Sebelum itu perkahwinan pertamanya bersama Shazlin Sharif juga musnah apabila mereka berpisah pada 8 Jun 2010.
Hasil dua perkahwinan tersebut, Radhi dikurniakan tiga cahaya mata iaitu Muhammad Rifdi, 14, hasil perkahwinan pertama, manakala Nur Aisyah, 4, dan Muhammad, 3, daripada perkahwinan kedua.
Tidak menyalahkan bekas isteri atas kegagalan perkahwinannya, Radhi berazam untuk memperbaiki diri sebelum bersedia menggalas tanggungjawab sebagai seorang suami semula.
Mengaku kini hatinya sepi, namun tegas Radhi, dia perlu kuat bukan sahaja untuk masa depan sendiri, tetapi juga buat tiga orang anaknya.
KOSMO!: Bagaimana keadaan Radhi selepas melalui fasa perpisahan sejak dua bulan lalu?
RADHI: Alhamdulillah, saya semakin baik dan fokus. Sudah tentu kehidupan sedikit berubah kerana tidak lagi bersama anak-anak pada setiap masa.
Namun, demi anak-anak, saya mahu membaiki hubungan bersama bekas isteri. Biarpun tidak lagi sebagai pasangan, saya ingin berkawan dengannya.
Semua yang dilakukan adalah demi anak-anak. Saya sayang anak-anak saya.
Adakah anda masih berhasrat untuk rujuk semula dengan bekas isteri?
Pada fasa awal perpisahan dahulu, diakui saya sering memujuk Ayu untuk rujuk semula dan kembali ke sisi saya. Namun, selepas dua bulan, saya sedar perlu memperbaiki diri.
Sekarang saya tidak lagi mengejar bekas isteri kerana telah reda dan menerima kenyataan bahawa kami telah berpisah.
Adakah anda masih berhubung dengan bekas isteri?
Ya, kami masih berhubung. Malah, pada Selasa lalu saya ada berjumpa dengannya dan kami bersembang seperti biasa.
Saya tidak mahu perpisahan kami memberi kesan terhadap anak-anak. Saya sayang dan perlukan anak-anak. Mereka adalah kekuatan saya.
Adakah anda merancang untuk menuntut hak penjagaan anak?
Saya tidak berfikir ke arah itu lagi. Buat masa ini tidak. Saya perlu betulkan diri saya terlebih dahulu. Dua kali gagal dalam perkahwinan, saya yakin punca perpisahan tersebut datangnya daripada diri saya sendiri.
Adakah anda bersedia untuk kembali bercinta?
Buat masa ini, biarlah saya sendiri. Saya mengakui hati saya kosong, tetapi tidak mengapa.
Saya perlu bermuhasabah diri kerana tidak mahu hubungan seterusnya gagal. Saya juga tidak mahu kisah saya berkisar hubungan cinta semata-mata. Fokus saya selepas ini adalah terhadap kerjaya seni.
Apakah impak daripada perpisahan anda?
Selain memperbaiki kekurangan diri, sudah tiba masanya saya fokus dengan kerjaya seni.
Rasanya sudah begitu lama saya tidak muncul dengan lagu baharu. Mungkin selepas fasa berpisah saya memiliki idea dan ilham yang lebih baik.
Jadi, saya berharap peminat OAG akan terus setia dan menyokong perjalanan seni saya.
No comments:
Post a Comment