NINTENDO yang pernah menjual hampir 119 juta Game Boy asli kini semakin merosot penjualannya di seluruh dunia.
SETELAH tentera Soviet berundur dari Afghanistan, Tembok Berlin kemudiannya runtuh. Sejarah pada tahun 1989 juga menyaksikan tragedi Dataran Tiananmen di China.
Namun ada memori yang manis untuk dikenang pada tahun tersebut. Antaranya, pada 21 April merupakan tarikh keluaran pertama permainan video mudah alih Game Boy 8-bit di Jepun.
Syarikat pengeluarnya, Nintendo yang berpangkalan di Kyoto akhirnya menjadi gergasi dalam arena permainan video di peringkat global, meskipun Nintendo hanya bertindak selaku pengeluar kad-kad permainan pada awalnya.
Harga diskaun yang dikenakan pada awal kemunculannya juga mengetepikan saingan rapat permainan video sedia ada. Dalam tempoh singkat, Game Boy berjaya menembusi pasaran antarabangsa.
Fenomena Game Boy meresap pantas. Ia kejutan yang tidak dijangka daripada industri berasaskan konsol. Game Boy mengawali konsep permainan video tangan mudah alih di dunia. Pengaruhnya mirip kejayaan bersejarah Sony Walkman terhadap peralihan industri muzik mudah alih.
"Sampai satu tahap, bila menyebut permainan mudah alih, orang kaitkan terus dengan Game Boy.
"Secara amnya, ia telah membuka laluan kepada permainan mudah alih hari ini yang merangkumi permainan konsol dan telefon pintar.
"Konsep asasnya masih sama dan semuanya bermula daripada legasi Game Boy," jelas konsultan industri permainan yang berpangkalan di Tokyo, Serkan Toto.
KARAKTER Super Mario turut meraih populariti hasil perkembangan Game Boy.
Game Boy merupakan alat permainan atau konsol yang dibangunkan oleh Nintendo Entertainment System (NES).
Permainan popular seperti Super Mario dan Donkey Kong turut menjalani peralihan ke peringkat francais global hasil populariti Game Boy.
Mobiliti yang diterapkan Game Boy menggembirakan hati ramai kanak-kanak dan remaja. Seorang lelaki yang ditemui di Super Potato, sebuah kedai yang didedikasikan untuk gajet-gajet permainan retro di Tokyo mengimbas betapa Game Boy membantunya daripada dimarahi ibu bapa.
Sebelum adanya Game Boy, permainan konsol berdiri hanya boleh dimainkan di ruang tamu. Ia mengganggu masa ibu bapanya menonton televisyen.
Peranti itu juga membenarkan pengguna berhubung dengan pengguna lain menerusi kabel sambungan. Secara tidak langsung, ia menjadi permulaan kepada jaringan permainan dalam talian yang kini digunakan jutaan individu di seluruh dunia.
"Ia memudahkan pengaksesan kepada permainan tetapi yang menjadikan ia hebat ialah konsep jaringan yang dibangunkan," ujar pengarah urusan di firma penyelidikan permainan dan penerbitan majalah, Kadokawa Corp. di Tokyo, Hirokazu Hamamura.
Merosot
Di sebalik sumbangan besar Game Boy kepada pembangunan industri permainan video mudah alih global, selepas melewati fasa gemilang berpuluh tahun, kestabilan kewangan syarikat Nintendo diuji teruk.
Akibatnya, pengeluaran Game Boy dihentikan beberapa tahun lalu. Malah, Nintendo langsung tidak merancang sebarang sambutan ulang tahun ke-25 peranti berpengaruh itu pada bulan lalu.
LELAKI ini memilih konsol untuk permainan Game Boy Color di sebuah kedai permainan video di Tokyo.
Ketika era kemasyhurannya, Nintendo menjual hampir 119 juta konsol Game Boy asli. Sebanyak 81.5 juta unit turut dijual menerusi siri Game Boy Advance yang dilancarkan pada tahun 2001.
Meskipun tidak lagi dikeluarkan, sejarah telah membuktikan betapa hebat penangan Game Boy dalam memberi saingan sengit kepada konsol-konsol seperti Nintendo Wii, Sony PlayStation dan Microsoft Xbox.
Bekas penggunanya juga masih menghargai jasa permainan video mudah alih yang dilengkapi butang merah dan pad arah berbentuk silang itu. Spaniard Jesus Mera, 26, merupakan pengguna Game Boy Color seawal usia 12 tahun.
Nostalgia Game Boy masih berbekas dalam ingatan lelaki dari Sepanyol itu dan melihat peranti itu sebagai satu revolusi kerana pengguna bebas bermain di mana-mana sahaja.
Tambahnya, meskipun kini pengguna dilambakkan dengan pelbagai pilihan permainan video canggih, skrin kecil dan permainan terhad Game Boy tetap menghiburkan.
Perkembangan pantas permainan video mudah alih termasuk ciri tiga dimensi (3D) bagaimanapun, tidaklah digemari semua. Pelajar berusia 21 tahun, Lun Yuki termasuk dalam anak muda yang sukar mengikuti perubahan mengagumkan dalam industri permainan.
"Permainan baharu semakin rumit sehingga anda keliru dengan tujuan asalnya," ujarnya yang mengakui adakalanya dia berasa selesa bersama permainan ringkas dengan dot-dot hitam dan tatal-tatal horizontal. - AFP