Friday, 31 May 2019

Sampul duit raya MPAG ada unsur sabotaj



MELAKA - Sampul duit raya bercorak imej babi milik Majlis Perbandaran Alor Gajah (MPAG) yang diedarkan dan tular dalam laman sosial Facebook hari ini telah ditarik balik oleh pihak berkuasa tempatan (PBT) tersebut sejak semalam.
Yang Dipertua MPAG, Zamzuri Arifin berkata, kesilapan itu berlaku pada peringkat percetakan dan pihaknya tidak menolak kemungkinan terdapat unsur sabotaj dalam kejadian tersebut.
Katanya, sampul duit raya itu telah dicetak melebihi 10,000 keping dan sebahagian telah diedarkan kepada pegawai serta kakitangan jabatan sebelum menyedari motif corak babi berkenaan.
"Berikutan itu, MPAG telah menarik balik semula semua sampul duit raya corak haiwan (babi) itu yang diberikan kepada kakitangan untuk edaran sebaik sahaja menyedari kesilapan cetakan tersebut.
"Bagaimanapun, saya kira terdapat unsur sabotaj atau khianat dalam perkara ini kerana walaupun selepas dilabelkan sebagai item reject, sampul itu tetap ditularkan dalam laman sosial oleh pihak tidak bertanggungjawab," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Katanya, pihaknya kini sedang menyiasat individu terlibat untuk tindakan selanjutnya kerana kejadian tersebut telah menjejaskan reputasi pihak PBT itu secara keseluruhan.
Beliau memberitahu, penarikan itu melibatkan sampul duit raya, kad ucapan hari raya dan label pada sampul surat keluaran MPAG itu bagi memastikan tiada kesilapan berulang.
Katanya, MPAG juga sedang menyiapkan sampul duit raya dan kad hari raya yang baharu bagi menggantikan sampul yang ditarik balik itu. - K! ONLINE

No comments:

Post a Comment