Sunday, 10 March 2013

Afdlin Shauki mahu jauhi politik

 AFDLIN SHAUKI mahu beralih arah dalam kerja seninya. Dia memilih untuk karya kemanusiaan dan keagamaan selepas mengakui mendapat hidayah sekembalinya daripada kunjungan ke Gaza.

====================================================================
POLITIK dan bahang pilihan raya tidak hanya dirasai oleh ahli-ahli parti, bahkan golongan artis yang terlibat secara langsung atau tidak langsung dalam politik negara juga berdepan impak yang sama. Video Bangkang Dari Longkang menjadi contoh paling dekat dan artis yang paling teruk terkena impak akibat penyiaran video-video berkenaan ialah penyampai radio popular, Salih Yaacob.
Ketika Salih dilihat benar-benar dihimpit rasa kecewa dan mahu bersara daripada dunia seni gara-gara video lakonannya mendapat kecaman khalayak, khususnya daripada peminat yang terdiri daripada golongan pembangkang, Afdlin Shauki pula berbeza pendirian.
Penerbit, pengarah, pelakon dan pelawak berkenaan menyifatkan penerbitan beberapa video Bangkang Dari Longkang itu sebagai sekadar video balas kepada video-video parodi yang pernah dihasilkan pihak pembangkang sebelum ini.
"Video itu dihasilkan tahun lepas, ketika itu saya belum lagi pergi ke Gaza. Saya memang penyokong UMNO dan sudah tentu saya juga menyokong usaha kerajaan. Semasa ditawarkan untuk melibatkan diri dengan video berkenaan saya bersetuju asalkan ia berkaitan dengan isu dan fakta dan bukan satu serangan peribadi kepada mana-mana individu," lentur Afdlin yang turut didakwa menjadi orang yang bertanggungjawab atas penerbitan video-video berkenaan.
"Itu semua fitnah. Saya cuma terlibat sebagai pelakon. Selepas Bangkang Dari Longkang, ada juga yang mendakwa saya sebagai pengarah sebuah lagi video iaitu Tongong. Video itu tiada kaitan dengan saya," katanya.
Bagi Afdlin itu semua pendiriannya ketika belum mengunjungi Gaza pada hujung tahun 2012 dan awal Januari lalu. Umum semua tahu, Afdlin kini dalam proses penghijrahan dan sedang mendalami Islam untuk memperbaiki diri dan menjadi muslim yang dekat kepada Allah.
"Sekarang saya mahu ambil pendekatan untuk cuba menjauhkan diri daripada politik. Saya melihat politik lebih banyak membiakkan kebencian. Memang kita berhak menyuarakan apa yang kita setuju dan apa yang kita tidak setuju. Media sosial hari ini semakin agresif membuka ruang kebencian kebanyakan komen-komen itu datang daripada orang-orang yang beragama Islam.
"Sekarang saya cuba untuk tidak membangkitkan kebencian mana-mana pihak, di kalangan sesama Islam dan seluruh rakyat Malaysia. Saya mahu tumpukan pembelajaran saya untuk memperbaiki diri," katanya yang sedang muncul dengan filem Lawak Ke Der di pawagam ketika ini.
Tidak pernah sesal kerana terbabit dalam video Bangkang Dari Longkang, Afdlin percaya tindakannya berlakon dalam video yang disifatkan sebagai menghina pembangkang itu bukan sesuatu yang menyalahi etika.
"Kalau diminta buat video itu selepas saya kembali dari Gaza (ketika ini), mungkin saya tidak akan terlibat. Kalau boleh saya mahu menghindarkan budaya benci-membenci dalam kalangan rakyat Malaysia apatah lagi sesama Islam.
"Kita boleh bersetuju dan tidak bersetuju dengan satu-satu perkara tapi janganlah keterlaluan sampai menimbulkan kebencian. Kebencian boleh menghuru-harakan, kita harus ambil iktibar apa yang berlaku di Gaza. Sekarang pun macam-macam komen negatif di media sosial berhubung tragedi di Lahad Datu," katanya sedikit beremosi.
Membawakan karakter suara sebagai Sabuk dalam filem animasi Bola Kampung The Movie yang akan ditayangkan pada 21 Mac nanti, Afdlin juga tidak menjadikan penghijrahannya untuk menjadi muslim yang lebih baik menghalang dirinya untuk meneruskan kerja seni.
"Cadangan saya menghasilkan sebuah filem genre Islamik sudah diterima oleh sebuah syarikat produksi, saya harap karya itu akan bercerita secara jujur. Kerja-kerja saya sekarang isu kemanusiaan dan keagamaan dan saya juga masih akan buat komedi cuma dalam versi yang melanggar batas moral," katanya yang merasakan kekosongan dalam diri selama ini semakin terisi.
Kosmo 100313

No comments:

Post a Comment