Anak mangsa, Ainul Atiya Ahmad Sharizal, 18, berkata, penyerahan wang zakat kepada pondok di Pattani itu merupakan rutin bulanan ibu dan bapannya.
"Biasa mama dan papa ke Pattani bersama pemandu. Namun hari ini papa memberitahu kami dia mahu memandu sendiri kereta bersama mama.
"Kami (anak-anak) agak pelik dengan sikap papa kerana dia beriya-iya mahu memandu kereta walaupun baharu tiba dari Jakarta petang semalam," katanya ketika ditemui di sini hari ini.
Ainul Atiya memberitahu, mereka sekeluarga sempat berbuka puasa, makan colek dan bersahur bersama-sama malam tadi.
Katanya, ibu dan ayahnya keluar dari rumah ke Pattani pada pukul 7 pagi tadi.
"Biasanya jika ke sana (Pattani) papa dan mama akan keluar antara pukul 9 hingga 10 pagi," ujarnya.
Dalam kejadian pukul 10.30 pagi waktu Thailand, Faziani bersama suaminya, Ahmad Shah Rizal Ibrahim, 42, terlibat dalam kemalangan dengan sebuah lori di Pattani.
Faziani maut di tempat kejadian manakala suaminya Ahmad Shah Rizal cedera di bahagian mata kanan.
Kereta jenis Toyota Estima dipandu Ahmad Shah Rizal dikatakan terlibat kemalangan dengan sebuah lori.
Jenazah Faziani dijangka akan disemadikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Kedemit, Wakaf Bharu di sini. - K! ONLINE