LONDON - Suarez tidak dibenarkan terbabit dalam sebarang aktiviti bola sepak selama empat bulan, dan bintang penyerang Uruguay itu turut didenda sebanyak 82,000 pounds (RM449,015).
Bagaimanapun, hukuman yang dikenakan ke atas penyerang itu mendapat simpati Giorgio Chiellini, pemain Itali yang digigit Suarez sewaktu pertemuan Kumpulan D antara Uruguay, dan Azzurri pada Piala Dunia di Brazil, Rabu lalu.
"Buat masa ini, ingatan saya tertumpu kepada Luis, dan keluarganya, kerana mereka bakal berdepan masa yang sukar. Saya selalu beranggapan hukuman disiplin yang dijatuhkan oleh badan bertanggungjawab adalah jelas, tetapi dalam masa sama saya percaya hukuman tersebut keterlaluan," kata Chiellini dalam kenyataannya di laman web rasmi pemain itu, giorgiochiellini.com.
Suarez telah meninggalkan skuad kebangsaan Uruguay di Brazil, dan pulang ke Montevideo, tetapi Chiellini berkata, Suarez sepatutnya dibenarkan menyertai rakan sepasukannya meskipun dia digantung.
"Saya dengan ikhlas amat berharap dia dibenarkan, sekurang-kurangnya berada dekat dengan rakan sepasukan sewaktu perlawanan kerana hukuman penggantungan mampu merenggangkan hubungan sesama pemain.
"Sekarang, dalam hati saya langsung tidak ada perasaan gembira, mahu balas dendam atau pun marah terhadap Suarez kerana insiden berlaku di atas padang. Apa yang tinggal adalah kemarahan, dan rasa kecewa terhadap insiden yang berlaku pada perlawanan tersebut," ujarnya.
Sementara itu, Liverpool kini sedang mengkaji mengenai hukuman penggantungan selama empat bulan ke atas Suarez dari sudut undang-undang, tetapi kelab itu masih belum membuat keputusan muktamad untuk mencabar FIFA di mahkamah.
The Reds turut menafikan dakwaan oleh peguam Suarez, Alejandro Balbi bahawa kelab itu menghantar wakil untuk bertemu dengannya, dan ejen pemain, Pere Guardiola di Barcelona, kelmarin.
Ketua Eksekutif, Ian Ayre, dan Guardiola mempunyai hubungan yang baik, dan mereka saling berhubung antara satu sama lain, dan Persatuan Akhbar Sukan difahamkan, Ayre kerap menghubungi pemilik Liverpool, John Henry sejak insiden tersebut berlaku.
Sama ada pertemuan di Barcelona itu benar-benar berlaku atau tidak, difahamkan Balbi telah diarahkan menemani Suarez pulang ke Montevideo selepas pemain itu diusir daripada Piala Dunia. Liverpool masih berusaha mengumpul maklumat terperinci, dan implikasi terhadap hukuman tersebut ke atas bintang antarabangsa Uruguay itu. - AGENSI
No comments:
Post a Comment