SETELAH anak didik Harun Salim Bachik, Achey mengungguli Kumpulan A dalam gelanggang program Bintang Mencari Bintang menerusi saingan Kumpulan A sebelum ini, kali ini tiba pula giliran kumpulan Titan dinobatkan sebagai pemenang bagi saingan Kumpulan B.
Dalam saingan Kumpulan B yang berlangsung pada Ahad lalu itu, Titan yang merupakan anak didik kepada Sabri Yunus berjaya mengatasi peserta lain iaitu kumpulan Awok iaitu anak didik Raja Azura, Bocik (Afdlin Shauki), XOXO (Harun Salim Bachik), Gegau (Senario) dan Ajo (Faizal Ismail).
Persembahan Titan dilihat agak berbeza apabila mereka menerapkan elemen teater dalam persembahan komedi mereka sehingga mendapat markah undian yang tertinggi.
Sabri Yunus selaku mentor kepada kumpulan berkenaan menyatakan, dia sendiri tidak menyangka persembahan anak didiknya itu dapat diterima ramai, meskipun tampil dengan persembahan komedi yang berbeza.
“Membuat komedi semasa pementasan teater dan menerapkan elemen teater dalam persembahan komedi merupakan dua perkara yang cukup berbeza. Sudah tentu saya agak risau dengan penampilan anak didik saya ini.
“Dengan kejayaan yang diraih pada malam ini saya anggap ia merupakan satu eksperimen yang berjaya. Untuk persembahan yang seterusnya elemen sebegini mungkin akan diteruskan,” ujarnya ketika ditemui selepas acara berakhir.
Menurut Sabri, dengan kejayaan yang diraih, Titan masih lagi belum memberikan kepuasan kepada dirinya dan merasakan masih banyak kelemahan yang perlu diperbaiki lagi.
Ujarnya, tugas untuk membentuk seorang penghibur bukan satu tugas yang mudah buat dirinya kerana latar belakang kedua-dua ahli Titan iaitu Fazlisham Mat Hussin dan Azizul Ammar Abu Hassan yang bukan pelawak. Sebaliknya, mereka sangat aktif berlakon teater.
“Sewaktu saya memilih dan menggabungkan mereka sebagai Titan, saya sudah mempunyai sasaran iaitu mahu meletakkan mereka dalam kelas yang tersendiri untuk menjadi penghibur yang berjaya.
“Namun begitu, tugas yang saya pikul ini cukup mencabar kerana jiwa teater mereka berdua sangat tebal. Buat permulaan ini saya terpaksa memberikan semua idea dan konsep persembahan,” jelasnya.
Titan yang dinobatkan sebagai juara mendapat markah sebanyak 67.7 peratus, diikuti dengan Bocik (65 peratus), Ajo (63.1 peratus), Awok (41.6 peratus), Gegau (39.7 peratus) dan XOXO (28 peratus)
Kekal momentum
Bagi Titan pula, mereka turut tidak menjangka kelainan persembahan komedi yang ditampilkan mampu memikat hati juri tetap dan penonton sehingga mendapat markah tertinggi.
Menurut Azizul, dia dan Fazlisham beranggapan saingan daripada peserta lain agak sengit dan melihat nasib lebih menyebelahi mereka untuk persaingan minggu pertama ini.
“Kami langsung tiada pengalaman membuat persembahan komedi, sebaliknya suka membuat lawak dalam kalangan rakan-rakan. Sudah tentu buat permulaan ini kami berasa agak kekok.
“Bagaimanapun, dengan kejayaan yang diraih ini pastinya memberikan kami lebih banyak keyakinan. Tugas kami sekarang sudah tentu mahu mengekalkan momentum persembahan untuk terus memberikan saingan,” ujarnya.
Ketika ditanya tentang pengalaman mendapat bimbingan daripada Sabri Yunus selaku mentor, Azizul menyatakan pengarah, pelakon dan pelawak itu seorang individu yang begitu bersifat terbuka serta banyak memberikan kritikan yang positif kepada mereka.
No comments:
Post a Comment