Dalam kejadian pada pukul 9.30 pagi itu, mangsa, Kamariah Maarif, 40, yang baru dua minggu melangsungkan perkahwinan bukan sahaja kerugian wang tunai RM200 yang diragut malah cedera di bahagian bahu apabila dipukul dengan sebatang kayu oleh salah seorang penjenayah terbabit.
Ketua Polis Daerah Kemaman, Superintendan Hanyan Ramli berkata, sewaktu kejadian, Kamariah yang berpakaian seragam Rela sedang bertugas bersendirian mengawal pintu masuk JPN Kerteh berkenaan.
"Dua lelaki tidak dikenali yang menunggang motosikal jenis Yahama Sport tiba-tiba menghampiri mangsa sebelum seorang daripadanya memukul dia dengan sebatang kayu yang mengenai bahunya.
"Mangsa rebah sebelum penjenayah terbabit meragut beg duitnya sebelum melarikan diri," katanya kepada Kosmo! di sini hari ini.
Hanyan berkata, Kamariah yang pengsan akibat terkena pukulan terbabit telah dikejarkan ke Unit Kecemasan Hospital Kemaman di sini. - K! ONLINE