Saturday, 4 May 2013

Cemas jatuh gaung



Cemas jatuh gaung
Seorang anggota polis melalui kawasan runtuhan sambil kelihatan di belakangnya kereta milik Norazlina terbalik.
KUALA KUBU BAHRU - “Mereka panik, anak-anaknya pula menangis ketakutan kerana mereka sangka berlaku gempa bumi menyebabkan jururawat itu terus menekan minyak untuk melepasi kawasan runtuhan,”.

Demikian kata Norazlina Mohamad Zain, 31, menceritakan detik cemas sekeluarga yang terbabit dengan kejadian tanah runtuh di sini, awal pagi semalam.

Norazlina yang turut terbabit dalam kejadian itu bagaimanapun berkata, keluarga terbabit tidak mengalami kecederaan, hanya kenderaan mereka rosak teruk.

Menurutnya, kejadian di Bukit Jarum, sempadan hutan Felda Soeharto dan Sungai Tengi itu berlaku kira-kira jam 6.05 pagi ketika dia dan suami dalam perjalanan ke tempat kerja.

“Ketika itu hujan lebat, jalan pula gelap. Kami nampak ada pokok tumbang jadi cuba elak saja tapi tidak sedar jalan yang kami lalui sudah rebak.

“Kami segera turun dan hanya beberapa minit selepas itu kereta kami terbalik bersama runtuhan tanah dan ketika itulah kami nampak keluarga terbabit cuba selamatkan diri daripada terjatuh dalam gaung,” katanya ketika ditemui di sini.

Menurutnya, tiga kenderaan terlibat dalam kejadian itu namun hanya kereta yang mereka naiki dan keluarga terbabit mengalami kerosakan.

Namun, dia yang bekerja di Syarikat Bekalan Air Selangor Sdn Bhd (Syabas) tidak mengalami kecederaan.

“Saya dan suami, Sarjan Mohd Hasli Raziff Ramley, 35, dalam perjalanan ke tempat kerja selepas bermalam di Kampung Seoharto semalam (kelmarin).

“Kami memang tidak nampak apa-apa kecuali pokok tumbang dan secara tiba-tiba jalan yang kami lalui runtuh. Memang cemas dan panik,” katanya.

Sementara itu, tinjauan Sinar Harian mendapati laluan tersebut telah pun ditutup sehala antara Felda Soeharto menuju Felda Sungai Tengi.

Difahamkan, terdapat pembetung merintangi dasar laluan tersebut dan hujan lebat berterusan dianggap punca utama kejadian itu.

Sinar Harian dihubungi jentera Pas Dun Hulu Bernam yang turun bersama calon Dun Hulu Bernam, Muhamad Idris Ahmad meninjau kawasan kejadian.

No comments:

Post a Comment