Wednesday, 20 March 2013

Kay Kim: 'One touch football tidak akan bawa Malaysia kemana


Khoo Kay Kim
Khoo Kay Kim
PUTRAJAYA - Konsep 'one-touch football' yang diguna pakai oleh skuad Harimau Malaya akan merencatkan perjalanan Malaysia dalam pusingan kelayakan Piala Asia 2015, demikian menurut pengkritik sukan tanah air.
Prof Emeritus Tan Sri Dr Khoo Kay Kim berkata konsep itu bukan pendekatan dan strategi yang paling berkesan dalam membantu pasukan negara meraih kejayaan di persada antarabangsa.
Pada pemerhatiannya, beliau berkata melalui konsep itu, anak buah Datuk K. Rajagobal ketandusan idea untuk mencipta peluang menjaringkan gol di depan gawang lawan.
Selain itu, kemahiran mengelecek bola atau menyimpan bola dalam kawalan dengan lebih lama oleh pemain kebangsaan terbantut, katanya kepada pemberita selepas menyampaikan ceramah di Forum Kepimpinan Pusat Pengajian Kerajaan Razak (RSOG) di Menara Prisma, di sini, hari ini.
Beliau diminta mengulas kekalahan skuad Harimau Malaya 4-1 kepada Arab Saudi pada perlawanan persahabatan antarabangsa di Stadium Shah Alam, Ahad lepas.
Perlawanan itu adalah sebahagian daripada persiapan skuad Harimau Malaya menentang Yemen pada aksi kedua kelayakan Piala Asia 2015 di stadium sama, Jumaat ini.
"Pemain kebangsaan bermain dengan 'one-touch football'...Bola sampai saja tolak ke sana sini. Mereka tidak boleh mengelecek bola atau simpan bola lebih lama.
"Permainan bola sepak bukan sesuatu yang mudah. Kita mesti faham bagaimana kita boleh bermain dengan lebih berkesan dan bukan sekadar nak tolak bola ke sana sini atau ke penjaga gol sahaja," katanya.
Prof Khoo juga berpendapat sistem kejurulatihan sedia ada perlu dirombak untuk memastikan standard sukan bola sepak negara maju dan bakal melahirkan lebih ramai pemain profesional tempatan bertaraf antarabangsa. - Bernama

No comments:

Post a Comment