Sunday, 20 April 2014

Pemandu jadi punca nahas?

 ANGGOTA keselamatan dan kakitangan perubatan dari Hospital Temerloh dan Raub bertungkus-lumus menyelamatkan penumpang bas yang cedera dalam kemalangan di Kilometer 116 Lebuh Raya Pantai Timur, Temerloh, pagi semalam. - mingguan/MAHATHIR ALI

TEMERLOH 19 April - Genap seminggu kemalangan melibatkan bas ekpsres yang meragut tiga nyawa termasuk sepasang suami isteri di Kilometer 11, Jalan Bentong-Raub, tragedi yang hampir sama berulang.
Kali ini tiga penumpang termasuk seorang bayi berusia 11 bulan parah manakala 13 lagi termasuk pemandu cedera selepas bas ekspres yang membawa 27 penumpang terlibat dalam kemalangan di Kilometer 116, Jalan Kuantan-Kuala Lumpur di Lebuh Raya Pantai Timur (LPT) berhampiran Plaza Tol Temerloh di sini awal pagi ini.

Lebih dikesalkan jika dalam kemalangan Sabtu lalu, pemandu dikatakan positif dadah dan asyik bermain khidmat pesanan ringkas (SMS), kemalangan terbaharu ini juga turut dikaitkan dengan kecuaian pemandu sebagai punca kejadian.

Ia berikutan dakwaan penumpang yang menyatakan pemandu berada dalam keadaan mengantuk dalam kejadian kira-kira pukul 1.15 pagi itu sehingga menyebabkan bas terbabit terbalik beberapa kali sebelum terjatuh dan tersangkut di dalam longkang di sebelah kiri lebuh raya berkenaan.

Mangsa yang parah ialah Mohd. Izzudin Yusof, 28; Ishamudin Musa, 39; dan Muhd. Haziq Aizat Nazmi, 1.
Siasatan awal polis tidak menolak kemungkinan kemalangan itu berpunca daripada pemandu bas yang mengantuk dan difahamkan, bas berkenaan bertolak ke Kuala Lumpur lewat sejam daripada jadual sepatutnya iaitu pada pukul 10.30 malam.

Embedded image permalink

Ketua Polis Daerah, Asisten Komisioner Abdul Aziz Salleh berkata, siasatan awal mendapati bas berkenaan terbabas dan melanggar penghadang jalan di tengah lebuh raya.

"Kejadian itu menyebabkan 15 orang cedera termasuk tiga parah dan kesemua mereka kini dirawat di Hospital Sultan Haji Ahmad Shah (Hoshas) di sini," katanya di sini hari ini.

Menurutnya, pemandu bas tersebut turut dimasukkan ke hospital sama dan kini diberi pemantauan doktor akibat luka di bahagian muka.

Katanya, kesemua mangsa yang cedera parah stabil dan telah sedarkan diri termasuk bayi lelaki yang mengalami kecederaan di bahagian pergelangan tangan.
Dalam pada itu, Abdul Aziz, berkata, kes itu disiasat mengikut Seksyen 43 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan punca kejadian masih lagi disiasat.

Katanya, pihak polis akan melakukan siasatan menyeluruh termasuk melakukan ujian air kencing dan juga ujian darah serta alkohol ke atas pemandu terbabit.
"Tempat kejadian itu bukanlah kawasan kemalangan dan semasa kejadian cuaca baik serta sedikit berkabus. Siasatan masih giat dilakukan dan kita tidak menolak kemungkinan kemalangan berlaku akibat pemandu mengantuk," ujarnya.

No comments:

Post a Comment