lorong kecemasan dan terdapat empat mayat bertutup kain dan plastik hitam di atas jalan raya," kata pemandu bas ekspres, Hazhar Hamzah, 52, saksi kejadian kemalangan yang mengorbankan empat orang tengah hari tadi.
Dalam kejadian jam 12 tengah hari itu, tiga mangsa yang menaiki Perodua Alza dan pemandu Toyota Vellfire maut dalam nahas membabitkan enam kenderaan di Kilometer 445.9 Lebuh Raya Utara Selatan (PLUS) arah selatan dekat persimpangan Rawang Selatan di sini.
Kemalangan itu turut mencederakan empat yang lain termasuk seorang kanak-kanak.
Ketika kejadian, Hazhar membawa 41 penumpang dalam perjalanan dari Teluk Intan, Perak ke Kuala Lumpur.
Menurutnya, nahas berlaku sangat pantas namun dia bernasib baik kerana dapat mengelak daripada menjadi mangsa.
"Keadaan ketika itu memang cemas sedikit dan saya perlu kawal pemanduan agar tidak terbabas.
"Nasib baik bas berada di lorong dua kalau tidak kesannya lebih buruk dan berkemungkinan rempuhan akan berlaku dari arah depan bas.
"Hanya jarak satu lorong dapat mengelakkan kejadian itu," katanya ketika ditemui di tempat kejadian.
Hazhar berkata, dia terpaksa bergegas kembali ke lokasi untuk mendapatkan nombor pendaftaran lori yang melanggar bas untuk membuat laporan.
Kemalangan itu menyebabkan kesesakan lebih 10 kilometer di laluan menghala Selatan dan sesak lebih lima kilometer di laluan arah utara.

Monday, 2 July 2018

Kesal dikecam keterlaluan kerana nikahi kanak2 11 tahun

Che Abdul Karim Che Hamid menunjukkan gambar perkahwinan bersama isterinya Ayu di sebuah masjid di Selatan Thailand pada 4 Syawal yg lalu

GUA MUSANG - Peraih getah, Che Abdul Karim Che Hamid, 41, tidak teragak-agak mengambil tindakan undang-undang kepada pihak yang menyebarkan fitnah dan mengecam keluarganya secara keterlaluan.
Dia berkata, selepas membaca dan meneliti kisah itu di laman blog dan laporan atas talian, terdapat perkara yang bercanggah sehingga mengaibkan maruah keluarganya.
Katanya, walaupun terdapat desakan supaya melepaskan isteri ketiga yang baharu dinikahi dua minggu lalu, dia tidak akan sesekali melakukan perkara itu meskipun mendapat tentangan isteri pertama dan keduanya.

“Kerana sukakan Ayu, saya sepakat dengan keluarganya untuk kahwin gantung. Selagi tidak cukup umur, kami tidak dibenarkan tinggal bersama.


“Saya juga sudah membuat pertanyaan dengan ahli agama yang begitu arif di selatan Thailand. Kami bernikah di sana sebab dia warga Thailand. Jadi kami bernikah disaksikan imam, wali dan saksi seperti yang ada di dalam gambar itu,” katanya ketika ditemui di sini hari ini.

Che Abdul Karim berkata, dia tidak pernah mengabaikan keperluan dua isteri dan enam anaknya serta menyediakan keperluan seperti rumah, kereta dan wang yang mencukupi
“Jadi saya harap jangan bersangka buruk seperti yang dikecam dalam Facebook dan saya minta doa yang baik untuk kami,” katanya. - K! ONLINE 

Saturday, 19 May 2018

Senarai Kabinet Pakatan Harapan 2018


MyPPP keluar BN

Kayveas (duduk di tengah) mengumumkan parti myPPP keluar BN.

KUALA LUMPUR - Parti myPPP mengumumkan secara rasmi keluar dari Barisan Nasional (BN) berkuat-kuasa serta merta selepas bersama bekas parti pemerintah itu sejak tahun 1994.
Presiden myPPP, Tan Sri M. Kayveas berkata, parti tersebut tetap dengan pendirian  menamatkan hubungan itu apabila kepimpinan BN enggan mendengar pandangan parti komponen tersebut lagi.
"Parti myPPP mengambil tindakan keluar BN seiring dengan kenyataan asal pada 17 April lalu.
"Langkah pucuk pimpinan BN melucutkan jawatan saya secara tidak sah dan mengiktiraf Presiden baharu tanpa mengikut saluran betul menandakan kerjasama ini sudah tamat," katanya pada sidang akhbar di Wisma myPPP di sini hari ini. 

Sunday, 22 April 2018

Imam mati ditembak ketika ke surau

Pensyarah kejuruteraan elektrik UniKL warga Palestin jadi sasaran dua lelaki bermotosikal

KUALA LUMPUR – Seorang imam warga Palestin mati selepas ditembak dari jarak dekat oleh dua lelaki bermotosikal dalam kejadian di hadapan kediamannya di Kondominium Idaman Puteri di Jalan Meranti, Medan Idaman, Setapak di sini awal pagi semalam.

Dalam kejadian ki­ra-kira pukul 6 pagi itu, mangsa, Dr. Fadi M.R Albatsh, 35, yang merupakan pensyarah kanan dalam bidang kejuruteraan elektrik di Universiti Kuala Lumpur (UniKL) di­serang ketika sedang berjalan kaki ke surau untuk mengimamkan solat Subuh.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Seri Mazlan Lazim berkata, mangsa yang telah hampir 10 tahun me­netap di negara ini merupakan imam di Surau Medan Idaman yang terletak kira-kira 300 meter dari rumahnya.

“Rakaman televisyen litar tertutup (CCTV) di sekitar kawasan kejadian mendapati dua lelaki yang menunggang motosikal berkuasa tinggi jenis BMW GS telah menunggu kira-kira 20 minit sehingga mangsa keluar dari pagar kondominium tersebut.

“Mereka kemudian melepaskan lebih 10 das tembakan dari jarak dekat yang mengenai kepala dan badan mangsa menyebabkan lelaki itu mati di lokasi kejadian.
“Tindakan ini me­nunjukkan suspek me­mang mahu membunuh mangsa,” katanya kepada pemberita di lokasi kejadian semalam.

Dalam pada itu, keluarga imam dari Palestin itu menuduh jenayah tersebut dilakukan agensi perisikan Israel, Mossad.

Friday, 6 April 2018

Misteri 12 tahun Dukun dan Diana Dahlan



FRASA ‘Akhirnya Kita Bertemu’, kelihatan sesuai digunakan sebagai tagline filem Dukun yang nyata berjaya ‘merasuk’ minda khalayak sebaik Astro Shaw selaku penerbit memulakan kempen viral perempuan kebaya merah baru-baru ini.
Dukun telah disimpan selama 12 tahun. Antara spekulasi paling hangat yang dikatakan menjadi punca naskhah tersebut hampir tidak boleh ditayangkan adalah kerana berdasarkan kisah benar kes pembunuhan kejam membabitkan seorang tokoh politik sehingga menggemparkan negara sekitar tahun 1993.
Sepatutnya, filem yang menjalani penggambaran sekitar tahun 2006 itu menemui penonton pada 2007. Namun atas beberapa kekangan, Dukun tidak dapat ditayangkan kepada umum.
Biarpun begitu, sebagai teraju utama, Datin Seri Umie Aida menyelar dakwaan tersebut. Dengan tegas dia mengatakan, Dukun hanya sebuah filem berbeza berbanding karya lain yang ketika itu dibikin sekitar awal tahun 2000.
“Sewaktu mendapat skrip Dukun, tidak terlintas dalam fikiran saya sama ada watak mahupun plot penceritaannya menyamai dengan individu lain atau tidak.
“Pegangan itu tetap saya pegang hingga hari ini. Apa yang penonton lihat dalam filem tersebut ialah seorang wanita bernama Diana Dahlan. Namun andai ada yang berpendapat sebaliknya, itu terpulang kepada mereka,” terang Umie dalam nada lembut.
Sesekali mengukirkan senyuman saat diwawancara, Umie lebih senang membiarkan khalayak membuat penilaian sendiri terhadap filem tersebut.
Bertemu pada majlis tayangan perdana Dukun yang diadakan di TGV, Suria KLCC Rabu lalu, aktres yang juga adik kepada pengarah Erma Fatima itu turut berkongsi tentang ramuan rahsia menghidupkan watak dukun Diana Dahlan di layar perak.
Hampir tiga dasawarsa bergelumang dalam dunia seni, kualiti lakonan pemilik nama sebenar, Umi Khalsum Rahmad Ali itu tidak perlu dipertikaikan, apatah lagi dia diklasifikasikan sebagai aktres papan atas atau 
gred A.

Bela ular

Menonton Dukun, khalayak dapat melihat Umie mempunyai cara tersendiri ‘menyihir’ penonton menerusi lakonan biarpun hanya dengan reaksi wajah dan jelingan mata.
Kata Umie, perkara tersebut bukan mudah kerana dia mengambil tempoh selama dua bulan untuk menjiwai watak dukun yang dikatakan punya kuasa mistik daripada suku kaum Batak.
“Watak tersebut menuntut saya untuk melakukan kajian selain bertanyakan kepada beberapa pelakon berpengalaman lain seperti Fauziah Nawi.
“Setelah berusaha mencari ilham untuk menghidupkan karakter, saya kemudian disarankan untuk membela seekor ular dan hidup bersama reptilia berkenaan selama dua bulan.
“Sepanjang tempoh tersebut, saya juga tidur bersama ular berkenaan bagi mengetahui lebih dekat mengenai cara gerakan dan pandangan matanya,” jelas Umie seraya melepaskan ketawa kecil.
Tanpa menjelaskan secara terperinci mengenai ular tersebut, Umie mengakui cara tersebut berjaya memberinya dimensi baharu bagi menghidupkan watak Diana Dahlan.

Hampir histeria

Dalam nada seloroh, secara peribadi Umie mengakui dia bukan seorang peminat reptilia, apatah lagi menyentuh mahupun mendekati seekor ular. Namun, demi watak segalanya bukan halangan. Baginya, setiap pelakon perlu mempunyai ‘jiwa’ agar karakter kelihatan lebih realistik.
Melanjutkan cerita tentang Dukun, anak jati Kuala Lumpur itu mengambil masa seketika sebelum kembali menyambung bicara tatkala disoal mengenai pengalaman misteri sepanjang menjalani penggambaran di Penjara Pudu, Kuala Lumpur.
Umie kemudian bersuara dan menceritakan tentang ‘kelancangan’ akalnya memikirkan emosi banduan yang ditempatkan di sel terakhir sebelum dijatuhkan hukuman gantung.
Akui Umie, hanya Tuhan mengetahui perasaannya yang diserang rasa hiba tidak terhingga sehingga menyebabkan dia terpaksa meninggalkan ruang penjara tersebut secara tiba-tiba.
“Insiden itu berlaku sewaktu saya sedang berjalan-jalan di sekitar sel untuk mendapatkan mood sebelum berlakon. Saya yang dalam keadaan haid secara tidak sengaja, terlepas pandang dan mempersoalkan tentang perasaan banduan di dalam sel sebelum dijatuhkan hukuman gantung.
“Tiba-tiba saya berasa sedih dan menangis tanpa henti. Disebabkan tidak tahan berada di situ, saya berlari keluar ke kawasan parkir kereta dan menangis sepuas-puasnya.
“Saya membaca surah al Fatihah dan banyak berzikir. Syukur tiada apa yang berlaku kerana sekiranya gagal mengawal perasaan, pasti saya akan diserang histeria serta menyulitkan lagi keadaan,” ujar Umie.
Selain kisah hampir diserang histeria, ada juga cerita yang kedengaran agak menjijikkan sekiranya difikirkan secara logik.
Dalam filem tersebut, terdapat babak yang memperlihatkan Umie menjilat dinding sel yang nyata kotor dan geli dilihat dengan mata kasar.
Namun pengarah seni Dukun, Nazrul Asraff Mahzan pastinya tidak akan membiarkan pemegang trofi Pembantu Wanita Terbaik pada Festival Filem Malaysia (FFM) ke-26 menerusi filem Sembunyi: Amukan Azazil menjilat dinding berkenaan secara semberono.
Kata Umie, dinding tersebut terlebih dahulu telah ditampal dengan bahan khas sebelum memulakan penggambaran.
“Sebaik mengetahui perlu menjilat dinding berkenaan, saya mempersoalkan sama ada benar atau bergurau tetapi pengarah seni mengatakan, beberapa bahagian dinding tersebut telah ditampal dan dicat agar kelihatan sama.
“Bagaimanapun, sebaik penggambaran bermula saya sendiri tidak mengetahui bahagian mana yang ditampal mahupun dinding yang asli.
“Setelah diteliti, terdapat beberapa bahagian dinding asli yang telah dijilat berbanding kawasan tampalan,” katanya sambil tersenyum dan mengakui tidak mahu mengingati semula kenangan tersebut.

Anugerah

Sambil membetulkan posisi kedudukannya di atas kerusi, Umie tersenyum saat ditanya tentang filem Dukun yang kelihatan seperti laluan pintas buatnya watak sekali lagi meraih anugerah Pelakon Wanita Terbaik dalam mana-mana anugerah perfileman negara. Tanpa jemu mengukirkan senyuman, Umie menganggap perkara tersebut sebagai satu doa buatnya.
Pastinya setiap anak seni mempunyai perasaan untuk menyandang gelaran tersebut kerana ia bukan sahaja pembakar semangat tetapi menjadi satu penghargaan pada usaha kerasnya.
Namun, itu tidak bermakna dia meletakkan Dukun sebagai tiket untuk membawa pulang trofi impian mana-mana aktres tersebut.
Baginya, penantian selama 12 tahun sudah cukup memadai untuk melihat Dukun ditayangkan di pawagam.
Meskipun dalam filem berkenaan dia masih belum tampil dengan imej bertudung tetapi Umie tetap berasa gembira dan bangga apabila karya tersebut berjaya dipertontonkan kepada khalayak.
“Saya bersyukur, gembira dan berbangga kerana setelah 12 tahun tersimpan, akhirnya Diana Dahlan berjaya beraksi di layar perak. Saya juga berterima kasih kepada pihak yang telah berusaha keras untuk menjadikan impian ini realiti.
“Secara peribadi, saya sendiri berasa teruja untuk filem ini dan mengharapkan penonton berpuas hati,” jelas Umie.
Selain Umie, naskhah tulisan Huzir Sulaiman itu turut dibintangi barisan pelakon handalan tanah air seperti Faizal Hussein, Namr Ron, Hasnul Rahmat, Elyana, Sofi Jikan, Adlin Aman Ramli, Allahyarham Ramli Hassan, Bront Palarae, Chew Kin Wah, Avaa Vanja dan Jason Chong.