LONDON - Pengurus Arsenal, Arsene Wenger enggan menarik nafas lega meskipun skuad The Gunners berada di landasan tepat untuk mengesahkan slot ke kempen Liga Juara-Juara musim depan.
Wenger memberikan gambaran itu selepas Arsenal merekodkan kemenangan 3-0 ke atas Newcastle United pada aksi Liga Perdana England di Stadium Emirates awal pagi semalam.
Kemenangan itu mengukuhkan kedudukan Arsenal di tangga keempat liga selepas mengumpul 73 mata iaitu empat mata di hadapan pencabar terdekat, Everton (69 mata) ketika saingan musim ini masih berbaki dua perlawanan.
Skuad The Gunners yang juga finalis Piala FA musim ini hanya perlu mencatat satu kemenangan untuk mengesahkan slot ke kempen Liga Juara-Juara buat kali ke-17 berturut-turut.
Bagaimanapun, Wenger masih belum bersedia untuk meraikan kejayaan itu biarpun anak-anak buahnya mempamerkan persembahan mantap ketika menewaskan Newcastle iaitu kekalahan keenam berturut-turut sejak musim 1986/1987.
"Kami mara satu langkah ke hadapan dan satu kemenangan lagi akan menjamin kedudukan kami dalam kelompok empat pasukan teratas tetapi buat masa ini, misi kami masih belum selesai.
"Saya cukup berpengalaman dalam perkara ini. Kami tidak boleh leka. Pengalaman yang pahit musim ini akan membantu kami untuk menumpukan sepenuh perhatian kerana kami berada pada kedudukan terbaik ketika ini.
"Kami mempunyai satu perlawanan di laman sendiri (Stadium Emirates) dan berpeluang untuk menang. Apa yang penting ialah mengekalkan prestasi ketika ini dan membuktikan potensi kami untuk bermain bola sepak yang menarik," katanya.
Beraksi di laman sendiri, Arsenal tidak mengambil masa lama untuk menyumbat gol pertama menerusi jaringan pemain pertahanan, Laurent Koscielny pada minit ke-26.
Perancang skuad The Gunners, Mesut Ozil menggandakan kedudukan pada minit ke-42 sebelum Olivier Giroud memastikan kemenangan selesa skuad bimbingan Wenger pada minit ke-67. - AFP
No comments:
Post a Comment