AMSTERDAM - Pengurus sementara Chelsea, Rafael Benitez merupakan individu paling gembira selepas Chelsea berjaya merangkul trofi Liga Europa setelah menewaskan Benfica 2-1 awal pagi semalam.
Pada perlawanan akhir di Amsterdam Arena itu, penyerang Sepanyol, Fernando Torres meletakkan Chelsea di depan pada minit ke-59 tetapi Oscar Cardozo mengikat kedudukan menerusi satu sepakan penalti pada minit ke-68
Bagaimanapun, Branislav Ivanovic muncul wira skuad The Blues apabila menanduk masuk gol kemenangan pada masa kecederaan.
Benitez menjadi sasaran utama para penyokong sendiri sejak beliau menggantikan tempat Roberto Di Matteo pada awal November tahun lalu.
Para penyokong tidak berpuas hati dengan pemecatan Di Matteo dan komen yang dilemparkan Benitez kepada Chelsea ketika dia menjadi pengurus Liverpool.
Namun, kejayaan merangkul trofi kedua berprestij di Eropah itu sudah cukup untuk meletakkan Benitez di kedudukan yang tinggi sebelum meninggalkan Stamford Bridge akhir musim ini.
Benitez yang diramal meninggalkan Chelsea selepas jelajah pramusim ke New York, Amerika Syarikat minggu depan muncul pengurus pertama dari Sepanyol memenangi trofi Liga Europa bersama kelab Liga Perdana England.
Ia merupakan malam yang gemilang buat The Blues terutamanya selepas pemain tengah, Frank Lampard mengesahkan bahawa dia akan menyambung kontrak selama satu musim lagi.
"Ia satu persembahan yang menakjubkan pada babak kedua ketika menentang sebuah pasukan yang hebat. Saya berasa sangat gembira dengan kesungguhan pemain dan setiap individu yang terlibat.
"Aksi kami kurang bermaya pada babak pertama. Jadi, kami terpaksa menyesuaikan diri dengan cepat dalam permainan ini.
"Pemain juga telah berusaha keras sepanjang musim ini. Jadi, saya sangat berbangga dan gembira dengan mereka," kata Benitez.
Sementara itu, pengurus Benfica, Jorge Jesus tidak dapat menahan kesedihan berikutan kekalahan itu.
"Perasaan pemain saya semuanya hancur pada minit-minit akhir permainan. Benfica telah menunjukkan kepada dunia bahawa kami berhak memenangi gelaran ini.
"Saya juga mahu menegaskan bahawa penyokong Benfica lebih baik daripada penyokong Chelsea dan kami sepatutnya menghadiahkan trofi ini kepada mereka berdasarkan keghairahan dan semangat patriotik mereka," katanya. - Agensi
No comments:
Post a Comment