London: Gerakan cemerlang Perancis-Belanda membabitkan Franck Ribery dan Arjen Robben pada minit terakhir melengkapkan pertembungan final menarik Liga Juara-Juara membabitkan dua kelab Jerman apabila Bayern Munich menundukkan Borussia Dortmund 2-1 di Stadium Wembley, awal pagi semalam.
Kuisan tumit pemain Perancis Ribery membolehkan pemain Belanda Robben merobekkan benteng pertahanan Dortmund dan mengelirukan penjaga gol Roman Weidenfeller untuk menjaringkan gol kemenangan pada minit ke-89.
Gol itu menggembirakan penyokong Bayern yang menyaksikan pasukan mereka muncul juara Eropah buat kali kelima untuk menyamai rekod kemenangan Liverpool.
Hanya Real Madrid dengan sembilan kejuaraan dan AC Milan dengan tujuh kejuaraan mengatasi dua kelab itu dari segi rekod kemenangan.
Bayern menyerap asakan bertali-arus Dortmund sebelum mendahului pada minit ke-60 apabila Ribery dan Robben berganding mencipta jaringan sumbangan penyerang Croatia Mario Mandzukic yang menampan dengan kaki kirinya dari jarak dekat susulan hantaran lintang Robben.
Dortmund, yang memiliki tujuh peluang gol pada babak pertama, menyamakan kedudukan apabila pertahanan Bayern Dante menendang perut Marco Reus lapan minit kemudian dan Ilkay Guendogan mudah menewaskan Manuel Neuer menerusi sepakan penalti.
Namun ketika perlawanan kelihatan akan berlanjutan ke masa tambahan, Robben, yang gagal menyempurnakan sepakan penalti pada final musim lalu, tampil menyambut tolakan tumit Ribery untuk menjaringkan gol kemenangan.
“Terlalu ramai memberitahu saya akan menjaringkan gol malam ini. Beberapa peluang awal saya gagal. Saya mendapat satu lagi peluang pada hujung perlawanan dan menggunakannya,” kata Robben.
“Ia terlalu bermakna buat saya. Masih sukar untuk menyelaminya. Saya hanya boleh merumuskannya kemudian. Terlalu menggembirakan ketika ini, ia menakjubkan.” Kemenangan itu meredakan kepahitan kekalahan Bayern di tangan Inter Milan pada final 2010 dan kekecewaan memilukan di tangan Chelsea menerusi penentuan penalti di stadium mereka sendiri setahun lalu apabila mereka menjulang trofi Piala Eropah buat kali pertama sejak 2001. - Reuters
No comments:
Post a Comment