Friday, 31 May 2019

Norman Hakim jadi rujukan keluarga berpecah


PELAKON Norman Hakim tidak kisah andai dirinya sering menjadi rujukan mana-mana pasangan yang melalui fasa keruntuhan rumah tangga.

Sehingga kini, kehidupan Norman dan bekas isterinya, Abby Abadi membina harmoni bersama keluarga dan pasangan terus menjadi inspirasi banyak orang, baik sebagai teladan atau sempadan.
Pernah dikecam namun bertahan dengan pilihan hati, pelakon Gerak Khas itu turut menyifatkan situasi yang dialaminya ketika berpisah dengan Abby mempunyai hikmah besar dan akhirnya boleh memberi panduan kepada orang lain.
Ikuti penjelasan daripada pelakon berusia 43 tahun itu ketika ditemui pada majlis tayangan program Syawal Radio Televisyen Malaysia (RTM) baru-baru ini.
KOSMO!: Boleh Norman ceritakan penglibatan dalam naskhah hari raya untuk siaran RTM?
NORMAN HAKIM: Bagi siaran RTM, saya ada terlibat dengan dua projek iaitu telefilem Menantu Raya yang akan ditayangkan pada hari raya keempat, pukul 9 malam menerusi TV1. Sebuah lagi projek saya adalah program masakan Juadah Raya Nik Michael. Menerusinya, saya kumpulkan satu keluarga besar dan sama-sama memasak juadah raya untuk mereka.
Bentuk fizikal anda kelihatan sedikit susut. Adakah disebabkan puasa?
Mungkin saya sedikit kurus sebab tidak pernah meninggalkan rutin kardio setiap hari walaupun pada bulan Ramadan. Sebab kalau tinggal sehari dua, saya berasa pening-pening. Biarpun masih tidak timbang berat badan terkini, tetapi saya akui ada berasa perubahan pada berat badan.
Baiklah, boleh kongsikan persiapan raya anda sekeluarga tahun ini?
Alhamdulillah, persiapan raya semuanya sudah disiapkan awal sebelum Ramadan lagi. Itu semua bagi memudahkan dan tidak kelam kabut kalau disiapkan pada saat-saat akhir.

Bagaimana dengan destinasi raya tahun ini?
Setiap tahun rutin raya saya sekeluarga tetap sama. Pagi raya kami akan beraya di Kuantan, Pahang sebelah ibu bapa saya. Kemudian, kami akan pulang ke ibu kota untuk beraya dengan keluarga Abby dan suami. Rutin sebegitu tidak pernah ditinggalkan dan kami sudah amalkan sejak tujuh tahun lalu. Masuk raya kedua barulah kami akan pulang ke kampung isteri saya, Memey Shuhaiza di Johor.
Mungkin boleh komen tentang amalan beraya dengan bekas isteri dan keluarganya?
Sebab ia sudah jadi rutin dan lama-kelamaan tidak boleh tinggal. Saya akui pada awal-awal dahulu macam susah sedikit tetapi apabila sudah terbiasa, lama-lama semuanya jadi okey.

Baru-baru ini anda ada berkongsi mengenai keluarga yang berpecah-belah. Boleh jelaskan lanjut tentang hal tersebut?
Saya selalu menerima kiriman mesej menerusi Instagram yang rata-ratanya datang daripada anak muda. Mereka bercerita tentang keruntuhan rumah tangga tetapi bertanya tentang panduan untuk mengekalkan muafakat biarpun ibu dan ayah sudah berpisah. Sejujurnya, saya menangis ketika membaca mesej mereka sebab terbayang hasrat anak-anak itu yang tidak mendapat kasih sayang daripada orang tua.
Jadi, saya tidak kisah jika mereka meminta pendapat kerana 10 tahun dahulu, ada sebab Allah pilih saya untuk berada dalam situasi sama. Saya tidak pernah berasa susah kerana ini adalah tiket untuk saya melakukan dakwah kecil. Saya hanya membantu apa yang patut. Jangan hanya lihat kebahagiaan kami pada hari ini tetapi ironinya kami sama sahaja seperti orang lain yang pernah bercerai-berai. Alhamdulillah, baru-baru ini juga saya menunaikan umrah dan bawa doa-doa mereka ke sana.

Sampul duit raya MPAG ada unsur sabotaj



MELAKA - Sampul duit raya bercorak imej babi milik Majlis Perbandaran Alor Gajah (MPAG) yang diedarkan dan tular dalam laman sosial Facebook hari ini telah ditarik balik oleh pihak berkuasa tempatan (PBT) tersebut sejak semalam.
Yang Dipertua MPAG, Zamzuri Arifin berkata, kesilapan itu berlaku pada peringkat percetakan dan pihaknya tidak menolak kemungkinan terdapat unsur sabotaj dalam kejadian tersebut.
Katanya, sampul duit raya itu telah dicetak melebihi 10,000 keping dan sebahagian telah diedarkan kepada pegawai serta kakitangan jabatan sebelum menyedari motif corak babi berkenaan.
"Berikutan itu, MPAG telah menarik balik semula semua sampul duit raya corak haiwan (babi) itu yang diberikan kepada kakitangan untuk edaran sebaik sahaja menyedari kesilapan cetakan tersebut.
"Bagaimanapun, saya kira terdapat unsur sabotaj atau khianat dalam perkara ini kerana walaupun selepas dilabelkan sebagai item reject, sampul itu tetap ditularkan dalam laman sosial oleh pihak tidak bertanggungjawab," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Katanya, pihaknya kini sedang menyiasat individu terlibat untuk tindakan selanjutnya kerana kejadian tersebut telah menjejaskan reputasi pihak PBT itu secara keseluruhan.
Beliau memberitahu, penarikan itu melibatkan sampul duit raya, kad ucapan hari raya dan label pada sampul surat keluaran MPAG itu bagi memastikan tiada kesilapan berulang.
Katanya, MPAG juga sedang menyiapkan sampul duit raya dan kad hari raya yang baharu bagi menggantikan sampul yang ditarik balik itu. - K! ONLINE

Abang Botak sebak beraya di penjara


PETALING JAYA - Seorang pekerja stor sebak selepas terpaksa menyambut Aidilfitri di dalam penjara apabila dia dipenjara setahun oleh Mahkamah Majistret di sini hari ini akibat tindakannya menghentak cermin sebuah kereta seperti yang tular di media sosial semalam.
Tertuduh, Danial Abdullah Tan, 31, atau lebih dikenali "Abang Botak" dalam kalangan netizen mengaku bersalah selepas pertuduhan ke atasnya dibacakan jurubahasa dihadapan Majistret Nurshahira Abdul Salim.
Dia diperintahkan menjalani hukuman itu dari tarikh ditangkap iaitu semalam.
Semalam, tular satu video di media sosial mengenai seorang lelaki yang menghentak cermin kereta disebabkan rasa marah apabila dihon pemandu kereta itu berulang kali dalam satu kejadian di Sri Kembangan pada Selasa lalu.
Mengikut pertuduhan, dia didakwa melakukan perbuatan khianat dengan mengetuk cermin hadapan kereta mangsa lelaki berusia 58 tahun itu menggunakan topi keledar sehingga rosak di Jalan Kasturi Seksyen 12 Taman Bukit Serdang Seri Kembangan, pukul 5.30 petang pada 28 Mei lalu.
Dia dituduh mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara minimum setahun dan maksimum lima tahun atau denda atau keduanya.
Dalam rayuannya, tertuduh yang diwakili peguam Nur Rafiuddin Mas Wari merayu agar hukuman ringan diberikan memandangkan dia merupakan penanggung nafkah isteri dan dua anaknya yang berusia tiga tahun dan setahun.
Timbalan Pendakwa Raya Muhammad Hairuliqram Hairuddin kemudian meminta mahkamah memberikan hukuman berat kerana menyusahkan mangsa yang terpaksa menanggung kerugian kira-kira RM600.
Nurshahira kemudiannya bertanyakan kepada tertuduh mengenai tujuannya bertindak sedemikian.
Danial menjawab, dia berasa marah selepas pengadu cuba menghimpit dan melanggarnya dua kali dan meminta pemandu kereta itu berhenti sebelum mendakwa mangsa menunjukkan isyarat jari kepadanya.
"Sebab itu saya buat keputusan bodoh itu," katanya sebak. - K! ONLINE

Friday, 24 May 2019

Lebih 66% pesakit buah pinggang sebab diabetis


KUALA LUMPUR - Lebih 66 peratus daripada 55,000 pesakit buah pinggang kronik yang menjalani rawatan dialisis berpunca daripada penyakit kencing manis, kata Ketua Jabatan Nefrologi Hospital Tuanku Jaafar, Seremban, Negeri Sembilan, Dr. Lily Mushahar.
Beliau berkata, selain kencing manis, kira-kira 30 peratus disebabkan darah tinggi serta faktor lain seperti penyakit genetik, radang buah pinggang, pengambilan ubat tahan sakit serta ubat suplemen yang tidak mendapat nasihat doktor.
"Jumlah pesakit buah pinggang meningkat setiap tahun. Seramai 7,000 pesakit baharu dikesan di negara ini yang mengalami masalah buah pinggang serta perlu menjalani rawatan dialisis setiap tahun," katanya dalam program Ruang Bicara di Bernama News Channel bertajuk Penyakit Buah Pinggang Kronik malam tadi.
Beliau berkata, pemakanan yang tidak seimbang dan suka makanan manis dan menggemukkan antara punca penyakit kencing manis dan seterusnya penyumbang kepada penyakit buah pinggang.
Sementara itu, Pakar Perunding Nefrologi, Fakulti Perubatan dan Sains kesihatan, Universiti Putra Malaysia, Dr. Nor Fadhlina Zakaria yang turut menjadi tetamu program itu berkata saringan kesihatan adalah penting dan perlu dilakukan setiap tahun dan saringan lebih kerap perlu dilakukan bagi pesakit diabetes serta darah tinggi.
Beliau turut berkata, kadar penderma buah pinggang di negara ini masih ditahap rendah iaitu hanya 1.3 peratus daripada kira-kira 30 juta rakyat Malaysia mendaftar sebagai penderma buah pinggang.
"Kira-kira 21,000 pesakit yang sudah melalui rawatan dialisis sedang menunggu penderma buah pinggang dan ia ditahap serius kerana tiada anggota keluarga yang mahu tampil untuk menderma," tambahnya. - Bernama

Saturday, 18 May 2019

Pengasas Dnars maut dalam perjalanan serah wang zakat


TUMPAT - Pengasas produk kecantikan jenama Dnars Skincare, Faziani Rohban Ahmad, 40, yang maut kemalangan di Pattani, Thailand hari ini dalam perjalanan menyerahkan wang zakat ke salah sebuah pondok di wilayah berkenaan.
Anak mangsa, Ainul Atiya Ahmad Sharizal, 18, berkata, penyerahan wang zakat kepada pondok di Pattani itu merupakan rutin bulanan ibu dan bapannya.
"Biasa mama dan papa ke Pattani bersama pemandu. Namun hari ini papa memberitahu kami dia mahu memandu sendiri kereta bersama mama.
"Kami (anak-anak) agak pelik dengan sikap papa kerana dia beriya-iya mahu memandu kereta walaupun baharu tiba dari Jakarta petang semalam," katanya ketika ditemui di sini hari ini.
Ainul Atiya memberitahu, mereka sekeluarga sempat berbuka puasa, makan colek dan bersahur bersama-sama malam tadi.
Katanya, ibu dan ayahnya keluar dari rumah ke Pattani pada pukul 7 pagi tadi.
"Biasanya jika ke sana (Pattani) papa dan mama akan keluar antara pukul 9 hingga 10 pagi," ujarnya.
Dalam kejadian pukul 10.30 pagi waktu Thailand, Faziani bersama suaminya, Ahmad Shah Rizal Ibrahim, 42, terlibat dalam kemalangan dengan sebuah lori di Pattani.
Faziani maut di tempat kejadian manakala suaminya Ahmad Shah Rizal cedera di bahagian mata kanan.
Kereta jenis Toyota Estima dipandu Ahmad Shah Rizal dikatakan terlibat kemalangan dengan sebuah lori.
Jenazah Faziani dijangka akan disemadikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Kedemit, Wakaf Bharu di sini. - K! ONLINE

Wednesday, 1 May 2019

Jenazah Abu Hassan Din selamat dikebumikan

Jenazah allayarham Datuk Seri Abu Hassan (Gambar kecil) dibawa ke Masjid Saidina Hamzah Kampung Batu Muda sebelum dikebumikan di sini hari ini. - Foto oleh MOHD. NAJIB MOHD. NOR

KUALA LUMPUR - Jenazah Datuk Seri Abu Hassan Din Al-Hafiz selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Raudhatul Sakinah Taman Batu Muda di sini hari ini.
Terdahulu, jenazah Allahyarham Abu Hassan dibawa ke Masjid Saidina Hamzah Kampung Batu Muda untuk disembahyangkan.
Ribuan orang hadir memberikan penghormatan terakhir.
Isteri Allahyarham Abu Hassan, Datin Seri Rosbi Shahbudin (tengah) menabur bunga mawar di atas pusara suaminya setelah selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Raudatul Sakinah hari ini. Kredit foto Bernama

Pada pukul 7.30 pagi tadi, Allahyarham dilaporkan rebah semasa hendak menunaikan solat subuh dan dikejarkan ke hospital sebelum disahkan meninggal dunia
Abu Hassan merupakan adik kepada dua pendakwah terkenal, Allahyarham Datuk Dr. Haron Din dan Allahyarham Ishak Din, kedua-dua abangnya kembali ke rahmatullah pada 2016.
Beliau juga merupakan bekas imam di Masjid Negara dan pernah menjadi Penasihat Agama kepada beberapa orang Yang di-Pertuan Agong termasuk Almarhum Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah Al-Haj, Tuanku Syed Sirajuddin Ibni Almarhum Tuanku Syed Putra Jamalullail dan Sultan Mizan Zainal Abidin. - K! ONLINE