ESMERALDAS, Ecuador - Kejayaan pasukan bola sepak kebangsaan Ecuador penting kepada wilayah miskin ini.
Ini kerana 10 daripada 23 pemain yang berada dalam skuad Ecuador berasal dari kawasan yang sama iaitu wilayah Esmeraldas yang mewakili tiga peratus atau 530,000 jumlah keseluruhan penduduk negara itu yang berjumlah kira-kira 15 juta orang.
Ini menjadikan seolah-olah Esmeraldas menentang seluruh dunia dalam Piala Dunia.
Lebih menarik, hampir kesemua pemain dalam skuad itu adalah dari keturunan Afro-Ecuador, etnik minoriti kulit hitam yang mewakili tujuh peratus penduduk Ecuador yang setakat ini telah tiga kali layak ke pusingan akhir Piala Dunia iaitu pada 2002, 2006 dan 2014.
Esmeraldas merupakan hab bagi pelabuhan perkapalan, kilang penapisan minyak dan industri perikanan yang besar, namun tiga suku daripada penduduk wilayah itu hidup dalam kemiskinan manakala kemudahan sukan pula serba kekurangan.
Menurut portal Global Post Di sebalik kekurangan itu, wilayah ini memiliki 37 pasukan bola sepak amatur dan profesional walaupun mereka hanya mempunyai lima buah padang untuk mereka berlatih dan bermain dalam pertandingan.
Oleh itu, kesemua pemain memilih untuk berkumpul di kawasan tepi pantai Lautan Pasifik yang menyaksikan mereka membentuk sebuah padang bola sepak pantai yang menjadi satu daripada rahsia kejayaan bola sepak wilayah Esmeraldas.
"Awak bermain di atas pasir, justeru itu memerlukan lebih banyak tenaga pada kaki. Ini menjadikan pemain lebih kuat, kata Presiden Persatuan Bola Sepak Esmeraldas, Omar Estupinan.
Selepas berlatih di pantai, pemain kebanyakannya mula mencipta kejayaan dengan bermain di stadium di Esmeraldas yang padangnya turut ditumbuhi rumput liar manakala kekerapan gangguan bekalan air di bilik persalinan membuatkan pemain tidak mandi dan hanya menukar pakaian mereka di luar padang ,dan ada di antara mereka mencuci but bola sepak mereka di lopak air.
Dalam pada itu, terdapat insentif ekonomi yang kuat bagi meneruskan industri bola sepak akibat peluang pekerjaan di Ecuador agak terhad dan kebanyakan pemain muda yang miskin melihat bola sepak sebagai satu daripada cara untuk mereka membantu keluarga mereka dan berhijrah.
"Bola sepak menyebabkan saya berada di sini dengan cara bekerja keras dan memberi kehidupan yang lebih baik kepada keluarga, kata Alexander Rangel, bakat muda berusia 15 tahun yang tinggal di kawasan setinggan Esmeraldas dengan ibu dan bapa tirinya.
Rangel dan pemain-pemain bola sepak serta jurulatih mendakwa pemain kulit hitam lebih berbakat dan Esmeraldas yang dihuni bekas hamba-hamba Afrika merupakan kawasan yang dihuni majoriti kulit hitam di Ecuador.
"Ini merupakan faktor genetik, kata John Cagua jurulatih kelab semi profesional, Deportivo Esmeraldas Petrolero yang merujuk contoh Antonoio Valencia sebagai pemain itu yang kini bermain untuk Manchester United.
No comments:
Post a Comment