BERLIN - Bayern Munich menutup tirai Liga Jerman musim ini dengan langkah bergaya selepas mencatatkan kemenangan tipis 1-0 ke atas Stuttgart di Stadium Allianz Arena kelmarin.
Biarpun terlebih dahulu mengesahkan kejuaraan Liga Jerman buat kali ke-24 pada 25 Mac lalu, namun skuad bimbingan Pep Guardiola itu memastikan aksi liga terakhir musim ini ditutup dengan kejayaan cemerlang.
Kemenangan itu merupakan kemenangan yang ke-29 dalam 34 aksi liga musim ini hasil jaringan tunggal daripada penyerang Bayern, Claudio Pizar- ro pada lewat permainan.
Bagaimanapun, Bayern gagal mengulangi pencapaian musim lalu apabila ditunjukkan 'jalan keluar' oleh Real Madrid pada aksi separuh akhir Liga Juara- Juara musim ini.
Namun, aksi final Piala Jerman menentang musuh tradisi, Borussia Dortmund, Ahad depan sedikit sebanyak berupaya mengubati kekecewaan tersebut.
"Ia sangat istimewa buat saya kerana ini adalah musim pertama saya di sini (selepas menyertai Bayern daripada Barcelona awal musim ini).
"Saya percaya kejayaan musim ini begitu memberangsangkan selepas kejayaan trebel dikecapi Bayern musim lalu (Liga Jerman, Liga Juara-Juara dan Piala Jerman).
"Jika kami beraksi dengan semangat sama seperti dipamerkan pada babak kedua perlawanan ini, kami boleh menewaskan Dortmund," kata Guardiola. - AFP
No comments:
Post a Comment