DALAM lambakan novel-novel berkisahkan perjalanan ranjau berduri pasangan kekasih, masih ada lagi permintaan buku berpaksikan ilmiah dan keagamaan sebagai mengisi kekosongan jiwa yang hakiki.
Mengambil cebisan peluang yang ada, Che Amran Idris, 45 mengumpul cerita dan pengalaman menjalani tanggungjawab sebagai ketua keluarga ke dalam buku-buku hasil nukilannya.
Ia disimpul kemas dengan paduan kisah daripada sang isteri, Isyah Radiah Idris, 39, yang menjadi tunjang penting kepada sembilan orang anak mereka.
“Semuanya bermula apabila mendapat berita bahawa anak ketiga kami menghidap kanser otak. Bertitik tolak dari detik genting itu, saya dan isteri bersetuju untuk membukukan catatan-catatan harian kami dalam buku pertama bertajuk, Anakku Brain Tumor.
“Tanpa disangka, ia mendapat sambutan dan respons yang baik membuatkan kami terus menghasilkan buku-buku berteraskan kekeluargaan mengikut syariat Islam,” ujarnya ketika ditemui Kosmo! di Setiawangsa, Kuala Lumpur baru-baru ini.
Genre tersebut dipilih memandangkan ia dekat dengan diri ahli kumpulan nasyid terkenal, Raihan itu. Malah portfolio yang kukuh dalam bidang keagamaan dan pendidikan dijadikan asas kepada idea-idea penulisannya.
Bertunaskan kemahiran yang ada, Che Amran kini telah menghasilkan tiga buku lain iaitu, Mudahnya Dapat A, Nikmatnya Sakit Bersalin dan Mudahnya Ajar Anak Solat. Kesemuanya diterbitkan oleh Galeri Ilmu Sdn. Bhd.
Menghasilkan sesebuah naskhah baharu, Che Amran banyak berbincang dengan isterinya dalam memilih tajuk bersesuaian agar ia mendapat manfaat dan dijadikan sumber rujukan kepada pembaca.
“Sebagai contoh, buku Nikmatnya Sakit Bersalin ditulis selepas menyedari kurangnya bahan bacaan untuk kaum ibu mengandung yang mengikut syariat Islam. Disebabkan itu, kami cuba memberikan panduan kepada mereka mengenai adab-adab ketika mengandung dan bersalin,” ujar Che Amran.
Doa ringkas
Ia tidak hanya sesuai untuk golongan wanita mengandung, malah boleh dibaca oleh suami melalui tip dan petua penjagaan sebelum dan selepas bersalin. Selain itu, diselitkan juga doa-doa ringkas untuk diamalkan.
Begitu juga dengan buku baharunya, Mudahnya Ajar Anak Solat yang khusus untuk ibu bapa dalam mengajar anak-anak mereka bersolat bermula dari awal sehingga dewasa. Ia secara terperinci membincangkan cara-cara mendidik dengan lebih seronok dan menarik.
“Mempunyai sembilan orang cahaya mata pastinya setiap mereka mempunyai sifat peribadi yang berbeza. Teknik dan pendekatan yang berlainan diambil bagi mendidik mereka mengenai kepentingan solat. Kaedah-kaedah tersebut kami huraikan satu per satu dalam buku setebal 184 muka surat ini,” jelasnya.
Menurut anak kelahiran Pas Mas, Kelantan itu, buku-buku tulisannya merupakan satu wadah kepada perkongsian ilmu kepada pembaca. Pada masa sama, ia juga sebagai usaha dakwah bagi menerapkan nilai-nilai keagamaan dalam hidup seorang muslim.
“Dalam perkembangan teknologi maklumat, masih ramai yang lagi mendambakan buku-buku dalam genre keagamaan. Secara tidak langsung, ia dapat mengembangkan lagi dakwah Islam kepada pembaca,” jelas beliau.
Bagi mendapatkan buku-buku tulisan Che Amran, layari www.galeriilmu.com untuk mendapatkan maklumat lanjut.
No comments:
Post a Comment