Sunday, 10 March 2013

Selangor belasah Harimau Selatan


Pemain Selangor, Francis Forkey Doe (dua dari kanan) meraikan jaringan gol menentang Johor Darul Takzim bersama rakan sepasukan dalam saingan Liga Super di Stadium Shah Alam, malam tadi. Selangor menang 4-1. - BERNAMA

SHAH ALAM - Selangor membuktikan Johor Darul Takzim masih lagi pasukan 'biasa' walaupun dengan kehadiran barisan bintang apabila mencatat kemenangan besar 4-1 dalam saingan Liga Super di sini, semalam.
Stadium Shah Alam menjadi saksi kehebatan Selangor yang bukan sahaja meraih tiga mata penuh tetapi memintas kedudukan Johor dan berkongsi mata dengan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) yang memiliki kelebihan jaringan.

Red Giants tidak menunggu lama untuk berada di depan apabila mereka berjaya menjaringkan gol seawal minit keempat selepas hantaran lintang S. Kunanlan dari sebelah kiri terus menerjah ke dalam gawang.
Tersentak dengan jaringan awal tersebut pasukan bimbingan Fandi Ahmad mula mengatur serangan bertali arus ke kubu Selangor, bagaimanapun percubaan demi percubaan yang dilakukan mereka gagal membuahkan hasil.

Sebaliknya, tuan rumah selesa dengan jaringan kedua pada minit ke-32, hantaran rendah Solihin Kanasian tepat menuju ke arah pemain import, Francis Forkey Doe yang mudah menampan bola ke dalam pintu gol lawan.

Dua minit selepas itu Johor memperoleh sepakan percuma di depan kotak penalti Selangor, namun rembatan Safiq Rahim berjaya diselamatkan penjaga gol tuan rumah, Norazlan Razali.
Ketinggalan 0-2 memaksa Johor melakukan pertukaran pemain secara mendadak, pemain import mereka, Simone Del Nero dikeluarkan dan digantikan dengan Muhd. Azniee Taib pada minit ke-39.
Kehadiran Azniee memberi impak pada separuh masa kedua apabila dia sempat menguji gawang Selangor pada minit ke-48, namun Norazlan sekali lagi bertindak cemerlang dengan menepis keluar bola tersebut.
Serangan bertubi-tubi Johor memaksa Selangor hanya mencari ruang melalui serangan balas pantas dan pada minit ke-54, mereka hampir menambah gol ketika apabila sepakan sudut Amri Yahyah disambut dengan rembatan deras Mahali Jasuli tetapi diselamatkan penjaga gol gantian pasukan pelawat, Muhd. Al-Hafiz Hamzah.

Selangor terpaksa beraksi dengan 10 pemain pada minit ke-56 apabila pemain import mereka, Peter Charappan dilayangkan kad kuning kedua kerana mengasari Norshahrul Idlan Talaha.
Beraksi dengan 10 pemain langsung tidak menyekat semangat luar biasa Selangor, sebaliknya pada minit ke-67 dan 69 tuan rumah berjaya menyumbat lagi dua gol menerusi Mahali dan Amri.
Johor seakan baru bangun tidur selepas ketinggalan 0-4 dan pelawat akhirnya memperoleh gol sagu hati melalui gerakan solo Norshahrul yang menewaskan beberapa pemain pertahanan sebelum masuk ke dalam petak penalti dan merembat bola ke dalam gawang.

Di Stadium Jalan Besar, Singapura, Lions XII mengalahkan penyandang juara, Kelantan 1-0.


No comments:

Post a Comment